At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 119 : Keperluan Dalil Untuk Orang Awam

2 0 0
                                    

Sebenarnya, menyampaikan dalil kepada orang awam yang kurang literasi dalam ilmu agama tidak perlu tuntas persis kitab muktamad fiqh mazhab atau tesis atau seumpamanya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sebenarnya, menyampaikan dalil kepada orang awam yang kurang literasi dalam ilmu agama tidak perlu tuntas persis kitab muktamad fiqh mazhab atau tesis atau seumpamanya. Cukup membentangkan bukti yang memadai yang ringkas, tetapi berpatutan untuk mereka.

Jika merasakan cukup dengan membentangkan satu daripada ayat al-Qur^ān dan tafsir ringkas, itu pun dikira dalil yang memadai untuk mereka.  Jika merasakan cukup dengan membentangkan satu hadis, itu pun dikira dalil yang memadai untuk mereka. Jika merasakan cukup dengan satu petikan kalam ulama, itu pun dikira dalil yang memadai untuk mereka.

Itu mungkin akan berbeza jika orang terdiri daripada para profesional yang menjadi pakar rujukan dalam bidangnya dan berpengalaman banyak dalam kajian dan penyelidikan. Kemungkinan soal jawab antara penanya dengan penyampai akan lebih panjang sehingga kupasan dalil akan lebih diperincikan.

Kalau pun tidak mahu untuk mengulas atau mengupas dalil kerana malas atau kekangan masa atau tidak berkemampuan, mintalah penanya itu untuk mengajukan persoalan kepada orang lain yang berkemahiran atau cadangkan rujukan pembacaan untuk dia menelaahnya. Kalau tidak tahu, beritahu sahaja kepada mereka bahawa kita tidak tahu atau minta mereka untuk kita diberikan masa untuk mengulang kaji atau minta mereka untuk mengajukannya kepada orang lain yang selayaknya.

Hidup ini akan menjadi mudah dengan sebegini. Tidak perlu berserabut dengan mencipta pelbagai karenah yang sememangnya ingin membentak orang awam. Beringatlah dengan firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā yang ini :

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ

"Adapun orang yang meminta, janganlah engkau mengherdik". [Surah aḍ-Ḍuḥā ayat 10].

Orang yang meminta dalil, janganlah diherdik dan janganlah dicela. Malangnya sebahagian agamawan ini bukan sahaja kedekut untuk memberikan dalil atau mungkin sahaja tidak ada dalil langsung bagi pandangannya, mereka juga tergamak mengherdik orang yang bertanya dan menyangka buruk terhadap orang itu sebagai dangkal akalnya, bodoh yang tidak akan mampu dan sangat cetek dalam pengetahuan dalam agama. Kemudian, mereka mendogmakan kepada masyarakat bahawa orang awam seolah-olah tidak ada hak untuk mengetahui dalil dan para pengajar agama tidak ada keperluan untuk bersikap transparensi dalam mengemukakan sokongan bagi pendapat dan dakwaannya.

Malah, lebih jahat lagi adalah para penanya dipersoalkan motif, disangka buruk niatnya. Seolah-olah para penanya ini berkehendak untuk mencari perbalahan dan menjatuhkan martabat keilmuan mereka. Padahal, mereka ini bertanya tentang dalil adalah supaya mententeramkan jiwanya bahawa pemahaman dan pengamalan mereka bersandar kepada dalil atau menghuraikan kemusykilan mereka atau membersihkan kesamaran terhadap pendirian agamawan yang menyampaikan yang diikuti. Tidak semestinya yang bertanya ini benar-benar ada motif yang jahat selagimana belum terbukti.

Bayangkanlah kalau doktor berkata kepada para agamawan agar tidak perlu tahu kandungan vaksin kerana agamawan bukannya tahu apa-apa pun, tidak ada kepakaran dalam perubatan dan bukan ahli dalam hal ehwal patologi. Bayangkanlah kalau para menteri berkata kepada para agamawan agar tidak perlu mendesak supaya menteri bersikap transparensi dengan mengemukakan laporan kewangan bagi sesuatu syarikat kerajaan kerana agamawan ini bukan ahli dalam perakaunan. Begitu juga mereka yang di bidang profesional yang lain berkata yang sama kepada para agamawan. Apa rasa agamawan jika dilayan sebegini?

Agamawan yang memperlekehkan orang awam, lebih-lebih lagi yang ada kepakaran dalam kajian dan berkemahiran dalam berfikir sama sahaja layanan yang disebutkan tadi. Mereka bersikap skeptik untuk membenarkan diri mereka disuntuk dengan vaksin yang tidak diberitahu kandungannya, bahkan berang jika para doktor tidak mendedahkan kandungannya. Akan tetapi, mereka sendiri yang bersikap sebegitu dalam agama terhadap golongan yang dipanggil orang awam. Kemudian, mereka berang mengapa orang tidak mahu mengikut kata mereka, sedangkan ada sebahagian mereka tidak ingin disuap dengan pendapat dari seseorang atau tidak mahu beramal dengan amalan seseorang tanpa mengetahui sandarannya!

Sebab itulah kita perlu raikan kadar akal mereka ini, bukan mendirikan kasta terhadap mereka. Para peguam akan berfikir cara peguam. Para detektif akan berfikir cara detektif. Begitulah seterusnya. Tabiat mereka ini akan dibawa ke segenap kehidupan harian mereka sehinggalah ke luar bidangnya, khususnya ketika belajar dan mengkaji. Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana akal mereka dibentuk, dibesarkan dan dibiasakan seperti ini. Apa yang agamawan perlu buat adalah kekal relevan dengan merapatkan jurang antara mereka dan menghormati kemampuan intelek mereka, bukan menganggap bodoh dan merendahkan akal mereka hanya kerana mereka ini dinamakan orang awam!

Yang paling menghairankan sekali adalah agamawan yang tidak begitu kritis dengan dalil dan tidak bersikap transparensi selalu sahaja terpalit dengan pendapat yang merepek, cerita yang karut dan tidak berasas, kupasan yang menyalahi kaedah ilmu dan sanggahan yang jauh tersasar daripada objektifnya. Kita boleh katakan mereka ini ada yang tergolong dalam penglipur lara atau seumpamanya. Ini disebabkan mereka tidak berhati-hati untuk fokus kepada dalil dan bersikap transparensi.

Bahkan, mereka ini suka sahaja memandai-mandai dalam bidang yang bukan mereka kuasai seperti kedoktoran, sains, geopolitik dan lain-lain. Mereka ini marah kalau ada orang yang tidak berkeahlian dalam bidang agama mengulas dan berwacana tentang agama. Namun, mereka ini dalam masa yang lama lakukan apa yang mereka sendiri membentaknya! Mereka melarang orang awam bertanya tentang dalil. Akan tetapi, mereka ini juga bercakap di luar bidang pengkhususannya tanpa dalil langsung di pentas ceramah!

Mungkin ada yang tertanya, bagaimana jika sudah memberikan dalil, tetapi orang yang bertanya itu tidak mahu menerima dalil itu? Saya katakan, dia mahu menerima atau tidak, itu terserah kepada mereka. Yang penting adalah kita bersikap transparensi dan kita yakin bahawa pengamalan kita ada dalil sehingga kita tidak perlu gentar mengutarakan pandangan atau beramal dengannya.

Mereka yang bertanya dalil bukan semestinya sama aliran dan mazhab dengan kita. Jika pengamal mazhab Ḥanafiyy bertanya dalil kepada agamawan bermazhab aš-Šāfi*iyy tentang pengamalan mengikut mazhabnya, adakah dia ingin menjangkakan pengamal mazhab Ḥanafiyy itu akan menerima pandangannya dan beralih kepada mazhab lain? Tidak semestinya. Yang penting adalah kita bersikap transparensi dengan menyampaikan dalil pengamalan dan pendapat kita.

Sebab itu kembali kepada kemungkinan bagi sebab pertanyaan. Ada yang sekadar untuk ambil tahu sahaja. Ada yang mahu mendapatkan pencerahan tentang mazhab tersebut. Begitulah seterusnya. Tidak semua didorong dengan tujuan yang jelek. Sebab itulah jangan mudah bersangka buruk terhadap saudara Muslim yang lain kerana mereka yang bertanya mungkin sahaja ada niat yang murni.

Sama ada dia terima atau tidak, itu bukan urusan kita. Yang penting sekali adalah kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai orang yang dikurniakan ilmu untuk menzahirkan kesyukurannya dengan menyampaikan apa yang telah dikurniakan dengan seberhaknya pada waktunya.

Kalau pun sememangnya yang bertanya itu ada motif untuk berbalah dengan kita, kita cubalah melayaninya dengan sebaiknya. Kalau kita yakin kita memiliki hujah yang kuat, maka sampaikanlah dengan tawakkal. Bahkan, mungkin kita juga akan mendapat input yang positif daripada mereka kerana kita boleh belajar perspektif, penghujahan, pandangan dan dalil yang kita mungkin tidak terfikir dalam hidup kita dan yang tidak pernah kita pelajari sebelum ini atau ia mungkin mengingatkan apa yang kita lupa.

Kalau tidak mampu berhujah, buatlah cara sepertimana kita tidak tahu apa-apa sepertimana yang diterangkan tadi. Kalau dirasakan ia adalah perbalahan yang tidak sihat dan tidak ada apa-apa makna atau ia adalah isu yang remeh atau ia dalam lingkungan ijtihad, maka ketepikanlah dan serahkanlah kepada mereka yang lebih layak untuk mendepaninya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/668563090462457856/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-119-keperluan-dalil-untuk

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now