At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 82 : Kemungkaran Yang Boleh Dikenal Orang Awam

5 0 0
                                    

Sebenarnya tidak perlu pun seseorang untuk menjadi ulama bagi mengenalpasti kebobrokan pandangan ini dan membantahnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sebenarnya tidak perlu pun seseorang untuk menjadi ulama bagi mengenalpasti kebobrokan pandangan ini dan membantahnya. Cukup seseorang mempunyai pengetahuan mendasar tentang sunnah dan terbinanya penghayatan dalam jiwa untuk melakukan pertahanan kepada sunnah seperti ini atau terselamat daripada kancah kefahaman sebegini.

Bukanlah saya ingin menafikan kepentingan keluasan ilmu dalam sesuatu bidang agar lebih komprehensif kefahamannya, tetapi ada beberapa perkara yang kesalahan itu boleh dikenalpasti kejelasan salahnya yang berbeza dari peringkat awam sehingga tahap ahli ilmu. Kalau dalam ilmu tajwid pun ada kesalahan yang terang yang tidak dimaafkan kesilapannya dan boleh dikenalpasti dengan mudah, sebegitu juga dalam bidang yang lain.

Mungkin yang menjadi isu adalah sikap orang awam mempertikaikan para ulama seolah-olah mereka melakukan kesilapan yang orang awam boleh mengenalnya tanpa dia sedar. Duhai! Kalau ada ahli ilmu yang meminum arak sekalipun, tidak perlu pun seseorang itu mencapai darjat ulama yang menghafal ribuan hadis dan pelbagai kriteria yang tinggi yang lain untuk menjalankan pencegahan kepada mungkar. 

Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa ulama yang melakukan kesalahan itu tidak sedar bahawa ia adalah yang boleh dikesan oleh orang awam? Kita katakan, setiap manusia ada alpanya, kelalaiannya, terlepas pandangnya, kekurangan yang tidak boleh dielakkan dan kesilapan yang tidak disengajakan. Kita semua mungkin akan terjebak dengannya tanpa kita sedari. 

Oleh itu, selain meraikan tahap keilmuan seseorang, kita juga perlu ada rasa junjungan terhadap kebenaran yang disampaikan. Ia adalah rezeki dari Allah yang haram kita dustai walau sehebat mana pun kompeten kita dalam bidang ilmu kita. Sesiapa yang berpaling daripada nikmat-Nya yang mulia kerana ketaksuban dan kesombongan, pasti dia akan dibinasakan.

Perhatikan kisah *Abdul Qōdir al-Jaylāniyy yang disebutkan Ibn Rojab al-Ḥanbaliyy :

وذكر فيه أيضا بإسناده عن موسى ابن الشيخ عبد القادر، وقال: سمعت والدي يقول: خرجت في بعض سياحاتي إلى البرية ومكثت أياما لا أجد ماء، فاشتد بي العطش فأظلتني سحابة، ونزل عليِّ منها شيء يشبه الندى. فترويت به. ثم رأيت نورا أضاء به الأفق، وبدت لي صورة، ونوديت منها: يا عبد القادر أنا ربك، وقد أحللت لك المحرمات أو قَالَ: ما حرمت على غيرك فقلت: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. اخسأ يا لعين، فإذا ذلك النور ظلام، وتلك الصورة دخان، ثم خاطبني، وقال: يا عبد القادر، نجوت مني بعلمك بحكم ربك وفقهك في أحوال منازلاتك. ولقد أضللت بمثل هذه الواقعة سبعين من أهل الطريق. فقلت: لربي الفضل والمنة. قَالَ: فقيل له: كيف علمت أنه شيطان. قَالَ: بقوله: وقد أحللت لك المحرمات.

ِDisebutkan di dalamnya dengan sanadnya dari Mūsā bin Syeikh *Abdul Qōdir. Dia berkata; Aku mendengar ayahku berkata; Aku keluar pada sebahagian perantauanku di gurun. Aku menetap selama beberapa hari tanpa aku menemui air. Lalu, menjadi bersangatan dahagaku. Lalu, terdapat satu awan menaungiku, lalu turun sesuatu yang menyerupai embun kepadaku daripadanya. Kemudian, aku melihat cahaya yang menyinari ufuknya, lalu munculah suatu rupa kepadaku dan aku diserukan daripadanya: "Wahai *Abdul Qōdir! Sesungguhnya aku tuhanmu. Aku telah menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan" atau dia berkata: "Aku tidak mengharamkan kepada selainmu". Aku berkata: "Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam! Berambuslah wahai yang dilaknat!". Tiba-tiba cahaya itu menjadi gelap dan rupa itu menjadi asap. Kemudian, ia berbicara kepadaku dan berkata: "Wahai *Abdul Qōdir, engkau telah selamat daripadaku dengan ilmumu dengan ketetapan tuhanmu dan kefaqihanmu pada keadaan-keadaan tentanganmu. Aku telah menyesatkan dengan semisal kejadian ini seramai tujuh puluh orang dari sang pejala menuju Allah". Aku berkata: "Milik tuhanku segala kelebihan dan pemberian". Dia berkata; Dikatakan kepadanya: "Bagaimana engkau tahu bahawa ia adalah syaitan". Dia berkata: "Dengan katanya: Aku menghalalkan perkara-perkara yang haram untukmu". [Ḏayl Ṭobaqōt al-Ḥanābilah, jilid 2, m/s 196, keluaran Makatabah al-*Ubaykān, ar-Riyāḍ, tahqiq *Abdul Roḥmān Sulaymān al-*Uṯamymīn].

Cubalah bayangkan kalau selepas ini kita menemukan syeikh sufi yang mengatakan bahawa bolehnya mengqasarkan solat walaupun tanpa musafir atas alasan  ia adalah perkhabaran Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang dia menemuinya dalam mimpinya atau al-Ḥoḍir -*alayhissalām- menemuinya. Tidak perlu pun ragu bahawa itu adalah daripada syaitan yang menyamar baginda. Tidak perlu menjadi ulama pun untuk menolak syubhat seperti ini. Cukup mengenali prinsip sunnah dan berpegang erat dengannya.

Ini bukan isu pertelagahan antara ulama dengan orang awam. Ia adalah isu penerimaan kebenaran. Banyak mana pun ilmu seseorang dalam dadanya, salah tetap salah meski tokoh kebesaran yang melakukannya. Kebenaran akan diambil kira walaupun daripada orang awam. 

Pentingkan hujah yang menepati sunnah, bukan siapa yang berjubah! Amati kebenaran, bukan kedudukan! Kita menghormati ulama kerana kedudukan yang diistimewakan yang selayaknya dengannya, tetapi itu bukan bermakna kita membenarkan apa sahaja, malah mengkultuskan segala yang terbit daripadanya.

Saya teringat apa yang pernah disebutkan bahawa jika seorang murid ternampak syeikh berzina di hadapan matanya, ia mungkin tipu daya mata murid yang terpancar dari sanubari yang kotor yang syaitan memanipulasi derianya agar ternampak perlakuan salah syeikh tersebut, walhal hakikatnya bukan sedemikian atau sama sekali tidak boleh mempersoalkannya kerana rendahnya darjat murid berbanding syeikhnya. 

Penyebutan ini menepati yang disebutkan Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, salah seorang sufi berketurunan Rasululllah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh yang menyatakan salah satu bidaah tarekat kesufian adalah wajib bagi orang yang memasuki zawiyah tarekat menjadi buta, pekak dan bisu. Apabila dia melihat kemungkaran, wajib baginya menganggap dirinya sendiri tidak nampak sesuatu kerana zawiyah adalah tempat bertakhtanya sultan hakikat, bukan sultan syariat. Sesiapa yang mencegah kepada kemungkaran dalam zawiyah, maka dia tidak akan berjaya kerana melanggar batasan  sultan hakikat!

Ini adalah alasan yang bodoh untuk menutup kemungkaran. Bayangkan kalau ini berleluasa dalam tarekat dan praktik kesufian dan tidak dibendung secara tegas. Perkara ini tidak perlu seseorang untuk setara dengan ahli ilmu ketinggian untuk menyanggahinya. 

Sekarang ini, mereka yang beralasan bahawa orang awam tidak boleh menegur ulama yang melakukan kesalahan yang jelas di sisi peringkat ilmu yang biasa pun kerana kononnya orang awam tidak setara dari segi capaian ilmu sedang mengemukakan alasan yang sama seperti sufi bodoh tersebut, cuma tidak sehalus sufi. Yang mereka sibuk membangkitkan adalah isu yang remeh dan tidak siginfikan atau tiada kaitan dengan hujah seperti penampilan dan taraf seseorang.

Tidak perlulah mempertahankan yang jelas salah dan tidak perlu menunggang kedudukan seseorang dalam bidang ilmu apabila nyata kebenarannya. Sunnah adalah di pihak yang tertinggi dan hakim bagi setiap perkara. Janganlah kita mengangkat seseorang yang seakan-akan dia tidak dipertanggungjawab untuk menimbang dirinya dalam neraca sunnah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/656356198599245824/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-82-kemungkaran-yang-boleh

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now