At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 70 : Fiqh Lebih Luas Daripada Perspektif Sahih Dan Dhaif?

6 0 0
                                    

Saya selalu sahaja menemukan kata-kata ini dipromosikan dan disebarluaskan, malah diangkat tinggi sebagai kata-kata yang berlian harganya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Saya selalu sahaja menemukan kata-kata ini dipromosikan dan disebarluaskan, malah diangkat tinggi sebagai kata-kata yang berlian harganya. Cuma, ia perlu diberi kewaspadaan kerana ia seakan-akan merendahkan kedudukan agung seni ilmu hadis jika kalam ini menjadi suatu fahaman sepihak. Malah, adakalanya kata-kata ini boleh dikonotasikan dalam merendahkan pandangan ahli hadis dalam sesuatu hadis kerana tidak mengikut piawaian fuqaha dalam isu fiqh.

Bayangkan jika ahli hadis berkata: "Hadis ini mempunyai illah. Riwayat ini munkar dan tidak sabit sama sekali daripada Rasulullah", tiba-tiba ada sang fuqaha berkata: "Kami tidak perlukan kenyataan tersebut dan perbahasan mengenainya kerana fiqh lebih luas daripada penilaian illah!".

Kalau darjat sahih dan dhaif hadis itu tidak tampak seperti teras utama yang penting kerana ia tidaklah seluas fiqh, maka tidak perlu lagi ahli hadis untuk memelihara, menjaga, menyaring dan menyemak riwayat! Pandangan ahli hadis tentang sahih dan dhaif boleh diabaikan dan diketepikan hanya kerana ia ada kepentingan daripada sudut fiqh. Ini jelas pencabulan dan penghinaan terhadap seni ilmu hadis.

Masalah yang lebih serius adalah disebabkan kerana terlalu longgar dalam fiqh, hadis-hadis yang tidak sabit dan dhaif dijadikan sandaran, pegangan dan hujah bagaikan ia adalah sahih hanya kerana ada kepentingan fiqh. Apabila kita menyatakan bahawa hadis tersebut bermasalah, maka pasti ia akan diabaikan, malah dipandang lekeh. Kata mereka: "Dhaif bagi kamu, tetapi tidak bagi mereka" atau "Ia sememangnya dhaif, tetapi ia diterima untuk penghujahan" atau seumpamanya semata-mata untuk memihak kepada fuqaha, lebih-lebih setelah sememangnya pasti bahawa mereka bukan yang berpengkhususan dalam ilmu hadis.

Apa guna lagi ahli hadis dan wacana ilmu hadis kalau sebegini alasannya? Seakan-akan fuqaha terbebas tanggungjawab dari penilaian sahih dan dhaif! Apakah terlalu remeh ilmu hadis dan lapangannya hanya kerana ia tidak seluas fiqh? Seolah-olah kepentingan mengetahui sahih dan dhaif serta penelitian illah dalam hadis itu boleh diberi toleransi yang sebebasnya hanya kerana ia ada nilai dari sudut fiqh.

Fiqh hadis sememangnya merupakan ijmak fuqaha, tetapi jangan lupa ijmak ahli hadis dalam penghukuman hadis! Apabila ahli hadis bersepakat bahawa hadis itu dhaif dan perawi tersebut tidak boleh dijadikan hujah, maka tiada ruang fuqaha untuk hal ini meskipun atas alasan ada kepentingan fiqh.

Benar bahawa dalam sumber pengambilan hukum fiqh dan penghujahan fiqh dalam menentukan sesuatu hukum, ia lebih luas daripada penilaian sahih dan dhaif. Akan tetapi, dalam mengambil hadis sebagai kehujahan, maka ahli hadis adalah sumber rujukannya. Metodologi ilmu hadis yang diambil kira. Penilaian hadis bukan daripada perspektif fuqaha.

Bagi mereka yang tidak cakna bahawa sememangnya wujud pemisah antara manhaj ahli hadis dan fuqaha dalam penerimaan dan penolakan hadis, boleh memulakan bacaan kitab Qobūl al-Ḥadīṯ Dirōsah Fī Manāhij al-Muḥaddiṯīn Wa al-Usūliyyīn karya Mu*taz al-H̱oṭīb. Saya mengingatkan ini kerana di sana ada yang menyangka bahawa manhaj hadis adalah selari sepanjang zaman, walhal ia memiliki pelbagai fasa dan mengalami perpecahan kepada beberapa kelompok atau aliran.

Apapun, cukup melihat usaha takhrij hadis oleh Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy terhadap kitab aš-Šarḥ al-Kabīr karya ar-Rōfi*iyy melalui kitabnya at-Talẖīs al-Ḥabīr dan Jamāluddīn az-Zayla*iyy terhadap kitab al-Hidāyah karya al-Marġīnāniyy melalui kitabnya Naṣb ar-Rōyah. Cukup untuk membuktikan kelonggaran fuqaha dalam bersandar kepada hadis yang bercampur sahih, dhaif dan yang tiada sandaran langsung. 

Mungkin ada yang berkata bahawa demikianlah seni fuqaha dalam berhujah yang tidak hanya memandang perbahasan hadis pada sahih dan dhaif sahaja. Akan tetapi, ia sebenarnya sama ada ini menunjukkan kelompongan mereka dalam ilmu hadis atau kata-kata sebegitu sebenarnya ingin memandang rendah terhadap ahli hadis yang hanya mengehadkan diri dalam perspektif sahih dan dhaif sahaja serta dangkal dalam fiqh.

Di sini, bukanlah saya ingin mencela fuqaha secara keseluruhan atau menafikan sumbangan mereka dalam bidang ilmu fiqh atau merendahkannya kerana kekurangannya dalam bidang hadis jika ada, tetapi saya ingin mengajak supaya hormat kedudukan ilmu hadis dan ahlinya meskipun mereka benar-benar ada kekurangan dalam penguasaan fiqh. 

Kadangkala ada yang hampir-hampir  menyindir atau menyerupai sindiran bahawa penguasaan ilmu hadis akan jadi tempang jika tidak ada fiqh dan seolah-olah ahli hadis hanya tahu sahih dan dhaif, tetapi tidak cakna terhadap fiqh. Padahal, di sana sememangnya ada ahli fiqh yang tidak menguasai ilmu hadis dan ketempangan mereka adalah jelas apabila mereka bersandar dengan hadis yang tidak berasas, apatah lagi ingin celik kepada status hadis tersebut.

Sememangnya fuqaha ada kegeniusan mereka dan penguasaan lapangan mereka, tetapi hormatilah juga kegeniusan ahli hadis dan penguasaan lapangan mereka. Janganlah pandang enteng terhadap ahli hadis yang membahaskan kesahihan dan kedhaifan serta menyingkap kecacatan tersembunyi hanya kerana ia tidak memihak kepentingan fiqh yang dibawa. Hukum fiqh dan penghujahan di dalamnya adalah kewibawaan fuqaha, tetapi status hadis dan penghujahan baginya adalah kewibawaan ahli hadis. 

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/650977608082784256/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-70-fiqh-lebih-luas

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now