At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 135

12 0 0
                                    

Teguran Kepada Evangelis Pemikiran Ibn Taymiyyah Dalam Pentahqiqan Kitab

Ini adalah petikan daripada kitab Nihāyah al-Mubtadi^īn Fī Uṣūl ad-Dīn karya Ibn Ḥamdān al-Ḥanbaliyy bahawa Allah itu bukan jauhar, bukan aradh, bukan jisim, tidak ada baharu yang menempati-Nya dan Dia tidak menempati yang baharu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Ini adalah petikan daripada kitab Nihāyah al-Mubtadi^īn Fī Uṣūl ad-Dīn karya Ibn Ḥamdān al-Ḥanbaliyy bahawa Allah itu bukan jauhar, bukan aradh, bukan jisim, tidak ada baharu yang menempati-Nya dan Dia tidak menempati yang baharu.

Menyedihkan sekali bahawa pentahqiq mengomentari penafian jisim ini dengan membawakan kalam Ibn Taymiyyah bahawa salaf tidak mengisbatkan jisim dan tidak menafikannya serta lafaz ini tidak ada dalam al-Qur^ān dan hadis serta tidak ada dalam ucapan mana-mana para Sahabat -roḍiyallahu *anh- dan para tabiin -semoga Allah merahmati mereka-.

Padahal, pandangan Ibn Ḥamdān ini bukan baru. Penafian jisim bagi Allah telah pun dinyatakan oleh pendahulunya dari kalangan bermazhab Ḥanbaliyy seperti Abū al-Faḍl at-Tamīmiyy dalam I*tiqōd al-Imām al-Munabbal Aḥmad Ibn Ḥanbal, Abū Naṣr as-Sijziyy dalam risalahnya kepada penduduk Zabid, Ibn az-Zāġūniyy dalam al-Īḍōḥ Fī Uṣūl ad-Dīn dan Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy dalam Ibṭōl at-Ta^wīlāt. Ia sama sekali tidak ada kaitan dengan aliran al-Aš*ariyy.

Apa yang mereka buat ini pun bukan pada ini sahaja. Ini juga yang dilakukan ketika mentahqiq risalah Abū Naṣr as-Sijziyy dan pentahqiq itu melakukan yang sama apabila terdapat kenyataan yang tidak bersesuaian dengan pandangannya. Begitu juga terhadap kitab at-Tabṣiroh Fī Uṣūl ad-Dīn karya Abū al-Faroj aš-Šīrōziyy. Malah, sudah dikenali dengan percetakan daripada gologan salafi, khususnya evangelis Ibn Taymiyyah yang melakukan begini.

Saya faham kalau mereka ingin melangkah di jejak aḏ-Ḏahabiyy -kerana yang lebih tepat adalah cara ini mengikut jejaknya, bukan Ibn Taymiyyah- yang berpendirian sebegini. Akan tetapi, mengapa perlu mengotorkan kitab dengan komentar yang tidak diperlukan? Apa masalahnya kalau buat kitab yang lain untuk membuat komentar terhadap kitab tersebut? Apakah ini kerja tahqiq atau menggunakan nama kerja tahqiq untuk mengeksploitasi dalam menyebarkan fahamannya atau pandangan Ibn Taymiyyah?

Kadangkala, saya merasakan ketaksuban sebahagian pengikut Ibn Taymiyyah ini lain daripada yang lain. Mereka sehingga menjadi evangelis yang sampai sanggup memuatkan dan memadatkan kalam Ibn Taymiyyah di kitab yang ditahqiq seolah-olah ia menjadi kitab baharu; komentar Ibn Taymiyyah terhadap kitab tersebut atau perbandingan pendapat penulis kitab itu dan pandangan Ibn Taymiyyah.

Apapun, perbuatan ini sangat keji sekali. Sewajarnya cukup bagi seorang pentahqiq untuk meletakkan maklumat penting sahaja seperti nama penuh nama yang disebut dan biografinya, menerangkan ungkapan yang sukar difahami oleh orang Arab biasa, meletakkan baris, menyatakan perbezaan yang ada antara naskhah yang dijadikan cetakan dengan naskhah yang lain serta melakukan takhrij hadis. Tidak perlu mencomotkannya atas nama tahqiq atau seolah-olah berkongsi pemilikan penulis itu dengan pentahqiq pada kitab itu.

Kalau merasakan itu pandangan yang tidak dipersetujui, maka usahlah mencemarinya seolah-olah merubah kitab asal menjadi kitab sanggahan kepada kitab yang asli. Jika tidak mahu lebih baik menyerahkan kerja tahqiq itu kepada orang yang lebih layak dan lebih menghormati penulis kitab.

Tidak perlulah seolah-olah Ibn Taymiyyah ini adalah satu-satunya kiblat dalam ilmuwan Muslim dan seakan-akan bahawa apa yang ada dalam agama ini adalah aliran Ibn Taymiyyah dan ahli bidaah sahaja. Ramai lagi ilmuwan yang berkaliber daripadanya yang berkelayakan untuk dikehadapankan.

Dalam isu penafian jisim ini adalah contoh yang jelas bahawa dia menyelisihi ramai tokoh Ḥanbaliyy. Mengapa ingin lagi membongak bahawa Ibn Taymiyyah adalah segala-galanya yang ilmuwan Muslim yang terbilang menuju padanya, apatah lagi merasakan pandangan Ibn Taymiyyah adalah yang paling tepat dalam pelbagai topik?

Jika mereka ingin menjadi evangelis kepada pemikiran Ibn Taymiyyah, itu adalah hak mereka. Namun, perlukah menggunakan nama tahqiq untuk menjadikan kalamnya sebagai hakim bagi pandangan penulis kitab asal itu sehingga kitab yang ditahqiq itu menjadi kitab penghakiman Ibn Taymiyyah terhadap penulis itu?

Ibn Taymiyyah adalah tokoh yang hebat yang diperakui oleh para ulama. Akan tetapi, itu bukan membenarkan sikap keji ini. Bayangkan kalau kitab Ibn Taymiyyah ditahqiq oleh mereka yang beralian al-Aš*ariyy, kemudian mereka juga melakukan sepertimana evangelis ini lakukan dalam pentahqiqan kitab Ibn Taymiyyah dengan memenuhkan komentar bantahan sehingga berubah menjadi bantahan terhadap Ibn Taymiyyah, bukan kitab asal Ibn Taymiyyah. Apa rasa mereka? Fikirkanlah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676901262452801536/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-135-teguran-kepada

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now