At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 141 : Krisis Intelektualisme Di Negara Kita

3 0 0
                                    

Di tanah air kita, sememangnya kita menghadapi krisis intelektualisme

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Di tanah air kita, sememangnya kita menghadapi krisis intelektualisme. Tidak cukup dengan hiburan yang kelas rendahan dan tidak bermutu, kita juga kerap sahaja disajikan dengan rancangan dan slot pengisian yang hanya meraikan orang yang beku akalnya, tepu pemikirannya dan kemalasan yang mendalam terhadap semangat pembelajaran. Bahkan, adakalanya ia lebih menjurus kepada doktrinisasi dan penentangan terhadap manhaj ilmu yang sejati.

Kita bukanlah mengharapkan agar stesen radio dan televisyen atau mana-mana platform untuk sentiasa menyediakan rancangan atau slot yang beraras tinggi dan perbincangan di tahap pakar. Akan tetapi, kita mengharapkan usaha yang bersepadu lagi berterusan untuk merancakkan lagi wacana dan perbincangan intelektualisme serta membangunkan masyarakat yang celik lagi cerdik serta sentiasa entusias untuk wacana seperti ini serta mengharapkan paparan 

Kita juga mengharapkan agar wacana dan perbincangan ilmiah dapat dipertingkatkan dan dapat mengekalkan stamina tahap sederhana yang boleh para panel yang berkaliber untuk membahaskan bahagian di aras tinggi apabila diperlukan dan ia mampu ditanggung oleh masyarakat yang telah dididik dan dilatih untuk wacana seperti ini. Malah, rancangan hiburan juga pun patut lebih kreatif, bermakna dan berisi dengan sajian yang mengenyangkan minda intelektual.

Sampai bila kita ingin beri alasan dan berlapik kerana masyarakat di aras rendahan dan sukar untuk menghadam perbincangan yang lebih kompleks dan tuntas? Alasan seumpama ini sama ada ia merendahkan kadar akal masyarakat seakan-akan mereka terlalu bodoh untuk memahaminya atau merasa tidak bersalah untuk menerima masyarakat yang telah berkubang dalam kerendahan intelektualisme dan sanggup membiarkan ia berpanjangan.

Yang menghampakan adalah sebahagian kelompok masyarakat lebih gemar dan lebih menyambut baik cerita-cerita karut, ajaib dan mencarik adat seperti mimpi seseorang bertemu dengan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Tidak cukup dengan itu, penglipur lara dijemput bagi menambahkan perencah yang telah lama menggiurkan lidah dan memenuhi apa yang dituntut oleh kelompok ini dalam meredakan jiwa mereka yang sudah jemu dan letih dengan urusan pekerjaan.

Bagi mereka, agama sekadar pengisian sampingan untuk tujuan kerehatan setelah penat bekerja, santai ketikamana tidak tahu apa yang patut dibuat pada masa lapangnya serta menjadi tempat untuk mengharapkan keajaiban dan sakti dari agamawan yang konon memiliki perbendaharaan untuk menyampaikan hajatnya dan wakil tuhan untuk mengalirkan kuasa-Nya kepadanya.

Agama sebagai pencetus kepada intelektualisme, semangat kepada pembelajaran sepanjang hayat, entusias untuk mewujudkan suasana dan budaya ilmiah serta puncak kepada segala ilmu, kefahaman dan kecendekiaan langsung sama sekali tidak dipandang melainkan sekadar sepintas lalu atau ibarat mencurah air ke daun keladi. 

Atas sebab itulah apabila dihadapkan beberapa masalah yang memerlukan ketajaman minda, daya saing intelektual dan profesionaliti dalam pengaplikasian ilmu, kita seakan-akan melihat masyarakat yang terkandas, tumpul, dungu, terpinga-pinga, hanyut, ketinggalan jauh dan di dalam kemelut kebodohan yang dikeji. Seakan-akan mereka bukan sahaja tidak nampak, malah seakan-akan mereka meredhai situasi yang sangat meruncing lagi menyayat hati seperti ini.

Pada masa keributan ini, barulah terhegeh-hegeh mencari ilmuwan yang berkualiti dalam merungkai kemusykilan mereka dan mengubati syubhat yang meradang di jiwanya. Selama ini mereka mengharap para penglipur lara yang terus memperbodohkan masyarakat untuk mengisi keperluan mereka dan selama ini juga mereka menyindir, memboikot, mengenepikan dan menyisihkan golongan yang berkualiti kerana tidak mengikut rentak mereka. Akhirnya, setelah sedar bahawa idola dan figura yang mereka angkat itu tidak kurang kolot lagi tolol sepertimana yang lain, barulah menagih kewibawaan dan kemahiran mereka.

Pada saat genting ini, barulah masyarakat mula bertanya apa itu manhaj atau metodologi. Selama ini hanya mencedok apa sahaja yang ditemukan, menelan apa sahaja yang disajikan dan mengikut membabi buta terhadap seseorang yang dijulang. Mereka lebih kenal kebenaran melalui orang, bukan mengenali ahli kebenaran melalui kebenaran. 

Apa sahaja yang penglipur lara dodoikan dinikmati tanpa waspada dan apa sahaja yang agamawan yang haprak ini curah ditimba tanpa saringan. Manakala, orang lain yang jauh lebih berkualiti daripadanya dipersoalkan kredibilitinya, bahkan ditendang secara zalim kerana melawan arus dan menentang kebejatan yang ada pada golongan tersebut. Sekarang, apabila tampak pada mereka kekalutan dan kontradiksi yang bertaburan, barulah mereka mengenal pembaris dan neraca untuk menyusun atur apa yang selama ini dibiarkan bersepah.

Yang lebih menyedihkan lagi adalah setelah tersadung ke lumpur setelah lama berjalan sambil mengelamun, barulah mula bina kesedaran untuk mengawasi sekeliling. Namun, ia menjadi seakan-akan hangat-hangat tahi ayam. Tidak berterusan semangatnya dan tidak mempelajari malang yang menimpanya dulu seoalah-olah tidak pernah mengalaminya.

Apabila muncul ajaran sesat yang baru, sebahagian masyarakat kita seakan-akan baru berhadapan dengan golongan ini dan yang lebih teruk lagi adalah terpengaruh dengan dakyah dan ajaran mereka. Padahal, kita sudah berhadapan dengan pelbagai ajaran sesat yang wajahnya persis dengan yang terkini, cuma berbeza bungkusan luar sahaja. Akan tetapi, sebilangan masyarakat kita ini seperti tidak pernah mendepaninya dan berkonfrontasi dengannya.

Usah berkata tentang ajaran sesat. Skim cepat kaya dan model bisnes yang kononnya bebas dari pemasaran berbilang aras pun masih ramai yang kecundang dan tidak mampu membezakannya seakan-akan kita baru sahaja belajar dan bertemu dengan komplot penipuan ini. Seakan-akan skim Pak Man Telo dan skim pelaburan emas Tok Belagak ini sesuatu yang asing, bahkan terlalu kuno untuk diimbau kembali dan dipelajari agar tidak berulang. Kita seakan-akan tidak ada masalah untuk jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali.

Bagaimana mungkin ini terjadi jika kita berhadapan dengan krisis intelektualisme. Sampai bila kita ingin redha masyarakat kita di tahap seperti ini dan di belenggu kitaran yang memalukan umat ini? Sampai bila kita hanya ingin menjadi masyarakat reaktif berbanding maju ke hadapan dengan proaktif?

Pembaharuan intelektualisme sangat diperlukan bagi masyarakat dan mereka yang membawa perjuangan ini perlu terus dilahirkan pada setiap generasi. Kita bukan tidak ada langsung orang seperti ini sepanjang sejarah kita, bahkan pada masa kini dan jumlah mereka bukan sedikit. Namun, apa jadi?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/681082162761613312/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-141-krisis

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now