At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 39

7 0 0
                                    

Di Mana Jurang Antara Al-Aš*ariyy Dengan Manhaj Salaf?

Ini adalah petikan daripada kitab Iṯbāt al-Ḥadd Lillah Wa Bi Annahu Qō*id Wa Jālis *Alā al-*Arš

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Ini adalah petikan daripada kitab Iṯbāt al-Ḥadd Lillah Wa Bi Annahu Qō*id Wa Jālis *Alā al-*Arš. Kitab ini bukan sahaja yang menggerunkan aliran al-Aš*ariyy, bahkan sebahagian aliran salafi juga terkena tempias yang sama. Di sini saya tidak mahu memperpanjangkan ceritanya apa kandungannya dan apa sebabnya ia mendapat reaksi yang tidak menyenangkan pada sebahagian orang. Walau apapun, tetap ada nilai ilmiah yang ada pada kitab ini meskipun saya tidak sepandangan dengan penulis ini dalam beberapa perkara. Tidaklah kitab itu ditolak hanya kerana nama, tetapi berdasarkan apa yang terkandung padanya dan analisis ilmiah terhadapnya.

Berbalik kepada petikan ini. Ia adalah penyenaraian tokoh-tokoh ilmuan yang menetapkan had bagi Allah berdasarkan rujukan dari salaf yang sahih. Dalam kitab ini, dia menyenaraikan lebih 20 orang ahli ilmu yang mengisbatkan had bagi Allah. Maknanya, pengarang kitab ini bukanlah pencetus awal atau berasaskan kata-kata kosong. Tetapi, dari sandaran yang sabit. Malah, Abū Sa*īd ad-Dārimiyy pernah menyatakan bahawa had bagi Allah adalah kesepakatan sekalian Muslim. Katanya :

وَقَدِ اتَّفَقَتِ الْكَلِمَةُ مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَالْكَافِرِينَ أَنَّ اللَّهَ فِي السَّمَاءِ، وَحَدُّوهُ بِذَلِكَ إِلَّا الْمَرِيسِيَّ الضَّالَّ وَأَصْحَابَهُ

"Telah pun sepakat ketetapan daripada para Muslimin dan kafir bahawasanya Allah di langit dan mereka meletakkan had-Nya di situ kecuali al-Marīsiyy yang sesat dan sahabat-sahabatnya". [Naqḍ al-Imām Abī Sa*īd *Uṯmān Ibn Sa*īd ad-Dārimiyy *Alā al-Marīsiyy al-Jahmiyy al-*Anīd Fī Mā Iftarō *Alā Allah *Azza Wa Jalla Min at-Tawḥīd, m/s 78, keluaran al-Maktabah al-Islāmiyyah Li an-Našr Wa at-Tawzī*, tahqiq Abū *Āṣim aš-Šawāmiyy al-Aṯariyy].

Ibn Taymiyyah mengakui hal ini dan dia menyatakan adanya dua pandangan dalam hal ini, iaitu salah satu daripadanya menafikannya dan salah satunya mengisbatkannya. Dia juga membahas hal ini panjang lebar dalam karya-karyanya. Bayān Talbis al-Jahmiyyah Fī Ta^sīs Bida*ihim al-Kalāmiyyah adalah karya khusus yang membahaskan ini secara terperinci.

Saya ingin bertanya kepada mereka yang beraliran al-Aš*ariyy atau semanhaj dengannya. Adakah mereka ingin mengakui adanya pendapat dari tokoh-tokoh ilmu kenamaan bahawa mereka megisbatkan had bagi Allah yang mana ia menyalahi dasar manhaj mereka seperti Ibn Taymiyyah mengakuinya? Adakah mereka akan mengutip pandangan mereka dan membahaskannya secara tuntas supaya ia harmoni dengan manhaj kalian? 

Paling terbanyak daripada mereka adalah mereka buat-buat tidak tahu terhadap realiti ini, apatah lagi cuba membuat analisis yang ilmiah padanya. Kemudian, menyalak sana sini bahawa manhaj mereka lebih sejati daripada Ibn Taymiyyah dan lebih seragam dalam pegangan salaf dan khalaf. Orang yang berakal akan tahu bahawa ini adalah manhaj yang rapuh dan tidak teruji lagi berdelusi dalam khayalan sendiri.

Saya mengemukakan soalan ini kerana saya ingin membantu mereka yang beraliran al-Aš*ariyy atau semanhaj dengannya supaya menjadi relevan. Saya membuka jalan dan mengenalpasti di mana kelompongan mereka. Saya ingin kebaikan untuk mereka dan berharap mereka memiliki dasar yang berkompetitif dan mampu menghadapi realiti. Malangnya, sahutan saya ini selalunya ditolak bersama cemuhan. Seolah-olah apa yang saya ketengahkan ini bukan realiti dan fakta untuk menggerakkan pemikiran mereka dan memperhebat pembinaan metodologi manhaj mereka. Sesungguhnya mereka merugikan diri mereka sendiri.

Itulah mereka! Sang taksub untuk membuka matanya melihat realiti. Ini kerana nukilan salaf begitu jauh dari sajian mereka. Jangankan tentang pengisbatan had Allah, apabila dinukilkan "Allah di langit di atas Arasy-Nya", "Allah turun ke langit dunia sebagaimana yang Dia kehendaki" atau seumpamanya yang boleh didapati banyak nukilan sebegini dalam al-*Uluww Li al-*Aliyy al-Ġoffār karya aḏ-Ḏahabiyy, terus dicop sebagai pembawa fahaman tasybih. Jelaslah bagaimana lebarnya jurang antara al-Aš*ariyy dengan dimensi salaf.

Hakikatnya mereka sebenarnya langsung tidak faham manhaj salaf. Manhaj mereka belum diuji dengan kalam salaf yang mereka tuduh sebagai tasybih. Mereka sengaja tidak membacanya kerana itulah yang akan memecahkan tembelang mereka. Malah, semakin mereka baca, semakin itu akan memedihkan jiwa mereka. Tanggapan negatif bahawa kalam tersebut mempunyai bau-bau tasybih akan lahir sama ada secara sedar atau tidak. Lantas, mana-mana yang berucap sedemikian adalah tasybih atau dituduh pengeksploitasi dan pemanipulasi kalam salaf untuk mempertahankan tasybih.

Sebab itu apabila kitab ini diterbitkan, mereka menolaknya hanya kerana namanya yang secara eksplisit menyalahi pegangan mereka. Begitu enggan mereka melihat kandungannya, menelitinya, mengalisisnya, membandingkannya dan mengeluarkan kebenaran daripadanya. Para salafi sangat menanti bagaimana mereka berinteraksi dan berwacana dengan kitab ini. Bukan hanya menafi dan terus menafi tanpa hujah.

Kalam yang disebutkan mereka itu adalah jelas. Dengan manhaj kalian, apa penyelesaian bagi konflik ini? Adakah kalam imam-imam ternama ini salah? Apa metodologi untuk mengharmonikannya? Itulah yang ingin didengarkan. Bukan sikap pura-pura tidak tahu dan mengabaikan realiti. 

Lantas, mereka kehairanan mengapa ada orang menjauhi al-Aš*ariyy. Ini kerana mereka sendirilah yang menjauhi nukilan salaf dan realiti. Seseorang tidak mahu dekat dengan orang yang sengaja menjauhkan diri. Sekuat mana dia mengejarnya, mereka tetap menutup mata dari realiti.  Orang yang waras akalnya akan meninggalkan sesuatu yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/631357236637253632/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-39-di-mana-jurang-antara

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now