At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 73

9 0 0
                                    

Tidak Mahu Melanggar Tokoh Tempatan, Tetapi Melanggar Para Imam Salaf

Inilah yang seringkali dimomokkan apabila kita mengambil pandangan yang berbeza dengan pendapat tokoh ilmuan atau menyanggahi pandangan tokoh tersebut

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Inilah yang seringkali dimomokkan apabila kita mengambil pandangan yang berbeza dengan pendapat tokoh ilmuan atau menyanggahi pandangan tokoh tersebut. Mereka akan membesar-besarkan: "Engkau telah melanggar syeikh fulan yang menggunung ilmunya dan tinggi martabatnya jika dibandingkan denganmu".

Saya tidak mahu mengupas lagi prinsip hal ini memandangkan saya telah menjelaskan hal ini di banyak tempat yang saya tidak berhajat lagi untuk mengulanginya di sini. Namun, fokus kita di sini adalah hipokrit sebahagian mereka yang aliran al-Aš*ariyy di tanah air kita.

Mereka sangat berang apabila kita mengambil pendirian dan menyelisihi pandangan tokoh-tokoh ternama dari nusantara. Mereka menganggap bahawa kritikan dan penyelisihan ini adalah serangan terhadap institusi ulama itu sendiri. Walhal, hakikatnya adalah mereka ini sebenarnya telah melanggar para ulama yang mereka sendiri akan mengakui bahawa tokoh tempatan mereka itu tidak lebih agung daripada para imam jaguhan.

Kita ambil contoh dalam perbahasan sifat kalam Allah. Mereka ini sangat bersungguh mempertahankan bahawa kalam Allah itu tidak berhuruf dan bersuara. Bahkan, mana-mana yang mengsibatkan kedua-dua ini terus dianggap musyabbihah. Padahal, yang mengisbatkan sifat suara bagi kalam Allah adalah Aḥmad bin Ḥanbal melalui nukilan anaknya, *Abdullah dalam as-Sunnah dan ini juga pandangan al-Buẖōriyy dalam H̱olq Af*āl al-*Ibād. Yang mengsibatkan huruf bagi kalam Allah adalah tokoh dari kalangan Ḥanābilah. Sekarang, mereka tidak mahu melanggar nama-nama tokoh ilmuan nusantara, tetapi mereka melanggar sarjana unggul dari kalangan salaf!

Mereka ini juga yang menuduh bahawa sesiapa yang mengisbatkan sifat al-*Uluww dengan mengatakan bahawa Allah di atas Arasy di atas langit yang tujuh, pasti dituduh mujassim dan musyabbihah meskipun yang mengisbatkan sifat al-*Uluww ini tidak mengisbatkan jisim, aradh, bertempat dan mengambil ruang, bahkan menafikannya! Lihat karya aḏ-Ḏahabiyy dalam al-*Uluww Li al-*Aliyy al-Ġoffār. Dia telah pun mengumpulkan pelbagai kata-kata salaf dalam mengisbatkan sifat ini. Mereka menentang mana-mana orang yang melanggar tokoh nusantara tempatan, tetapi tidak sedar telah melanggar ramai tokoh jaguhan ahli sunnah!

Bahkan, saya yakin bahawa jika mereka ini membaca an-Naqḍ *Alā al-Marīsiyy karya Abū Sa*īd ad-Dārimiyy, pasti akan dituduh mujassim sepertimana para pelampau Jahmiyyah yang berbulu al-Aš*ariyy. Sedangkan, dia tidak pernah dituduh sedemikian oleh mana-mana ulama hatta dari kalangan al-Aš*ariyy setelah 1000 tahun kewafatannya. Kalau ad-Dārimiyy masih hidup, pasti dituduh wahabi! Mereka merasa terhina jika melanggar tokoh nusantara dan menghina sesiapa sahaja yang melanggar tanpa ragu, tetapi mereka tidak segan silu melanggar tokoh hadis yang terbilang dalam sejarah!

Itu belum lagi isu pemahaman makna zahir pada naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah. Isu sifat al-*Uluww sudah pun cukup untuk membeberkan salah kaprah mereka. Tentu lagi sifat-sifat yang lain juga akan membawa kefahaman yang sama.

Saya sama sekali tidak membenci tokoh nusantara. Bahkan, karya-karya tokoh ilmuan nusantara telah memberi bekas dan pengaruh yang besar kepada kefahaman saya tentang sifat Allah yang Nafsiyyah, Salbiyyah dan al-Ma*ānī. Saya mengambil manfaat yang melimpah daripada mereka. Mereka semua telah menabur bakti untuk dakwah dan pembinaan generasi yang berilmu di lubuk nusantara ini.

Akan tetapi, saya sedang menggertak sikap mereka yang suka memomokkan orang ramai dengan cara sebegini ketika berhadapan dengan pandangan yang berbeza. Mereka fikir mereka sedang mewakili aliran ahli sunnah, khususnya dalam isu pemahaman sifat Allah menurut manhaj salaf, hakikatnya mereka menjadi penentang terhadap para imam salaf tanpa mereka sedar.

Jika benar mereka bukan tergolong dalam hipokrit ini, saya cabar mana-mana tokoh dan graduan daripada institusi pengajian ini agar mewacanakan kitab ini dan pamerkan bahawa apa yang mereka bawa dan ajarkan ini tidak menyalahi apa yang terkandung dalam kitab karya salaf seperti ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah Wa az-Zanādiqoh karya Aḥmad bin Ḥanbal, as-Sunnah karya *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal, as-Sunnah karya Abū Bakr al-H̱ollāl, H̱olq Af*āl al-*Ibād karya al-Buẖōriyy, al-Iẖtilāf Fī al-Lafẓ karya Ibn Qutaybah, at-Tabṣīr Fī Ma*ālim ad-Dīn karya Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy, ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah dan an-Naqḍ *Alā al-Marīsiyy yang kedua-duanya karya Abū Sa*īd ad-Dārimiyy.

Saya berani jamin yang kebanyakan yang mencela saya dan mereka yang memperjuangkan karya salaf ini adalah orang yang tidak pernah membaca karya yang nyataka ini. Saya katakan, tidak ada guna untuk buat-buat tidak tahu kewujudan kitab ini dan bersikap enggan untuk membaca kitab ini. Kalau benar kitab ini bukan seteru untuk mereka, maka mengapa teragak-agak untuk menelaahnya, apatah lagi menghadamkannya? Jika benar tidak menyalahi apa yang dibentangkan tokoh salaf, maka persembahkan kepada dunia tentang pendirian dan penghujahan mereka. Bukan hanya menghabiskan masa untuk mencela yang tidak sependapat.

Kita semua sedang menawarkan tawaran yang baik untuk mereka. Ini adalah supaya pemahaman mereka ini terbukti bukan berdelusi, berpihak pada realiti dan harmoni dengan hala tuju salaf. Selagimana mereka kekal berdegil untuk tidak mahu membaca dan menjauhi karya ini, tidak perlulah melalak sana sini bahawa merekalah yang terpilih dalam pemahaman tentang isu sifat Allah di kaca mata salaf dan memomokkan orang lain dengan kecaman sebegini. Begitu menjijikkan perangai sebegini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/651728905503424512/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-73-tidak-mahu-melanggar


At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now