At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 66 : Manfaat Rakaman Kuliah

2 0 0
                                    

Ada orang berkongsi tangkap layar perbualan ini

Oops! Questa immagine non segue le nostre linee guida sui contenuti. Per continuare la pubblicazione, provare a rimuoverlo o caricare un altro.

Ada orang berkongsi tangkap layar perbualan ini. Kita pun sama-sama menumpang rasa gembira kerana ada yang menggunakan kesempatan masa yang sibuk untuk mempelajari ilmu dan memanfaatkan wahana yang ada untuk memantapkan diri dengan pengetahuan. Kita wajib bersyukur bahawa ada kalangan umat ini masih dahaga dengan ilmu meskipun situasi mereka selalu sahaja tidak memihak pada mereka. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada orang yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu biarpun dia menghadapi cabaran yang pelbagai seperti masa dan jarak. Semoga pihak yang terlibat dalam menghasilkan kuliah seperti pengajarnya dan perakamnya dapat pahala yang berterusan atas khidmat mereka untuk menyebarkan manfaat kepada orang ramai.

Kita kadangkala merasa hairan terhadap orang yang selalu sahaja meremehkan pembelajaran dan penggalian kefahaman melalui pembacaan atau tontonan video yang dimuat naik di beberapa wahana. Bagi mereka, ia adalah pengajian yang tidak berkat, malah tidak mencerdaskan ilmu untuk seseorang. Seolah-olah ilmu yang ada pada tulisan dan rakaman video tidak mencurahkan apa-apa kebaikan langsung kecuali sedikit.

Padahal, mereka ini juga giat mempromosikan dan menyebarluaskan pengajian, malah ideologi mereka ke serata dunia melalui penulisan dan rakaman video. Jika ia sememangnya tidak ada berkat langsung, untuk apa mereka menyebarkan lagi ketidakberkatan kepada orang ramai? Mereka sendiri tidak menafikan betapa bermanfaatnya penulisan dan rakaman kepada dunia. Sekarang, mereka jugalah orang yang berebut-rebut untuk menggunakannya meskipun itu menelan ludah mereka sendiri terhadap orang lain. Untuk orang lain, mereka anggap ia tidak ada berkat dan cuma sedikit sahaja bermanfaat. Namun, untuk diri mereka, ia adalah limpahan manfaat yang berbaloi untuk masyarakat? Alangkah jeleknya mereka ini.

Walau apapun sangkaan buruk yang mereka lontarkan, ia sebenarnya memberi manfaat dan kebaikan kepada beberapa orang yang di luar sana. Orang yang melontarkan kata-kata buruk sebegini sebenarnya tidak melihat realiti bagaimana latar belakang dan situasi yang seseorang itu berada. Ada yang sibuk bekerja, ada yang tinggal berjauhan, ada yang perlu memberi komitmen pada perkara lain, ada yang sememangnya tidak berkemampuan dari segi kewangan dan pelbagai lagi.

Mereka langsung tidak pernah memberi simpati bagaimana terhadnya dan sempitnya keadaan mereka. Apa lagi untuk memikirkan solusi untuk orang yang dihimpit dalam situasi yang menghalang mereka. Yang hanya mereka tahu cumalah terus-menerus mencela orang yang mengambil ilmu melalui selain pengajian secara talaqqi serta memandang lekeh orang yang menadah ilmu dari sumber yang tidak berkat menurutnya.

Sementara orang yang tidak berkesempatan ini tidak ada peluang untuk mendapat sepertimana mereka, apa yang patut mereka buat? Menyuruh mereka kekal dalam keadaan jahill dan tidak berbuat apa-apa serta terus memomokkan betapa tidak berkatnya pembelajaran melalui buku dan rakaman video? Sekurang-kurangnya bahan yang ada walaupun sedikit sudah cukup membantu. Baik pembacaan atau tontonan video, jika ia memberi manfaat kepada mereka di luar sana, maka galakkanlah kepadanya.

Berilah ruang seluas-luasnya agar orang ramai dapat mempelajari ilmu. Janganlah hanya menyempitkan jalan sepertimana sempitnya minda orang yang suka bersangka buruk. Rahmat Allah tidaklah sempit. Sesiapa sahaja yang menekuni dan berdedikasi untuk ilmu kerana redha-Nya, dengan izin Allah, rahmat-Nya terbentang sepanjang jalannya. Allah sama sekali tidak akan menyia-nyiakan keikhlasan dan kesungguhan orang yang kuat cita-citanya untuk menuju kepada jalan yang Dia berkati.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/648009692689448960/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-66-manfaat-rakaman-kuliah

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora