At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 179

3 0 0
                                    

Usah Menyelindungkan Justifikasi Pengharaman Bagi Sesuatu Individu, Kelompok Atau Buku

Sememangnya saya secara peribadi amat menyetujui agar mana-mana justifikasi, tesis kajian dan pembentangan analisis tentang sesuatu tarekat itu adalah sesat atau buku itu adalah sesat tidak perlu dimasukkan dalam dokumen sulit

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sememangnya saya secara peribadi amat menyetujui agar mana-mana justifikasi, tesis kajian dan pembentangan analisis tentang sesuatu tarekat itu adalah sesat atau buku itu adalah sesat tidak perlu dimasukkan dalam dokumen sulit.

Ini kerana pewartaan umum dan hanya menyenaraikan jenis-jenis kesesatan tanpa lampiran dan pembentangan justifikasi seperti sumber rujukan, tesis kajian dan seumpamanya membolehkan sebahagian pihak berkepentingan mengeksploitasi kesempatan supaya rakyat menerima keputusan dan pewartaan secara bulat-bulat dan buta tanpa diketahui justifikasi, kajian analisis dan lain-lain.

Kita lihat baru-baru ini yang mana tarekat naqšabandian-ᶜaliah dipinda keharamannya kepada kebenaran untuk pengamalannya selagimana tidak bercanggah dengan ahli sunnah. Sampai sekarang tiada siapa tahu mengapa fatwa ini dipinda dan justifikasi diizinkan kebenaran pengamalannya.

Malah, orang yang berpengaruh pada tarekat itu juga tidak berpuas hati terhadap justifikasi pengharamannya dahulu adalah sulit. Sekarang, bagaimana? Masih lagi sulit? Mengapa masih mengekalkan sesuatu yang dia dahulu tidak berpuas hati? Sekarang, orang ramai menyatakan rasa tidak puas hati yang sama atas sebab yang sama, tetapi dia meneruskan sesuatu yang dia sendiri benci terhadapnya.

Akhirnya, apabila seseorang mempersoalkannya bersama rasa tidak puas hati yang dia sendiri dahulu tidak berpuas hati terhadapnya, kita dianggap menentang autoriti dan tidak menghormati institusi rasmi. Padahal, kita ingin tahu alasan pihak yang melobi dan pertimbangan pihak yang terlibat dalam meminda semula keputusan yang dahulu.

Amalan apa lagi yang tidak bercanggah dengan ahli sunnah? Adakah tarekat yang diamalkan di sini jauh berbeza dengan apa yang di luar negara? Apakah garis panduan yang rasmi untuk membezakan yang diizinkan dan yang ditegah supaya orang ramai boleh memerhati, mengawasi dan menilai? Jika pengamal tarekat ini melakukan yang sama sepertimana yang ditegah dahulu, apakah tarekat ini akan diharamkan serta merta?

Selepas ini, jika ajaran sesat yang lain yang difatwakan sesat mendapat kebenaran semula atas alasan ia dibenarkan selagimana tidak bercanggah dengan ahli sunnah dan ini tidaklah mustahil sepertimana yang terjadi pada tarekat itu, apakah semua justifikasi ini perlu dirahsiakan daripada umum dan rakyat cukup sekadar taat membuta serta mempersoalkannya dianggap tidak menghormati insititusi rasmi?

Kita khuatir jika berlakunya salah guna kuasa dan korupsi yang berlaku padanya. Ini kerana ia akan menimbulkan konflik terhadap autoriti keputusan yang lama. Adakah barisan pengkaji terdahulu ini tidak mendalami dan tidak tuntas dalam memutuskan kesesatan sesuatu ajaran sehingga ada kelompongan yang mendedahkan tarekat ini? Adakah para penyelidik dahulu adalah bias dan terpengaruh dengan sesuatu kelompok atau terbabit dengan suatu kepentingan dalam membekalkan analisis sehingga pengharaman itu adalah didasari dengan keberpihakan suatu kartel yang ada dalam institusi tersebut?

Jika pembenaran semula hanya semudah dengan minit mesyuarat atau perintah daripada suatu pihak, lalu apabila diminta justifikasi dan pertimbangan terhadapnya, ia adalah sulit dan menggertak sesiapa sahaja yang mempersoalkannya, maka apa nilai penyelidikan dan kajian yang lalu? Selama ini para penyelidik turun ke lapangan demi mengusahakan sesuatu yang dipersoalkan maknanya pada masa akan datang?

Jika ini berterusan, ikutan agama dari pihak autoriti hanyalah ketaatan yang bulat-bulat tanpa kita mengetahui justifikasinya dan tidak boleh dipersoalkan atau kita akan diancam apabila kita menzahirkan kebimbangan atau penyelisihannya. Sedangkan, ini bukanlah ajaran agama.

Para ulama juga tidak boleh diikuti jika tidak bersandarkan kepada dalil meskipun kedudukannya jauh lebih berwibawa daripada autoriti tempatan. Lantas, mengapa apa sahaja daripada institusi rasmi tidak boleh kita mendapatkan justifikasi daripadanya dan justifikasi itu tersimpan rapi dalam dokumen sulit?

Saya pernah melihat pewartaan pengharaman buku atas alasan ia menyanggahi fahaman ahli sunnah. Namun, tidak dinyatakan sebabnya dan justifikasinya. Ini menyebabkan penulis buku sukar untuk mempertahankan pandangannya kerana tidak ada perbincangan spesifik tentangnya. Saya berharap penulis tidak dizalimi atas tindakan undang-undang yang dia sendiri tidak mendapat akses terhadap justifikasi tindakan itu supaya dia dapat membela dirinya.

Kenyataan umum sebegini sangat dan menyembunyikan justifikasi sememangnya mudah dan menyenangkan autoriti, tetapi bahaya kerana apabila transparensi ini diterhadkan, bahkan digertak bagi sesiapa yang menuntutnya, maka salah guna kuasa mampu menyeludup masuk tanpa kita menyedari siapa di belakangnya dan kelompok yang menguasai institusi tersebut.

Sebenarnya tidak sukar untuk menerbitkan kajian atau memaparkan analisis bagi justifikasi sesuatu pengharaman atau pewartaan sesat. Antaranya boleh dilihat pada buku «Amalan Khuarafat Di Pulau Besar, Melaka Menurut Syarak Dan Undang-Undang» yang diterbitkan Universiti Sains Islam Malaysia, Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Agama Islam Melaka.

Dalam buku ini, ia tidak hanya memaparkan lokasi yang dijadikan tempat bermaharajalelanya kesesatan, khurafat dan bidaah, bahkan dibentangkan justifikasi sebab-sebab ia diharamkan dan tertolak sehingga pembaca boleh tahu alasan terhadap pewartaannya dan menilainya. Tidak ada yang mengaibkan apabila ia diakses orang ramai dan diketahui justifikasinya.

Cuba bayangkan jika kajian seperti ini diterbitkan dalam memfokuskan beberapa isu yang besar dan kritikal seperti suatu tarekat, individu atau buku. Masyarakat boleh belajar daripada justifikasi institusi rasmi dan penghujahannya berasaskan kes yang sebenar serta mendapat garis panduan untuk mengetahui sama ada suatu kepercayaan atau praktik itu diizinkan syarak menurut penilaian atau garis panduan yang rasmi atau tidak.

Malah, institusi tersebut boleh meyakinkan dan memaparkan kepada masyarakat kewibawaan mereka untuk mendepani isu-isu agama dalam masyarakat dan bersikap transparensi tanpa khuatir untuk dicabar dan dinilai semula atau menyelindungkan suatu kepentingan. Sewajarnya ini layak dipuji dan sekaligus mengekalkan imej mereka sebagai institusi yang terkehadapan dalam intelektualisme.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/688447721543254016/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-179-usah-menyelindungkan

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now