At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 14 : Agama Pilihan Anak Ketika Perseteruan Ibu Bapa

7 0 0
                                    

Katanya: "Agama seseorang bukan pilihan ibu atau bapa

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Katanya: "Agama seseorang bukan pilihan ibu atau bapa. Ia adalah pilihan masing-masing". Agama ini bukan pemaksaan ke atas sesiapa. Jika kekufuran yang dipaksa tidak mengugurkan iman seseorang, begitu juga keimanan yang dipaksa. Kalau sang anak akhirnya memutuskan diri dari agama ini, tidak boleh dipaksa kalau itu sememangnya pilihan yang telah jazam di jiwa. Keimanan bukan warisan atau automatik dari suis yang dihidupkan seseorang. Jika seseorang itu hanya beraksesorikan iman, tetapi hakikatnya kosong dan tandus pemahamannya dalam konsep keimanan yang sejati, maka bukanlah itu dianggap sebagai iman.Bagaimana mungkin seseorang dikatakan percaya kepada perlembagaan, tetapi tidak tahu apa-apa pun tentang sesuatu yang dia percaya? Itu cumalah percaya pada yang orang cakap tentang perlembagaan.

Katanya: "Agama pilihan ibu bapalah yang menjadikan kacau bilau pada kehidupan anaknya di kemudian hari". Kata-kata ini sebenarnya melihat pada konteks sebutannya. Jikalau konteks umum, boleh jadi hal ini benar atau salah kerana terdedah dengan subjektif. Namun, ucapan ini muncul ketika berlakunya perebutan agama anak-anak apabila tercerainya suami dan isteri apabila salah satunya memeluk agama Islam.

Dalam konteks ini, mungkin dapat difahami bahawa merebut untuk menentukan agama ini merupakan sesuatu yang kacau bilau terhadap anak-anaknya. Apakah kerana seseorang, maka anak-anak dipersoalkan status agamanya? Tidak! Iman itu ialah sesuatu yang lahir dan terbina dari diri sendiri, bukan dengan sebab orang lain. Pemaksaan agama anak-anak hanya merugikan dan menyeksa anak-anak kerana jiwa dan minda mereka ditekan untuk sesuatu yang berasal usul dan berakar umbi dari diri sendiri. Merekalah yang memilih jalan untuk kebahagiaan diri mereka sendiri, bukan dipaksa oleh orang lain.

Katanya: "Ibu bapa berhak menasihati sahaja, bukan mengungkit-ungkit jasa yang telah diberikan kerana anak itu pun tidak minta dilahirkan ke dunia. Ibu bapa itulah yang mengeluarkan anak itu ke dunia". Apabila kita tahu anak kita sama sekali tidak pernah meminta dirinya untuk dilahirkan ke dunia, maka kita ada tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak bahawa kehidupan yang mereka kecapi ini mempunyai keuntungan yang besar berbanding tidak dilahirkan langsung sehingga dia tidak menyesali lagi mengapa dia dilahirkan ke sini.

Mungkin tersisip di jiwa kita yang mengharapkan anak menjadi aset yang membantu kita kelak ketika kita uzur dan bangka. Ketika itu, untuk tambat anak daripada kederhakaan dan penjauhan, modal yang tinggal mengungkit semua yang telah kita curahkan kepadanya. Kita perlu ingat bahawa mereka sendiri tidak minta untuk lahir ke sini dan hidup dalam keadaan diperhamba. Semua sesalan dan gertakan ini hanya akan dapat dilegakan dan diredakan dengan keteguhan pemaknaan hidup dalam jiwa sehingga membalas budi itu sesuatu yang sangat mustahak dilakukan demi memenuhi makna itu.

Kalaulah kita gagal untuk ini, bermakna kita telah seksa psikologi anak sepanjang hayatnya. Jadi, tanggungjawab terhadap anak sangat besar dan jangan sama sekali berani untuk menghasilkan anak jika ini sesuatu yang sukar.

Katanya: "Seseorang itu harus memilih atau tidak memilih apapun atas kesedaran dan keinsafan dirinya sendiri". Seseorang itu beragama atas sebab kesedarannya dalam merungkaikan dan mencari makna yang mampu memenuhi jawapan, kebingungan dan kekosongan di jiwa mereka. Kalau beragama itu semudah automatik, pewarisan dan pengaruh orang lain, apa yang membezakan antara dirinya dengan orang dungu lagi bebal dalam menetapkan suatu pilihan baginya? Apa yang membezakan antara dirinya dengan orang gila yang tidak berakal dalam mengambil sesuatu untuk dirinya?

Dengan membuka ruang pilihan itulah seseorang mampu berfikir dan kritis dalam pemilihannya. Agama diturunkan bukan untuk membantutkan akal dan minda seseorang, tetapi merangsang intelektual dan cergas dalam cendekianya. Di sinilah seseorang akan teruji sama ada untuk memilih kegelapan setelah cahaya telah nyata menyala atau menuju kepada jalan keluar dari kesengsaraan itu?

Katanya: "Agama harusnya bukan paksaan, tetapi kesedaran seseorang insan. Seseorang tidak berhak memaksakan agama atau aliran apapun kepada seseorang yang lain". Iman bukan sesuatu yang diwarisi. Ini juga ingin menafikan kenyataan kononnya ada pendapat bahawa jika seseorang ibu atau ayah atau kedua-duanya memeluk Islam, maka anak itu adalah Muslim secara automatik mengikut salah satu pihak atau kedua-duanya yang menerima Islam.

Sesungguhnya bodoh sekali kenyataan sebegini. Agama ini terbina atas keimanan yang telah jazam di hati seseorang individu, bukan berpergantungan dari jiwa seseorang yang lain. Keimanan itu isu yang terbit dari peribadi seseorang, bukan terikat atau menumpang dari orang lain. Kalau anak itu memilih agama selain Islam apabila besar nanti, maka sama sekali tidak dianggap mengambil jalan kekafiran melainkan setelah tertegaknya hujah yang nyata ke atasnya.

Katanya: "Apapun, sebelum menjadi seorang apapun, sama ada menjadi orang Islam atau Hindu, seseorang itu harus menjadi manusia terlebih dahulu". Apabila seseorang diberi pilihan, maka pilihlah yang terbaik dengan sebaik-baiknya. Seseorang bukan beragama secara autmoatik dengan kelahiran dari sesebuah keluarga atau dibesarkan dengan suasana dan budaya seperti itu.

Seseorang beragama atas dasar walhasil kerahan segala akalnya dan kudratnya untuk mencari dan menemukan sesuatu yang membahagiakan dirinya sendiri. Manusia yang normal tentu memilih yang terbaik untuk kehidupannya dan pemaknaan jiwanya. Manusia yang celaka adalah yang bergelumang dengan kejahatan yang membawa kepada kesengsaraan.

Kalaulah seseorang itu beragama semudah dengan automatik, pewarisan atau pengaruh daripada orang lain, bukan sebab faundasi agama itu sendiri, maka orang bodoh dan bebal pun boleh beragama, malah orang gila tidak berakal juga boleh beragama! Apa guna agama ini yang menjadikan umat ini ligat berfikir dan bijak dalam pilihannya?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623811233451229184/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-14-agama-pilihan-anak

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now