At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 30 : Pembelajaran Tanpa Guru Dan Isu Wijādah

20 0 0
                                    

Dalam memahami isu belajar tanpa guru atau mengambil ambil tanpa melalui wasilah pembelajaran secara bertalaqqi, perkara ini seringkali menjadi salah faham

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Dalam memahami isu belajar tanpa guru atau mengambil ambil tanpa melalui wasilah pembelajaran secara bertalaqqi, perkara ini seringkali menjadi salah faham. Iaitu pihak yang pro-pengajian bertalaqqi gagal memahami pewarisan teks dan kefahaman. Perlu kita tahu bahawa sememangnya teks agama itu diwarisi bersama dengan kefahaman. Namun, kadangkala sebahagian kefahaman terhadap teks tidak diwarisi secara turun temurun. Contoh yang jelas ialah walaupun aš-Šāfi*iyy sering membawakan riwayat daripada gurunya, Mālik, bukan bermakna dia mewarisi kefahaman terhadap teks yang sama daripada gurunya. Banyak beberapa perkara akhirnya berlaku perselisihan antara dia dengan gurunya.

Atas sebab itulah dalam menyingkapi isu ini, saya sering membawakan kalam Aḥmad bin Ḥanbal untuk kefahaman yang lebih jelas. Perhatikan :

أخبرنا الحسين بن الحسن بن المنذر القاضي والحسن بن أبي بكر البزاز، قالا: أخبرنا محمد بن عبد الله الشافعي، قال: سمعت إبراهيم بن إسحاق الحربي يقول: سمعت أحمد بن حنبل وسئل عن مالك، فقال: حديث صحيح ورأي ضعيف. وسئل عن الأوزاعي، فقال: حديث ضعيف ورأي ضعيف. وسئل أبي حنيفة، فقال: لا رأي ولا حديث. وسئل عن الشافعي، فقال: حديث صحيح ورأي صحيح.

Al-Ḥusayn bin al-Ḥasan bin al-Munḏir al-Qōḍī dan al-Ḥasan bin Abū Bakr al-Bazzāz telah merawi khabar kepada kami, mereka berdua berkata; Muḥammad bin *Abdullah aš-Šāfi*iyy telah merawi khabar kepada kmi, dia berkata; Aku mendengar Ibrōhīm bin Isḥāq al-Ḥarbiyy berkata; Aku mendengar Aḥmad bin Ḥanbal ketika ditanya tentang Mālik, dia pun berkata: "Hadisnya sahih, tetapi pendapatnya dhaif". Ditanya tentang al-Awzā*iyy, dia pun berkata: "Hadisnya dhaif dan pendapatnya dhaif". Ditanya tentang Abū Ḥanīfah, dia pun berkata: "Tidak pada pendapatnya dan tidak juga pada hadisnya". Ditanya tentang aš-Šāfi*iyy, dia pun berkata: "Hadis sahihnya dan pendapatnya sahih". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱oṭīb al-Baghdādiyy, jilid 15, m/s 573, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf].

Apa yang boleh difahami di sini? Maksudnya adalah walaupun periwayatan Mālik diterima dan diwarisi, belum tentu pendapatnya dalam memahami suatu hadis itu diambil dan diwarisi secara turun temurun secara mutlak menurut Aḥmad bin Ḥanbal. Dengan ini, jelaslah bahawa kesahihan penukilan tidak menatijahkan kebenaran tafsiran sesuatu nukilan itu secara mutlak. Kalaulah teks dan kefahaman itu diwarisi bersama secara keseluruhan, pastilah pendapat Mālik terhadap sesuatu teks itu tidak wajar ditolak kerana ketepatan dan kesahihan penukilan yang dia riwayatkan. Sekarang, tampaklah kepentingan kalam Aḥmad bin Ḥanbal ini diteliti kerana ia mampu menjernihkan kekeliruan yang tidak keruan. Lihat yang ini pula :

أخبرنا عبد الله بن أحمد بن محمد بن حنبل، قال: قال أبي: ابن أبي ليلى كان سيء الحفظ مضطرب الحديث وكان في فقه ابن أبي ليلى أحب إلينا من حديثه، حديثه فيه اضطراب.

*Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Ayahku berkata: "Ibn Abū Laylā seorang yang buruk hafalannya lagi bergoncang hadisnya. Aku lebih sukai fiqh Ibn Abū Laylā berbanding hadisnya. Hadisnya mempunyai kegoncangan". [Al-Jarḥ wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 7, m/s 322, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Di sini walaupun Ibn Abū Laylā tidak diterima penukilannya, namun tafsiran terhadap sesuatu hadis boleh diambil kira. Jelaslah bahawa teks dan penafsiran bukanlah diwarisi secara sekaligus pada kesemuanya. Sebab itulah sendaan seperti ini tidak ada nilai langsung kerana tidak faham hakikat ini. Kalaulah teks itu adalah diwarisi bersama dengan penafsirannya secara keseluruhan, pastinya riwayat Ibn Abū Laylā tidak ditolak sama sekali. Sememangnya khabar diperlukan rantaian sanad yang bersambung bagi memelihara ketulenan penukilan, tetapi penafsiran terhadap khabar tidak semuanya diperlukan sebegini. Memadai seseorang itu ada kemahiran ilmu yang diperlukan untuk melakukan analisis dan kajian terhadap kefahaman sesuatu teks yang sampai kepadanya.

Kemudian, dalam hal wijādah, saya belum menemukan mana-mana pendapat ahli hadis yang menganggap bahawa adanya kecenderungan curian hadis pada periwayatan secara wijādah. Perlu kita ketahui bahawa penerimaan riwayat secara wijādah tidak semua ahli ilmu menolaknya. Kebanyakan ahli hadis dan fuqaha Māliki tidak menerimanya, manakala dinukilkan daripada aš-Šāfi*iyy dan yang sependapat dengannya menyatakan bahawa hal itu diterima. Sebahagian ahli tahqiq daripada pendukung aliran aš-Šāfi*iyy menyatakan bahawa hal itu wajib diterima apabila ia daripada orang yang berkredibiliti. Ini dinyatakan dan pendapat ketiga ini disahihkan oleh Šarofuddīn aṭ-Ṭibbiyy dalam al-H̱ulāṣoh Fī Ma*rifah al-Ḥadīṯ, m/s 135, keluaran al-Maktabah al-Islāmiyyah Li an-Našr Wa at-Tawzī*, tahqiq Abū *Āṣim al-Aṯariyy. Ini juga diikuti oleh mereka yang seterusnya. Ibn aṣ-Ṣolāḥ menyebutkan dalam Ma*rifah Anwā* *Ulūm al-Ḥadīṯ, m/s 291, keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Laṭīf al-Ḥamīm dan Yāsīn Māhir al-Faḥl menyatakan bahawa kalau ketidakpenerimaan ini dibentangkan kepada sekalian ahli hadis, nescaya mereka tidak menyukainya dan tidak terdaya kerana amalan ini tidak dapat dielakkan pada era mutaakhir. Apabila penerimaan ini ditawaqqufkan, pasti terhenti amalan penukilan kerana kesukaran memenuhi syarat kesahihan riwayat. Justeru, amalan ini telah terpakai secara meluas pada zamannya.

Oleh itu, menyeretkan ejekan bahawa periwayatan secara wijādah ini ada kecenderungan kepada curian hadis adalah tidak valid sehinggalah didatangkan bukti. Apatah lagi seseorang ingin menolak pengamalan periwayatan secara wijādah ini yang telah dipakai secara meluas dan amalan ini diterima apabila ia dilakukan oleh ahli ilmu serta periwayatan ini atau penukilan daripada kebanyakan penulisan secara proses ini tidak perlu dibimbangkan lagi sepertimana yang ditegaskan oleh Ibn aṣ-Ṣolāḥ dalam rujukan tadi dan an-Nawawiyy dalam at-Taqrīb Wa at-Taysīr Li Ma*rifah al-Bašīr an-Naḏīr Fī Uṣūl al-Ḥadīṯ, m/s 66, keluaran Dār al-Kitāb al-*Arobiyy, Beirut. Maka, padankah mereka mahu menuduh keburukan ahli ilmu yang mereka sendiri curahkan penghormatan yang bertoleransi dengan pengamalan wijādah ini sesuatu yang menyebabkan curian hadis? Penjelasan ini sekaligus membeberkan kebejatan mereka bahawa pengamalan wijadah ini sesuatu yang tidak ada nilai ilmu.

Lagipun, entah apa perkaitan antara curian hadis dalam periwayatan dengan kefahaman. Ini pastinya ejekan yang timbul dari sifat terburu-buru sebelum mempertimbangkan beberapa perkara atau mungkin sahaja ia salahguna istilah ilmu yang khusus untuk membuat serangan terhadap orang tidak sehaluan. Apa yang boleh dikaitkan pada wijādah dalam penukilan dengan wijādah dalam pemahaman sesuatu perkara, iaitu bagaimana penukilan hadis tanpa membawakan sanad yang memenuhi syarat kesahihan boleh mempengaruhi pemahaman sendiri? Kalau penukilan hadis itu dengan tanpa sanad, tetapi dibawakan syarah daripada ahli ilmu, adakah ini termasuk sekali dalam wijādah yang tercela? Adakah semua pendapat yang dicuri itu tidak ada nilai ketepatannya dari sudut neraca ilmu?

Kalau pendapat yang dicuri itu adalah pendapat yang tepat, bagaimana ini dapat dihukumkan dhaif yang ditolak setelah dipertimbangkan dari sudut neraca ilmu, sedangkan yang dicela adalah kesahihan penyandaran yang mendakwa bahawa itu adalah walhasil daripada dirinya, sedangkan ia adalah daripada orang lain, bukan ketepatan kata-katanya? Kalau penukilan ahli ilmu tentang penafsiran sesuatu teks itu dibawa tanpa sanad, adakah pendapat ini diterima? Adakah aš-Šāfi*iyy yang tidak bersefahaman dengan gurunya, Mālik sama itu dikira dalam hal ini kerana dia menggunakan kefahaman sendiri dalam menyelisihi guru yang meriwayatkan hadis kepadanya dan dia pun meriwayatkan hadis daripada gurunya dalam keadaan berlainan pendapat dengan gurunya?

Dan juga beberapa persoalan lain yang menggagalkan asas keberdirian eksploitasi mereka terhadap istilah ini untuk dijadikan sebagai senjata pada isu yang tidak dapat diperkaitkan pertaliannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/624403675787509760/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-30-pembelajaran-tanpa



At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now