At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 105

3 0 0
                                    

Adakah Semua Pendapat Dan Pengamalan Daripada Ahli Bait Perlu Diterima Tanpa Dipersoalkan?

Sebahagian orang berang apabila dinyatakan bahawa keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bukanlah maksum sehingga terdedah kepada kesilapan, kekeliruan dan kepincangan serta bukan semua daripada mereka sama ada berupa pendapat atau pen...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sebahagian orang berang apabila dinyatakan bahawa keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bukanlah maksum sehingga terdedah kepada kesilapan, kekeliruan dan kepincangan serta bukan semua daripada mereka sama ada berupa pendapat atau pengamalan diterima tanpa dipersoalkan, dihadam tanpa diperiksa, malah dikuduskan dan dikultuskan.

Saya ambil contoh penyebutan al-Qōsim bin Muḥammad bin *Aliyy bin Muḥammad bin *Aliyy, tokoh Zaydiyyah yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam dalam al-Asās Li ʿAqōʾid al-Akyās yang menyatakan bahawa leluhur ahli bait secara keseluruhan, teman syiah, Muktazilah dan selain mereka berpendapat bahawa Allah tidak akan dilihat di dunia dan di akhirat.

Al-Qōsim bin Muḥammad tidak bersendirian dalam hal ini. Al-Ḥusayn bin Badruddīn yang juga merupakan tokoh Zaydiyyah yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam Yanābi* aṣ-Ṣoyḥah Fī al-*Aqō*id aṣ-Ṣoḥīḥah juga mempertahankan pandangan bahawa Allah tidak akan dilihat di dunia dan juga di akhirat. Muḥammad bin al-Ḥasan bin al-Qōsim yang juga tokoh Zaydiyyah yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam Sabīl ar-Rošād Ilā Ma*rifah Robb al-*Ibād juga berpandangan sedemikian. Yaḥyā bin al-Ḥusayn bin al-Qōsim bin Ibrōhīm yang juga tokoh Zaydiyyah yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam Uṣūl ad-Dīn : *Aqīdah Ahl al-Bayt aṭ-Ṭōhirīn juga menyatakan sedemikian.

Malah, al-Kāẓim az-Zaydiyy, tokoh besar aliran Zaydiyyah dalam Majmū* Rosā^il al-Muhimmah Ḥawl az-Zaydiyyah membawakan penafsiran Zayd bin *Aliyy tentang firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā ini :

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ ‎﴿٢٣

"Kepada tuhanya ia melihat". [Surah al-Qiyāmah ayat 23].

Dia berkata bahawasanya kalimah "Nāẓiroh" merujuk kepada makna "Muntaẓiroh" (مُنْتَظِرَة), iaitu yang menanti. Bermaksud, orang beriman menantikan pahala tuhan mereka.

Ini sememangnya bertentangan dengan kesepakatan aliran al-Aš*ariyy atau salafi, bahkan kesepakatan ulama salaf dalam isu lihatan orang beriman terhadap Allah pada hari akhirat dan penafsiran ayat tersebut. Lantas, apakah patut kita mengambil sahaja pandangan ini secara pasrah atau menerima sebagai salah satu perbezaan pandangan yang muktabar hanya kerana ia ditulis oleh tokoh yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dan disepakati oleh mereka dari leluhurnya? 

Malah, *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh ahli hadis al-Aš*ariyy berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam an-Nafẖah aḏ-Ḏakiyyah Fī Anna al-Hajr Bid*ah aš-Širkiyyah menyatakan bahawa Zayd bin *Aliyy, perintis kepada aliran Zaydiyyah adalah Muktazilah. Sekarang, siapa yang mengikuti sunnah datuk mereka -ṣollallahu *alayhi wasallam- sebenar-benarnya dalam hal ini?

Di sini, bukanlah tujuan untuk memadamkan kedudukan tinggi ahli bait memandangkan mereka ini disebut dalam selawat dan mereka adalah sebaik-baik keluarga yang ada di dunia ini. Akan tetapi, di sini untuk mengajak melihat realiti bahawa kendatipun mereka mewarisi darah daripada baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam-, tidaklah mewarisi kemaksuman baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam- dengan autoriti mutlak pada pandangan dan pengamalan sehingga setara dengan wahyu.

Mereka ini juga masih perlu melaksanakan tanggungjawab ilmiah yang digalas pada bahunya sebagai seorang ilmuwan dan Muslim sebagaimana umat Islam secara keseluruhan, mengamalkan sepertimana yang telah menjadi sunnah, berpegang teguh dengan penghujahan yang mapan, menjauhi ketaksuban dan tidak menyombongkan diri. 

Sebaik-baik ahli bait adalah mereka yang melakukan kesalahan, tetapi menarik balik, bertaubat dan berubah pandangan. Contohnya adalah  *Abdullah al-Ġumāriyy pernah menarik balik karyanya al-Qowl al-Masmū* Fī Bayān al-Hajr al-Mašrū* setelah melakukan penelitian yang dalam dan menggantikan pandangan yang baharu dengan judul an-Nafẖah aḏ-Ḏakiyyah Fī Anna al-Hajr Bid*ah aš-Širkiyyah. 

Dia juga dalam Sabīl at-Tawfīq menyatakan bahawa dia tidak meredhai karyanya sendiri yang berjudul al-Kanz aṯ-Ṯamīn Fī Aḥādīṯ an-Nabiyy al-Amīn kerana di dalamnya mengandungi hadis-hadis dhaif. Hal ini kerana kitab tersebut ditulis ketika dia di dalam penjara akibat kezaliman Jamāl *Abdul Nāṣir dan dia dalam keadaan tersepit untuk merujuk dan menyemak semasa penghasilan kitab tersebut.

Adiknya, Muḥammad az-Zamzamiyy juga pernah menarik balik kitabnya al-Intiṣōr Li Ṭorīq aṣ-Ṣūfiyyah al-Aẖyār dan menggantikan beberapa pandangannya yang baharu dengan kitab yang berjudul az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh.

Jelas daripada sini bahawa ahli bait juga melakukan kesilapan dan mereka mempersembahkan akhlak yang terbaik dengan menarik balik pandangannya serta tidak sama sekali menjadikan pandangannya dan pengamalannya sebagai sakral lagi suci seolah-olah seumpama wahyu.

Tidak ada sesiapa dari kalangan ahli bait berhak untuk mengeksploitasi dirinya sebagai orang yang berketurunan baginda untuk mengkuduskan dirinya, mengkultuskan pengamalannya dan bertindak sebagai autoriti mutlak dalam berpandangan. Zuriat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bukanlah lesen untuk menghalalkan apa yang telah haram, melanggar syariat yang telah termaktub, menyampaikan pengajaran tanpa perlu menimbang dasar ilmu yang sistematik, menyebarkan hadis-hadis daripada datuknya tanpa sumber dan beramal tanpa memerhati sunnahnya.

Jika didapati salah, maka kita wajib berlepas diri, setia dengan hujah yang kukuh dan sunnah yang tulen. Misalnya dalam isu lihatan Allah pada hari kiamat oleh orang beriman. Sekalipun benar dakwaan al-Qōsim bin Muḥammad bahawa seluruh ahli bait bersepakat dalam ketidakharusan berlakunya sedemikian yang mana ia menyalahi kesepakatan ulama salaf sehinggalah al-Aš*ariyy serta tidak jitu pada penghujahan ilmiah, maka tidak perlu diambil kira, wajib diketepikan dan ditolak. Bahkan, perlunya untuk mengkritik dan menentangnya, lebih-lebih jika ia adalah kesilapan yang parah.

Ahli bait dihormati dan disanjungi bukan semata-mata mereka ini ada darah baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang mengalir ditubuhnya, tetapi kerana iltizamnya terhadap sunnah, konsisten dengan metodologi ilmu yang berdisiplin dan kepekaan yang tinggi untuk mengikut hujah yang terkuat. 

Ahli bait sejati adalah mereka yang mewarisi ilmu dan sunnah datuknya  -ṣollallahu *alayhi wasallam-, bukan mereka dari kalangan yang menyalahinya, menyelisihinya dan menjauhinya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/664731096933679104/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-105-adakah-semua-pendapat

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now