At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 102 : Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ Dan Wahabi

9 0 0
                                    

Bagi mereka yang berakronim ASWAJA, siapa yang tidak kenal Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ? Dia sangat berjasa pada aliran ini dalam menghasilkan pelbagai kitab dalam membantah al-Albāniyy secara khusus dan menyanggah wahabi secara umum serta mempertahankan p...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Bagi mereka yang berakronim ASWAJA, siapa yang tidak kenal Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ? Dia sangat berjasa pada aliran ini dalam menghasilkan pelbagai kitab dalam membantah al-Albāniyy secara khusus dan menyanggah wahabi secara umum serta mempertahankan praktik kesufian. Mana-mana ASWAJA yang tulus dan saksama, pasti akan kontribusi yang tidak ternilai dalam mengukuhkan keberadaan mereka untuk kekal relevan.

Akan tetapi, sekalipun dia dan gurunya dari keluarga al-Ġumāriyy bersama-sama bergiat aktif dalam mencantas wahabi, namun dia masih mengiktiraf bahawa wahabi atau salafi termasuk daripada ahli sunnah. Ini sememangnya menyalahi arus perdana ASWAJA dan resolusi muktamar di Chehcnya.

Yang lebih menarik adalah dia juga mengakui Ibn H̱uzaymah, Ibn az-Zāġūniyy, Ibn Baṭṭoh, Ibn Abū Ya*lā, Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah termasuk daripada ahli sunnah. Sekali lagi menyalahi arus perdana ASWAJA yang bukan sahaja mengeluarkan nama-nama ini daripada ahli sunnah, bahkan mengutuk dan mencela habis-habisan sehingga runtuh kredibiliti mereka dalam penghujahan akidah.

Tambah lagi menarik adalah dia juga menyarankan untuk merujuk kitab an-Nūniyyah karya Ibn al-Qoyyim dalam mengamati pandangan ulama dalam isbat arah kepada Allah dan memperakui bahawa pengisbatan arah ini juga adalah salah satu pandangan ahli sunnah. Berbeza dengan arus perdana ASWAJA yang sememangnya membakulsampahkan karya Ibn al-Qoyyim bagaikan tiada nilai. Malah, pengisbatan arah ini juga sudah cukup menjadi modal tuduhan terhadap seseorang bahaw orang yang berkata sedemikian adalah musyabbih.

Sebenarnya, tidak ada yang dihairankan daripada keunikan Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ. Ini kerana dia juga mewarisi keunikan daripada gurunya dari keluarga al-Ġumāriyy, iaitu *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adiknya, *Abdul *Azīz dan Ibrōhīm. Sesiapa yang mengenali lebih mendalam tentang keluarga ini, pasti akan menemukan keunikannya. Malah, tidak juga akan dihairankan mereka yang bergraduasi daripada madrasah keluarga ini akan menyerlahkan keunikan mereka. Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ adalah salah seorang daripadanya.

Dia dan gurunya walaupun diangkat arus perdana ASWAJA kerana banyak mengkritik wahabi, menentang al-Albāniyy dan membela sufi, tetapi mereka sebenarnya melawan arus perdana ASWAJA kerana prinsip yang mendasar dalam manhaj; teguh kepada pengamalan mengikut sunnah, tegas dalam mengikut dalil, bersungguh-sungguh dalam menjauhi taklid dan keras mencela ketaksuban mazhab. Inilah yang tidak ada pada ASWAJA arus perdana. Yang mereka ambil daripadanya dan keluarga ini adalah yang memenuhi kepentingan mereka sahaja, khususnya pembentangan dalil bagi praktik kesufian dan senjata pergelutan bersama wahabi.

Pun begitu, walaupun Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ mengiktiraf wahabi sebagai ahli sunnah, dia tetap menjelaskan dua kepincangan yang ada pada mereka menurutnya pada hantaran tersebut. 

Yang pertama adalah wahabi melakukan banyak kesilapan. Antaranya adalah mengeluarkan al-Aš*ariyy, al-Māturīdiyy dan sufi daripada ahli sunnah. Pun begitu, dia juga tetap mengkritik pengitlakan ahli sunnah hanya terhad kepada al-Aš*ariyy, al-Māturīdiyy dan sufi sahaja sehingga itu menyebabkan terkeluarnya salafi daripada aliran ini dan ini adalah kesilapan ilmiah menurutnya. Menurutnya, tempat rujuk ilmu salafi adalah ahli sunnah dan mereka adalah Ḥanābilah pada asalnya.

Yang kedua adalah wahabi bersikap ekstrim dalam pengkafiran. Dia mengakui bahawa setiap mazhab ada yang mencela penyelisihnya dan menuduh bidaah terhadapnya. Akan tetapi, wahabi menurutnya adalah bentuk yang lebih ekstrim padanya. 

Yang ketiga adalah mereka ini akan menjadi polis akidah ketika membicarakan tokoh ilmuwan. Mereka akan mengukur sejauh mana penyelisihannya dalam akidah mereka, khususnya yang menepati piawaian Ibn Taymiyyah. 

Saya secara peribadi sebenarnya tidak menyukai apa yang dilakukan salafi ketika membedah akidah seseorang. Saya melihat banyak karya yang mengkaji akidah tokoh ilmuwan seperti Ibn *Abdul Barr, Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy, Ibn Rojab al-Ḥanbaliyy, as-Suyūṭiyy atau komentar dalam tahqiq kitab akidah seperti kitab Abū Bakr al-Ismā*īliyy dan Abū Naṣr as-Sijziyy, sebahagiannya apabila didapati kata-katanya tidak menepati salaf, khususnya dari kaca mata Ibn Taymiyyah, mereka akan menumpahkan komentar untuk mengambil kesempatan dalam mengeksploitasi fahaman mereka.

Saya secara peibadi sangat tidak senang perbuatan ini. Kitab yang dihasilkan untuk membuat kajian akidah individu dalam memperkenalkan akidahnya menjadi kitab bantahan secara sisipan. Apa respons salafi kalau kajian terhadap akidah Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah dan lain-lain diperlakukan sebegini?

Sebab itulah saya agak faham mengapa Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ menyebutkan hal ini dalam hantaran ringkas kerana perkara ini sememangnya merimaskan para pembaca. Kitab seperti ini telah tersebar merata.

Oleh itu, ketidaksetujuan terhadap seseorang bukan bermakna perlunya mengeluarkan daripada ahli sunnah biarpun seseorang itu mengeluarkan orang lain daripada ahli sunnah. Sememangnya perkara ini sukar untuk dipraktikkan dalam bertoleransi dan menahan diri dari sembarangan mengeluarkan orang lain dari sesuatu manhaj hanya kerana ada serangan melampau daripadanya. Jika kita mampu melakukannya, maka bersyukurlah kepada Allah bahawa kita dikurniakan kesabaran yang tinggi dan kelapangan dalam jiwa untuk menahan kepedihan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/662669549879033856/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-102-ma%E1%B8%A5m%C5%ABd-sa%C4%ABd-mamd%C5%AB%E1%B8%A5

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now