At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 142 : Mufti Perlu Berkompeten Dalam Perungkaian Masalah

2 0 0
                                    

Sepatutnya mufti patut menjelaskan mengapa fatwa tersebut dipinda dan apa perbezaan status tarekat terdahulu dan sekarang

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sepatutnya mufti patut menjelaskan mengapa fatwa tersebut dipinda dan apa perbezaan status tarekat terdahulu dan sekarang. Mengapa ada usaha keras untuk fatwa tersebut dipinda? Mengapa pihak mufti menerimanya? Apa pertimbangan mufti? Apakah tarekat sekarang telah membuang segala apa yang bertentangan dengan ajaran ahli sunnah? 

Apa garis panduan supaya pengikut tarekat dan orang ramai patut ketahui tentang apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan? Apakah ada amaran kepada pengamal tarekat tersebut untuk diharamkan jika mengulangi kembali atau melakukan sesuatu yang lain yang menyalahi ajaran ahli sunnah? Apakah masa hadapan pihak mufti dan pihak berwajib yang terlibat dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang?

Selain daripada tarekat itu, apakah ada tarekat lain atau ajaran yang telah diwartakan sesat diusahakan untuk dilobi agar dipinda? Adakah ada implikasi kepada pemindaan fatwa ini yang ada dalam jangkaan? Apakah mufti ada mengusahakan untuk memperkenalkan, mencari dan menyokong tarekat lain yang berkualiti untuk masyarakat menyertainya?

Saya tidaklah berkata mufti semestinya perlu membentangkan panjang lebar bagi menjawab soalan sebegini kerana ada sebahagian persoalan dan kemusykilan sememangnya cukup dengan jawapan ringkas dan pembentangan yang singkat. Akan tetapi, apabila ia melibatkan polemik dalam masyarakat, fatwa yang telah diwartakan, autoriti jabatan agama dan lain-lain, seorang mufti perlu lebih bertanggungjawab dalam bersikap transparensi dan menerangkan kepada masyarakat. 

Ia bukan isu yang remeh. Ia adalah isu yang fatwa tersebut telah bertahan lama dan ia ada kesan kepada autoriti fatwa. Ini kerana apabila satu ajaran telah dipinda status kesesatannya, maka ajaran lain akan mengambil peluang ini untuk melobi dan mendesak. 

Malah, ini juga membabitkan keluhuran fatwa kerana apabila ia dapat dipinda setelah dilobi, maka ia seakan-akan menggambarkan bahawa status fatwa selama ini boleh dipersoalkan, terdedah kepada kelompongan, diwartakan secara melulu dan boleh diubah jika adanya campur tangan dari pihak yang kuat lagi berpengaruh. Cubalah bayangkan keluhuran mahkamah dan perundangan jika keputusan dan undang-undang mudah dipersoalkan dan dirombak. Apakah mufti dan fatwa boleh seperti ini?

Atas sebab itulah ia adalah isu yang besar dan ia memerlukan pihak mufti untuk menerangkan secara tuntas. Bukan membiarkan dengan jawapan tahap sekolah menengah dan membiarkan masyarakat menilai dengan apa sahaja cara. Jika tidak diterangkan garis panduan serta apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, maka bagaimana masyarakat dan pengamal tarekat ini untuk menilai?

Mufti dilantik bukan sepertimana ustaz yang biasa atau pensyarah di universiti. Ia adalah lantikan yang adanya kedudukan yang tinggi seakan-akan sebaris dengan para profesor dan ilmuwan yang disegani dan disanjung hebat oleh masyarakat. Mereka dilantik dalam berperanan untuk menjelaskan isu-isu masyarakat selain dari menjawab persoalan agama.

Kalau sebegini sahaja yang boleh dipersembahkan, apa guna? Masyarakat pula yang perlu mencari jawapan sendiri dan menilai sendiri. Kemudian, menzahirkan rasa hairan mengapa orang tidak mahu merujuk mufti dan ilmuwan dalam urusan agama! Sedangkan mereka tidak sedar peranan yang sepatutnya mereka laksanakan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/681083961477316608/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-142-mufti-perlu

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now