At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 120 : Musibah Yang Disebaliknya Adalah Rahmat

1 0 0
                                    

Melihat gambar ini, ia mengingatkan sabda Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- : 

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Melihat gambar ini, ia mengingatkan sabda Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- : 

" مَنْ قَالَ حِينَ يُصْبِحُ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تَفْجَأْهُ فَاجِئَةُ بَلاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ، وَإِنْ قَالَهَا حِينَ يُمْسِي لَمْ تَفْجَأْهُ فَاجِئَةُ بَلاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ "

Sesiapa yang menyebutkan ketika pagi: "Dengan nama Allah yang sesuatu tidak menjadi mudarat bersama nama-Nya di langit dan di bumi. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat" sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ditimpa kejutan bala sehingga petang. Jika menyebutkannya pada waktu petang, nescaya tidak akan ditimpa kejutan bala sehingga pagi. [Ṣoḥīḥ Ibn Ḥibbān, no. 859].

Sebahagian orang berkata yang dia telah beramal dengan amalan ini, tetapi tetap jua ditimpa musibah, kemudaratan, kesulitan, kesakitan, kepedihan, kepahitan dan lain-lain. Mereka mula tertanya-tanya bahawa adakah amalan ini tidak memberikan apa-apa jaminan secara mutlak.

Hakikatnya, boleh jadi musibah, mudarat, kesulitan, kesakitan, kepedihan dan kepahitan yang tertimpa mereka ini sebenarnya telah menyelamatkan mereka daripada musibah, mudarat, kesuliatan, kesakitan, kepedihan dan kepahitan yang lebih besar, lebih bahaya, lebih parah dan lebih serius.

Mungkin sahaja seseorang itu direnggut oleh seseorang dari belakang secara tiba-tiba, lalu dia terjatuh kesakitan. Namun, itu menyelamatkan dia daripada terjatuh ke dalam gaung yang mungkin sahaja akan mencederakannya atau menyebabkan mudarat lebih payah. Mungkin sahaja seseorang itu ditimpa daripada kemalangan, lalu menyebabkan dia luka dan kenderaannya rosak, tetapi mungkin sahaja dia telah diselamatkan daripada kematian atau luka yang lebih parah. Bahkan, kalau dia mati pun, barangkali kematiannya terselamat daripada kematian yang membebankan dan lebih tragik.

Kita kadangkala terlalu fokus terhadap kesakitan yang menimpa kita, tetapi kita tidak mahu menghargai dan menyelami hikmah yang menimpa kita. Kita kadangkala terlalu mendesak agar Allah menunaikan janji-Nya untuk pengamalan hamba-Nya, tetapi tidak memerhatikan bagaimana Dia menunaikan janji-Nya. Kita hanya fokus cara Dia menunaikan janji-Nya seolah-olah Dia bukan Maha Bijaksana dalam menunaikannya dengan cara di luar jangkauan kita. Ingatlah firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā ini :

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Boleh jadi kalian membenci sesuatu, sedangkan ia baik untuk kalian. Boleh jadi kalian menyukai sesuatu, sedangkan ia buruk untuk kalian. Dia mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui". [Surah al-Baqoroh ayat 216].

Janganlah selalu menyangka bahawa kesenangan, kemanisan, kelazatan, ketenangan dan kemudahan perjalanan aktiviti harian kita ini sebenarnya adalah kebaikan daripada-Nya. Boleh jadi sebenarnya ia adalah azab, mudarat dan bencana yang mungkin sahaja kita belum menyedarinya. Janganlah juga selalu menyangka bahawa keberatan, kepedihan, porak-peranda dan halangan dalam menjalankan aktiviti harian secara tersusun dianggap sebagai mudarat daripada-Nya. Boleh jadi ia sebenarnya adalah rahmat, keberkatan dan kebaikan yang mungkin sahaja kita belum mengetahuinya. Allah lebih mengetahui tentang apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Apapun, kalau pun kita mati dan ditimpa mudarat, sekurang-kurangnya kalau pun zahirnya tidak kelihatan seperti tertunai janji-Nya, kita sekurang-kurangnya mati dengan mengamalkan sunnah dan mengikut sepertimana yang diajarkan rasul-Nya -ṣollallahu *alayhi wasallam- secara ikhlas dan cinta terhadapnya. Adakah ini tidak cukup menggesa seseorang itu beramal? Sebab itulah Allah Tabāroka Wa Ta*ālā berfirman :

فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

"Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang yang melakukan kebaikan". [Surah Hūd ayat 115].

Allah sama sekali tidak akan menyia-nyiakan amalan kebaikan kita walaupun sedikit. Dia pasti akan mencukupkan pahala kita, bahkan menambahkannya secara berganda. Yakinilah bahawa Dia sama sekali tidak akan menyalahi janji-Nya dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Adil lagi Maha Teliti terhadap apa yang Dia lakukan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/668820470299230208/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-120-musibah-yang

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now