At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 121 : Sikap Kita Terhadap Orang Yang Bertanya Dalil

2 0 0
                                    

Kalaulah soalan ini ditanya oleh golongan bukan Muslim, adakah agamawan ini ingin membentak dan mengherdik seperti ini atau ingin menjawab secara ilmiah, objektif dan tersusun?

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Kalaulah soalan ini ditanya oleh golongan bukan Muslim, adakah agamawan ini ingin membentak dan mengherdik seperti ini atau ingin menjawab secara ilmiah, objektif dan tersusun?

Sangatlah hairan terhadap agamawan yang memberikan respons yang mengalu-alukan dan interaksi yang penuh menyenangkan jiwa apabila golongan bukan Muslim bertanyakan soalan yang agak sensitif, mengutarakan kemusykilan yang penuh kerumitan dan permasalahan yang mencelarukan. Mereka memberi jawapan secara teratur, berhemah dan dituangkan ketulusan untuk menyampaikan. Mereka sangat menginginkan kalau golongan ini menerima Islam dengan kefahaman yang jitu dan kemantapan pengetahuan atau masing-masing dapat berlapang dada dan bertoleransi terhadap perbezaan yang ada.

Namun, layanan yang sangat berbeza terhadap sesama Muslim. Bertanya tentang dalil sahaja ditempelak dan disergah. Mereka lebih selesa dan lebih suka jika umat Islam kekal bodoh, berpada dengan apa yang disampaikan tanpa dibenarkan untuk menyelidiki lebih dalam dan tidak ada ruangan yang adil untuk berbincang. Kalau ada pun, ia bukan dialog dan berbahas secara sihat dan adanya keraian perbezaan dan perselisihan, tetapi sekadar untuk memenuhi dogma, tradisi dan apa yang menjadi turun-temurun dan yang telah lama tersebar luas.

Mereka ini memahukan golongan bukan Muslim masuk kepada Islam dengan kecerdikan dan kecendekiaan, tetapi memahukan yang telah Muslim kekal di takuk lama yang usang, kitar semula dan tidak progresif. Beginikah yang dibanggakan umat Islam? Sesama umat Islam dimomokkan bahawa orang awam tidak faham dalil walaupun mereka dari golongan profesional, pakar rujuk dalam bidangnya dan berpengalaman lama dalam berfikir dan mengkaji dalam pekerjaannya. Namun, dengan yang bukan Muslim pula, dibahas secara tajam dan tuntas agar tidak terbuka ruang pun untuk salah faham dan mengubah tanggapan mereka terhadap agama Islam yang sebenarnya walaupun orang itu adalah sekadar biasa-biasa sahaja. 

Sangatlah rancu sistem pendidikan, pengajaran, dakwah dan interaksi ilmiah sebegini. Bagaimana sesama Muslim boleh ada kasta dalam transparensi ilmu untuk memahami dalil, tetapi dengan bukan Muslim, jurang untuk akses kefahaman dibuka seluas-luasnya tanpa mengira mereka ini golongan ilmuwan yang memiliki literasi dalam agama Islam ataupun tidak. Seakan-akan hak untuk memahami dalil bagi Muslim diketepikan, tetapi diberikan kepada bukan Muslim.

Beringatlah dengan firman Allah *Azza Wa Jalla ini :

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ

"Adapun orang yang meminta, maka janganlah engkau mengherdik". [Surah aḍ-Ḍuḥā ayat 11].

Apabila ada orang meminta dalil, tunaikanlah permintaannya semampunya. Tidak perlu herdik dan membentak mereka. Sudahlah kedekut atau mungkin tidak ada dalil langsung, tambah lagi mengherdik orang bertanya. Kemudian, merendahkan orang lain seolah-olah dia terlalu bodoh untuk memahaminya dan menyangka buruk bahawa dia tidak akan mampu mencernanya.

Benar. Kita sama sekali tidak menafikan kepentingan untuk mempelajari ilmu secara sistematik dan menguasai beberapa ilmu yang penting untuk memahami sesuatu topik, isu, perbahasan, dalil dan bidang. Bukan semua isu boleh ditaburkan penjelasan, kupasan dan analisis tanpa mempelajarinya beberapa masa yang lama, lalu diharapkan ia dijawab dengan singkat dan mudah. 

Misalnya adalah isu percanggahan zahir pada hadis. Untuk membahaskan kaedah ulama dalam berinteraksi dan menyelesaikan permasalahan ini, ia bukan semudah satu majlis atau satu sesi soal jawab. Ia perlu dipelajari terlebih dahulu ilmu alatnya dan mengikuti perbahasan yang berkaitan yang menjadi contoh kepada permasalahan tersebut. Untuk hal ini, Riḍō bin Zakariyyā bin Muḥammad bin *Abdullah bin Ḥamīdah telah mengarang Qowā*id al-Muḥaddiṯīn Fī Daf* at-Ta*āruḍ az-Ẓōhiriyy Bayna al-Aḥādīṯ untuk membentangkan tatacaranya supaya kita ada bekalan untuk berinteraksi dengan beberapa kes yang lain.

Gesaan ini bukan sahaja untuk Muslim, tetapi sesiapa sahaja yang bukan Muslim yang ada minat dan perhatian terhadap Islam. Adakalanya, kita perlu ambil masa untuk memahaminya dan perlu penguasaan beberapa ilmu alat supaya kita boleh menganalisisnya secara sistematik. Mungkin ada beberapa ilmuwan akan bantu mengupas jawapan yang ringkas, tetapi tidak memadai dan tidak cukup untuk keyakinan diri penanya. Namun, hormatilah mereka dan fahamilah keadaannya, lebih-lebih lagi apabila ia memerlukan penguasaan ilmu.

Untuk memahami sesuatu permasalahan astronomi pun bukan semudah untuk dijawab dalam satu sesi soal jawab atau satu majlis tanpa memahami terlebih dahulu beberapa perkara dalam ilmu fizik, kimia, matematik dan lain-lain yang mana pembelajarannya itu mengambil beberapa tempoh masa serta memerlukan kesungguhan dan ketekunan. Bagaimana mungkin permasalahan agama juga tidak sedemikian tabiatnya?

Kebenaran tidak semestinya tercapai dengan mudah dan kefahaman tidak semestinya ditempuhi tanpa kepayahan. Meletakkan penghormatan terhadap ilmu adalah pembuka untuk seseorang tercapainya kebenaran. Apabila kita sombong terhadapnya kerana tidak mahu bersusah payah, maka sampai bila-bila kita tidak akan mempelajarinya dan jawapan sama sekali tidak akan dibuka untuk orang yang sengaja menutup jantungnya.

Apapun, kita mesti raikan setiap orang yang bertanya. Bukan semua yang bertanya dalil kerana bermotif jahat. Ada yang mereka sememangnya ingin ambil tahu. Ada di antara mereka yang ingin memperkukuh kefahaman dan keyakinan mereka. Ada di antara mereka yang mahu mendengar sudut pandang daripada pengajar. Ada di antara mereka yang berhadapan dengan kemusykilan dan mengharap agamawan itu bantu untuk menyelesaikannya. Banyak lagi sebabnya.

Sebab itulah jangan mengherdik orang yang meminta. Kita mungkin sahaja akan menghampakan dan mengecewakan orang yang tulus dan jernih niatnya tanpa kita sedari.

Kemudian, kalau pun ada yang bermotif jahat, itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Samalah seperti golongan bukan Muslim. Adakalanya, mereka bertanya dalil bukan untuk menerima pandangan tersebut, apatah lagi menerima Islam. Mereka tetap sahaja keras permusuhannya terhadap agama ini. Sama sahaja dengan Muslim. Mereka mungkin sahaja ada yang menolak mazhab, bahkan ada sahaja kalangan mereka yang zindik terus kekal dengan kebatilan dan kesesatan mereka.

Akan tetapi, apa yang patut kita buat? Sampaikan sahaja kebenaran serta jelaskan sahaja apa yang sewajarnya dan memadai. Yang penting adalah kita bersikap transparensi dalam agama dan yakini bahawa pendapat dan pengamalan kita didasari dalil yang utuh yang kita memahaminya. Sama ada mereka ingin menerimanya atau menolaknya, itu bukan urusan kita. Kita sekadar penyampai sahaja, bukan untuk memaksa orang lain agar mengikut pandangan kita.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/668825995131994112/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-121-sikap-kita-terhadap

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now