At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 133 : Apa Sahaja Dalam Kitab, Maka Tidak Boleh Dikritik?

6 0 0
                                    

Masalah sebahagian orang adalah mereka membenarkan apa sahaja kenyataan hanya kerana ada ulama menyebutkannya dan ia ada dalam kitab tanpa membuat saringan dan penyemakan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Masalah sebahagian orang adalah mereka membenarkan apa sahaja kenyataan hanya kerana ada ulama menyebutkannya dan ia ada dalam kitab tanpa membuat saringan dan penyemakan. Malah, jika kita mengkritik pandangan tersebut, kita dianggap sebagai orang yang tidak meraikan perselisihan, bahkan dituduh biadap terhadap ulama dan tidak menghormati keilmuan mereka.

Mari kita lihat antara kenyataan yang dibenarkan oleh sebahagian sufi rata-ratanya dan kenyataan ini cukup popular dan hampir-hampir ia tidak dipersoalkan kerana ia adalah kata-kata aš-Ša*rōniyy yang dinukilkan oleh al-Bayjūriyy dalam Tuḥfah al-Murīd *Alā Jawharoh at-Tawḥīd. Ia adalah bahawa Allah mewakilkan seorang malaikat untuk setiap para wali untuk menunaikan hajat para penziarah yang bertawassul dengan wali itu.

Kata-kata ini disifatkan *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh ilmuwan sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam Awliyā^ Wa Karomāt sebagai kata-kata pelampau dan mereka mendustakannya.

Ini bukan lagi kata-kata untuk memilih pandangan yang berbeza, tetapi untuk menolak pandangan ini secara total. Soalan kita adalah adakah *Abdullah al-Ġumāriyy sesuka hati menyinggung kata-kata ini tanpa sebab? Adakah tidak ada manhaj ilmu daripadanya yang kita boleh pelajari, faedah yang kita boleh cari dan pengisian yang boleh kita memikirkannya? Adakah apa yang dia tunjukkan ini tidak ada teladan yang baik untuk kita contohi?

Sudah tentu ada sebabnya. Ini kerana ia adalah dakwaan yang ghaib yang tidak boleh seseorang berkata melainkan adanya dalil yang sabit daripada al-Qur^ān dan hadis. Malah, menurutnya, ini bercanggah dengan pandangan yang benar bahawa para wali Allah yang telah mati telah terputus pengurusannya terhadap kejadian dari segi pertolongan. Jika terjadi pada penziarah selepas matinya, maka itu adalah daripada Allah melalui tangan wali-Nya yang hidup. Tidak ada pada yang mati walau bantuan pertolongan di sisinya dan tidak ada malaikat di sisi kuburnya.

Hujah yang apa yang digunakan *Abdullah al-Ġumāriyy pada kritikan ini? Tidakkah ini hujah rasional dan mengikuti piawaian ilmu yang sistematik? Apakah kita tidak boleh menjadikan ini sebagai teladan dan cetusan untuk menjejaki apa yang dilaksanakan oleh tokoh ilmuwan yang kritis ini?

Oleh itu, kalau di sisinya bukan semua dalam kitab itu diterima dan tidak dipersoalkan, bahkan ditolak dan ditentang jika ia adalah kesalahan yang tidak boleh ditoleransi, mengapa pula kita yang mendakwa mengikuti jejak langkah cendekiawan yang kritis ini pula ingin menjadi orang yang hanya menelan apa sahaja yang tertulis atas alasan ia dikarang oleh ulama atau beralasan tidak ada sesiapa yang mengkritiknya?

Perbuatan yang bodoh adalah memaksa sesiapa sahaja untuk tidak mempersoalkan keabsahan dan validitas yang ada dalam sesebuah kitab, bahkan membenarkan apa yang telah nyata kesalahannya di sisinya setelah ia tidak boleh dinafikan walau apa jua cara kerana ketaksuban dan tidak mahu dianggap melakukan penyelisihan dan penyalahan terhadap orang yang lebih berilmu dan lebih bertakwa daripadanya.

Ini bukan manhaj keluarga al-Ġumāriyy dan apa yang saya bawa ini baru satu contoh, apatah lagi untuk dinisbahkan kepada manhaj ilmu yang sejati secara keseluruhan. 

Kita lihat sendiri bagaimana kritik mengkritik adalah perkara biasa dalam tradisi keilmuan. Contohnya adalah kata-kata ar-Rōziyy:

هذه الوجوه التسعة ولا يمكن العلم بحصول السلامة عنها إلا إذا قيل بحثنا واجتهدنا فلم نجدها لكنا نعلم أن الاستدلال بعدم الوجدان على عدم الوجود لا يفيد إلا الظن

Ini adalah bentuk yang kesembilan. Tidak memungkinkan ilmu itu dengan terjadinya keselamatan daripadanya melainkan apabila dikatakan: "Kami telah mencarinya , tetapi kami tidak menemukannya". Akan tetapi, kita mengetahui bahawa pendalilan dengan ketidaktemuan kewujudan atas ketiadaan wujud itu tidak memberi faedah apa-apa melainkan persangkaan. [Al-Maḥsūl, m/s 47, keluaran Mu^assasah ar-Risālah].

Lantas, al-Qorōfiyy menyinggungnya dengan berkata :

لا نسلم؛ وإنما يكون الظن ضعيفاً فى حق من لم يكثر تحصيله، أما المجتهد الذى قارب الإحاطة بالكتاب والسنة، وجميع مدارك الشريعة، فعدم وجدانه يقارب القطع بعدم الوجود، فظنه فى غاية القوة.

"Kita tidak menerimanya. Sebenarnya terjadinya persangkaan itu adalah lemah pada hak orang yang tidak banyak capaiannya. Adapun mujtahid yang dia mendekati liputan pengetahuan dalam al-Kitāb dan as-Sunnah serta sekalian kapasiti syariat, maka ketidaktemuannya mendekati definit pada ketiadaan wujud itu, lalu persangkaannya itu pada kemuncak kekuatan". [Nafā^is al-Uṣūl Fī Šharḥ al-Maḥṣūl, jilid 5, m/s 1964, keluaran Maktabah Nazzār Muṣṭofā al-Bāz, tahqiq *Ādil Aḥmad *Abdul Mawjūd dan *Aliyy Muḥammad Mu*awwiḍ].

Contoh yang lain adalah as-Suyūṭiyy menukilkan daripada Bahā^uddīn Ibn an-Nuḥḥās yang berkata :

النقل عن النفي فيه شيء لأن حاصله أنني لم أسمع هذا وهذا لا يدل على أنه لم يكن

Penukilan tentang penafian ada sesuatu padanya kerana hasilnya adalah: "Sesungguhnya aku belum pernah mendengar ini" dan ini tidak menunjukkan bahawa ia tidak ada. [Al-Iqtirōḥ Fī Uṣūl an-Naḥw, m/s 151, keluaran Dār al-Qolam, Damsyik].

Maksudnya adalah bahawa penafian pengetahuan tidak menunjukkan penafian kewujudan atau ketiadaan pengetahuan itu tidak memberi faedah pengetahuan terhadap ketiadaan itu.

Akan tetapi, Ibn aṭ-Ṭoyyib al-Fāsiyy berkata :

إن هذا القول إذا صدَر من إمام نِحرير مُتتبِّع واسع الاطلاع كان بمنزلة التصريح بعدم ورود ذلك؛ نظيرَ ما قاله المُحدِّثون في مثله، فقد صرحوا بأن الحافظ النَّقَّاد إذا قال في حديث: لا أعرفه، فهو بمنزلة: لا أصل له، واحتمال وروده هو احتمالٌ عقلي، ولا مدارَ عليه في الأمور النقلية

"Sesungguhnya kata-kata ini apabila ia terbit daripada imam yang terbilang, mendalam capaian lagi luas penelaahannya adalah di kedudukan pernyataan jelas pada ketiadaan kesampaian tentang itu dalam keadaan setara dengan apa yang muhadditsin mengatakannya pada semisalnya. Mereka telah menyatakan dengan jelas bahawa ḥāfiẓ nāqid apabila berkata pada suatu hadis: #Aku tidak mengetahuinya#, maka ia di kedudukan tidak ada asal baginya. Kemungkinan sampainya adalah spekulatif secara akal, tetapi tidak ada poros ke atasnya pada perkara-perkara penukilan". [Fayḍ Našr al-Inširōḥ Min Rowḍ Ṭiyy al-Iqtirōḥ. m/s 674, Dār al-Buḥūṯ Li ad-Dirōsāt al-Islāmiyyah Wa Iḥyā^ at-Turōṯ].

Hanya orang yang ada masalah ketaksuban atau kejumudan atau yang tiada bekalan hujah sahaja yang berusaha habis-habisan untuk menutup pintu ini. Alasan bahawa ia sudah tertulis dalam kitab dan ada ulama yang berpandangan padanya hanyalah untuk orang yang rohnya kekeringan dengan kesuburan kecendekiaan padanya atau sememangnya culas melaksanakan hak-hak ilmu yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Apabila seseorang dibekalkan ilmu yang mencukupi, amanah dengan anugerah yang diberikan Allah kepada-Nya dan kesedaran untuk menyampaikannya sebagai kesyukuran ke atas nikmat-Nya, maka berkatalah yang benar dan berselisihlah daripada apa yang salah serta tolaklah keburukan dengan hikmah. Ikutilah manhaj dan tradisi ilmu yang berkualiti supaya kita terhindar daripada sebarang kerancuan yanga disebarkan, penyebaran kesalahan yang halus ke melata kawasan dan kebekuan akal yang sedang didogmakan.

Kalau semua kritikan yang mereka bentangkan adalah untuk kita telan sahaja atau puji mereka melambung-lambung, apa nilai dari pembentangan dan apa guna lagi kita menuntut ilmu?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676486406867173376/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-133-apa-sahaja-dalam

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now