At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 45 : Kritikan Yang Mengundang Rahmat

6 0 0
                                    

Kadangkala, apabila datangnya kritikan, kita perlu memandang positif bahawa Allah sebenarnya ingin membuka pintu rahmat kepada kita

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Kadangkala, apabila datangnya kritikan, kita perlu memandang positif bahawa Allah sebenarnya ingin membuka pintu rahmat kepada kita. Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ﴿﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿

Adakah manusia menyangka bahawa mereka ditinggalkan dengan berkata: "Kami beriman", sedangkan mereka belum diuji? Benar-benar Kami menguji orang sebelum mereka, lalu menjadi jelas kepada Allah akan orang yang benar dan benar-benar jelas akan orang yang berdusta. [Surah al-*Ankabūt ayat 2-3].

Kita tidak akan ditinggalkan dalam keadaan kita mendakwa bahawa kita beriman, namun belum diuji. Sedemikian juga dakwaan kita bahawa iman kita berpaksi dengan manhaj yang sejati, tetapi belum diuji dengan kritikan, saringan dan perbandingan. Apabila Allah mendatangkan ujian kepada kita, barulah nyata kedudukan kita berpijak. Sebab itulah kita perlu memandang positif terhadap hal ini. 

Jika terserlah kebenaran setelah berjaya mematahkan hujah-hujah lawan, maka ini adalah anugerah daripada Allah. Melalui jawab balas kita inilah akan mempamerkan keunggulan ilmu kita dan kemapanan kefahaman kita pada mata para pemerhati yang adil. Jika terserlah kebatilan yang telah tertegak hujah sanggahan kepada kita, maka ini juga adalah rahmat-Nya jika kita bertaubat dan menuju kepada kebenaran.

Sebab itulah dalam kes Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy yang menjadi polemik di arena tempatan kita secara khusus, saya katakan kepada para pengikut dan pecintanya bahawa kita perlu menyambut baik kritikan terhadapnya kerana di situlah ujian yang Allah datangkan kepada mereka supaya kita menuju kepada rahmat-Nya. Selagimana mereka menjaga adab-adab dalam perbincangan, menjawabnya secara ilmiah dan matang serta bersabar dalam apa yang menekan mereka, mudah-mudahan Allah menyerlahkan cahaya keluhuran pada mereka dan meninggikan darjat karya Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy jika ia dibuktikan secara ilmu.

Saya selalu berikan contoh al-Buẖōriyy dan Ṣoḥīḥ miliknya dalam mengaitkan isu ini. Mengapa Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy dijulang begitu tinggi sehingga dinobatkan kitab paling sahih selepas al-Qur^ān? Ini kerana ahli hadis terkemudian memperakui keunggulannya. Adakah melalui mimpi? Adakah melalui kasyaf? Adakah melalui pembukaan-pembukaan ketuhanan? Tidak. Mereka menguji, menyaring dan menyemak. Lalu, dapatan mereka adalah bahawa kitab ini memenuhi syarat-syarat yang ketat dan kriteria-kriteria yang tinggi. Dapatan ini tidak mampu lagi disanggah. Hanya mampu terpesona dan ketakjuban dengan keagungannya.

Adakah Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy dapat dikatakan sebagai karamah daripada Allah. Saya pasti tidak akan ada sesiapa pun yang tersisa walau sedikit di lubuk jiwanya untuk meraguinya. Kitab ini benar-benar telah merebut dominasi kemuliaan yang tidak ditandingi walau di mana jua dan apa sahaja zaman yang menyapa. Ini adalah bukti yang tidak akan mampu ditolak lagi. Bolehkah kita katakan bahawa al-Buẖōriyy adalah wali Allah? Ini pun pasti tidak akan ada sesiapa yang mempersoalkannya. Khidmatnya terhadap ilmu, iltizamnya terhadap kebenaran dan istiqamahnya dalam kebaikan adalah bukti bahawa dia layak menduduk darjat wali. Malah, tidak akan ada mana-mana para sufi pun akan mengangkat tokoh-tokoh sufi lebih tinggi berbanding al-Buẖōriyy. Dapat dikatakan dia adalah wali kepada wali Allah di muka bumi ini.

Namun, adakah Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy tidak terlepas daripada kritikan? Sudah tentu. Ini terabadi dalam karya-karya ilmu hadis yang memfokuskan kritik hadis. Kritikan ini bukan datang dari orang yang sengaja berniat untuk meruntuhkan kredibiliti kitab ini, tetapi daripada sarjana-sarjana hadis yang teguh terhadap kebenaran dan juga tidak akan dipersoalkan kedudukan kewaliannya. Pun begitu, melalui kritikan inilah sebenarnya membuka peluang untuk kitab ini merangkul lebih banyak kemuliaan padanya dan melahirkan pelbagai faedah-faedah yang memperindah dan meneguhkan ilmu hadis. Nama-nama pengkritik ini terbadi bersama penyebutan yang penuh takzim dan disambut secara terbuka, namun Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy terus-menerus bertambah ketinggiannya.

Begitu juga dengan karya-karya al-Ġozāliyy, khususnya Ihyā^ *Ulūmiddīn. Sememangnya ada sejarah pahit terhadap karya ini. Sehingga sekarang pun ia masih segar rasa kepahitannya.  Namun, melalui itulah karya ini mendapat sanjungan dan kedudukannya pula menjadi terbilang. Mereka yang berilmu lagi adil serta bijaksana akan tahu di mana emas yang menjadi paparan berharga buat pembaca dan debu yang perlu ditepis dan dibersihkan. 

Sememangnya benar bahawa kritikan ini mengundang kepada rahmat-Nya bagi yang sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya, istiqamah terhadap manhaj ilmu yang benar, bersikap dewasa dalam interaksi ilmiah dan sentiasa cekal mendepani gelojak lawan. Ia akan menjadi bencana bagi orang yang tidak ada disiplin dalam ilmu dan iltizam terhadap manhaj ilmu yang sejati lagi jitu.

Kadangkala, saya kecewa melihat sikap pengikut dan pecinta Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy yang setiap kali dikritik berdasarkan pembedahan dari karya aslinya, mereka tidak mampu menjawab yang sama dengan membuka dan menghadam karya mereka berdua. Tidak perlu hairan jika kita melihat bertebaran orang yang bermain kad Argumentum Ad Verecundiam, Argumentum Ad Misericordiam, Argumentum Ad Ignorantiam, Ad-Hominem, kesan Kontras, bandwagon, red herring, strawman dan lain-lain falasi serta bias. Selagimana mereka enggan untuk melihat karya asal, lalu membentangkannya apa yang sebenar, selagi itulah kita melihat kad-kad ini terus disepahkan dalam perbincangan ilmiah.

Sejujurnya, bagaimana mungkin ini dapat menyampaikan rahmat kepada Allah jika mereka tidak mampu mempersembahkan emas-emas ilmiah yang bersinar dengan manhaj ilmu yang tulen lagi sejati? Jika mereka hanya sekadar melarikan diri atau enggan untuk mengamati realiti yang terkandung dalam karya tersebut, bagaimana mungkin mereka boleh mendakwa bahawa ia adalah kandungan yang benar lagi berdiri di atas kefahaman yang sahih? 

Saya secara peribadi tawaqquf dalam isu Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy kerana belum ada faktor yang mendorong saya untuk meneliti lebih dalam. Namun, bukan bermakna saya tidak tahu cerita-cerita polemik tentangnya atau saya mendiamkan dan tidak mengambil apa-apa pendirian apa yang jelas kesalahannya daripadanya. Saya cuma tidak menghukum kedua-duanya secara keseluruhan,  tetapi bukan bermakna saya mendiamkan apa yang tidak patut didiamkan sepertimana saya tidak menghukum seseorang atau pihak itu Jahmiyyah atau seumpamanya, tetapi tetap mengakui kesalahan yang cenderung kepada Jahmiyyah atau seumpamanya daripada seseorang atau pihak itu.

Apapun, saya melihat respons kedua-dua belah pihak dalam pertelagahan ini. Namun, rata-rata pihak pengikut dan pecinta Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy benar-benar menghampakan saya apabila melihat sebegitu cara mereka mendepani kritikan.

Ubahlah sikap. Lihat bagaimana sikap ahli ilmu dalam membela Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy dan Iḥyā^ *Ulūmiddīn. Mereka tidak berpaling daripadanya. Mereka juga memerhati dan mengakui realiti yang terbentang dalam karya tersebut. Lalu, mereka persembahkan kejernihan yang menyerikan kewibawaan ilmu yang terbenam dalam setiap patah perkataan. Dari situlah nyata kekuatan pada karya tersebut untuk meraih kedudukan yang teristimewa. Inilah titik perbezaan yang nyata antara ahli ilmu dalam membela dua karya tersebut dengan pengikut dan pecinta Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy tempatan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633743209500164096/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-45-kritikan-yang

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now