At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 182

5 0 0
                                    

Hipokrit Aswajaean Terserlah Pada Isu Ibrōhīm al-Kūrōniyy

Isu Ibrōhīm bin Ḥasan al-Kūrōniyy yang menjadi hangat baru-baru ini kerana ia ditimbulkan oleh salah seorang figura yang terkenal yang menyinggung golongan batiniah dengan menjadikan nama ini sebagai sasaran tembakan dengan mengemukakan salinan su...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Isu Ibrōhīm bin Ḥasan al-Kūrōniyy yang menjadi hangat baru-baru ini kerana ia ditimbulkan oleh salah seorang figura yang terkenal yang menyinggung golongan batiniah dengan menjadikan nama ini sebagai sasaran tembakan dengan mengemukakan salinan surat yang ditulis bagi menjawab pertanyaan isu tentang yang berkaitan dengan peristiwa yang ada pertalian dengan fahaman ₍Waḥdah al-Wujūd₎.

Saya tidak ingin berbicara tentang Ibrōhīm al-Kūrōniyy ini dan tidak ingin mengulas tentang suratnya yang mana ia menjadi punca kepada kehangatan isu ini. Akan tetapi, di sini, saya akan memperlihatkan empat kepincangan aswajaean dalam merespons isu ini.

Pertama, dalam melihat respons pembelanya, mereka hanya mengemukakan manaqib bersama pujian yang melambung terhadapnya serta membesar-besarkan kelebihan dan keagungan yang ada padanya. Mereka tidak memfokuskan hujah balas untuk membela kandungan surat tersebut bahawa ia adalah salah.

Kalaulah kita ingin bermain permainan sebegini, maka pengikut Ibn Taymiyyah pun boleh menggunakan cara ini untuk merespons serangan orang ramai terhadap Ibn Taymiyyah. Bahkan, Mar*iyy bin Yūsuf al-Karmiyy; tokoh ilmuwan ḥanbalian yang wafat pada 1033 Masihi telah menghasilkan kitab yang khas untuk mengumpulkan pujian para ulama terhadap Ibn Taymiyyah yang bertajuk «aš-Šahādah aḏ-Ḏakiyyah Fī Ṯanā^ al-^Immah *Alā Ibn Taymiyyah». Para pengikut Ibn Taymiyyah sudah memadai untuk mengangkat tinggi kitab ini dalam menepis tuduhan buruk terhadapnya.

Jadi, apa respons aswajaean jika orang bermain sebegini? Bahkan, mereka menolak ke tepi kesemua pujian terhadap Ibn Taymiyyah seakan-akan semua itu tidak nilai dan tetap berpendirian tegas bahawa dia adalah pendukung fahaman karrōmian sambil membawa hujah dari teks penulisanya untuk membuktikan kepincangannya. Namun, mengapa mereka tidak boleh berbuat yang sama untuk Ibrōhīm al-Kūrōniyy? Apakah hipokrit?

Sebab itulah benar kata Ibn al-Jawziyy :

التَّقْلِيد للأكابر أفسد العقائد وَلَا يَنْبَغِي أَن يناظر بأسماء الرِّجَال إِنَّمَا يَنْبَغِي أَن يتبع الدَّلِيل، فَإِن أَحْمد أَخذ فِي الْجد بقول زيد وَخَالف الصّديق

"Taklid kepada tokoh besar adalah serosak-rosak kepercayaan. Tidak sepatutnya dia berdebat dengan nama-nama orang. Sepatutnya dia mengikut dalil. Sesungguhnya Aḥmad mengambil pendapat Zayd dalam isu pewarisan datuk dan menyalahi aṣ-Ṣiddīq". [At-Taḥbīr Šarḥ at-Taḥrīr Fī Uṣūl al-Fiqh, karya *Alā^uddīn Abū al-Ḥasan al-Ḥanbaliyy ad-Dimašqiyy, jilid 8, m/s 4113, keluaran Maktabah ar-Rušd, ar-Riyāḍ, tahqiq *Abdul Roḥmān al-Jibrīn, *Awḍ al-Qorniyy dan Aḥmad as-Sarrōḥ].

Jika kita hanya ingin bermain tukar-menukar nama tokoh, maka sampai bila-bila pun kita tidak akan fokus kepada penghujahan ilmiah. Bahkan, ia hanya mencambahkan ketaksuban sahaja. Tidak ada manfaat dalam pertelingkahan jika masing-masing saling mempromosikan tokoh yang mana yang lebih banyak pujian kepadanya, lebih banyak penulisannya dan lebih berpengaruh namanya untuk diikuti.

Kedua, Ibrōhīm al-Kurōniyy menepis tuduhan terhadap Ibn Taymiyyah bahawa dia beriktikad kejisiman bagi Allah serta menafikan penyerupaan Allah dengan makhluk-Nya dan menyatakan bahawa dia berada di atas manhaj salaf dalam keimanan dengan ayat naṣ-naṣ mutasyabihat. Kenyataan ini dipetik oleh Yūsuf bin Ismā*īl an-Nabhāniyy; salah seorang tokoh sufi ternama dalam «Šawāhid al-Ḥaqq Fī al-Istiġōsah Bi Sayyid al-H̱olq» dan ini juga ada dinyatakan Nu*mān bin Maḥmūd al-Ālūsiyy; anak kepada pengarang «Rūḥ al-Ma*ānī» dalam «Jilā^ al-*Aynayn Fī Muḥākamah Aḥmadayn».

Kita telah maklum bahawa pandangan seperti ini boleh dikatakan menyalahi pandangan arus perdana dari aswajaean ini. Kita pasti bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mennepisnya dan membantahnya dengan membuktikan iktikad kejisiman bagi-Nya daripada Ibn Taymiyyah dari karyanya sendiri. Mana-mana pengikut Ibn Taymiyyah yang mengemukakan teks al-Kūrōniyy pasti akan dicampak ke belakang. Paling sopan pun mereka akan berkata bahawa pendapat al-Kūrōniyy ini tidak betul.

Akan tetapi, apabila dibangkitkan dalam isu ₍Waḥdah al-Wujūd₎ pada al-Kūrōniyy, dia seolah-olah melangkaui dari segala kritikan dan mana-mana yang mengkritiknya pasti akan dikecam hebat dan dicerca dengan bermacam-macam panggilan seperti tidak menghormati ulama dan lain-lain serta memperkecilkan orang yang mengkritiknya dengan membanding-bandingkan kedudukan al-Kurōniyy dengan pengkritiknya.

Ketiga, Muḥammad Zāhid al-Kawṯariyy dan Sa*īd Fawdah adalah pembela ašᶜarian masa kini dan banyak menyuarakan tentang isu-isu wahabi secara lantang. Namun, yang paling pelik sekali adalah mereka mendesak orang lain agar berkeras terhadap wahabi, tetapi apabila sudah ada tokoh besar yang aktif bersuara tentang wahabi, tiba-tiba mereka langsung tidak mengambil peduli dan tidak mahu menerima pun kritikan mereka berdua terhadap Ibrōhīm al-Kūrōniyy!

Orang yang sudah jelas menentang wahabi pun tidak mahu dipedulikan apabila mengkritik al-Kūrōniyy, apatah lagi orang yang dituduh sebagai musang berbulu wahabi. Malah, kritikan terhadap al-Kūrōniyy juga dianggap ia muncul dari wahabi atau musang berbulu wahabi!

Banyak kali orang minta pengkritiknya bersikap tegas terhadap wahabi dan mempersoalkan mengapa dia kelihatan rapat dengan golongan wahabi serta menuduh dia ini musang berbulu wahabi. Padahal, tokoh agung mereka sendiri yang aktif menentang wahabi pun mereka menutup telinga dan mencampaknya!

Mengapa pula mahu mendesak orang lain, mempersoalkan status aliran orang lain dan menuduh orang lain pula hanya kerana sibuk mengkritik al-Kurōniyy dan tidak dilihat aktif mengkritik wahabi?

Hakikatnya, mereka ingin orang ramai supaya berdiam diri dan menahan bicara dari mengkritik al-Kūrōniyy. Itulah hakikat permintaan mereka. Isu wahabi ini sebagai cara untuk mereka menyelindungkan kepincangan mereka dan sikap kepala batu mereka dalam mendepani kritikan.

Keempat, mereka yang ingin mengotorkan nama Abū Sa*īd ad-Dārimiyy dengan menuduhnya sebagai mujassim banyak mengambil dan menyebarkan kalam Muḥammad Zāhid al-Kawṯariyy dalam «al-Maqōlāt» serta ia telah diterjemahkan ke bahasa Malaysia dan Indonesia sekalipun nama empunya kalam dan rujukannya tidak disebutkan dalam penulisan tersebut. Padahal, dia tidak pernah diburukkan sedemikian setelah seribu tahun setelah kewafatannya.

Akan tetapi, dalam kes Ibrōhīm al-Kūrōniyy, mereka langsung tidak mengambil peduli pun tusukan al-Kawṯariyy terhadapnya seakan-akan ia tidak wujud langsung atau tidak ada nilai langsung. Berbeza dengan kes ad-Dārimiyy yang mana mereka bersungguh-sungguh memberi merit yang tinggi terhadap kritikan al-Kawṯariyy dan mereka bersiap-siaga ingin berhujah ilmiah dalam isu ini.

Ini sama sekali tidak ada langsung dengan Ibrōhīm al-Kūrōniyy yang mana mereka hanya memainkan biografinya, penyebutan kelebihannya dan meninggi-ninggikan pengagungannya terhadapnya. Kritikan terhadap isu ₍Waḥdah al-Wujūd₎ seakan-akan tidak ada ruang perbincangan serta tidak ada sesiapa yang berhak untuk menyuarakan pandangan yang berbeza dan menyalahinya kerana kononnya para pengkritik tidak ada sebarang kedudukan jika dibandingkan dengan al-Kūrōniyy. Sedangkan, Abū Sa*īd ad-Dārimiyy jauh lebih mulia daripada para pengkritiknya, tetapi itu langsung tidak diendahkan oleh aswajaean ini.

Kepincangan aswajaean ini bukan baharu. Ia sudah lama berakar dan menjalar dalam kalangan mereka sehingga orang yang sudah lama mengikuti rentak mereka sudah tidak perlu kehairanan dengan perangai mereka. Kebodohan mereka yang tidak disedari dan ketempangan manhaj yang tidak mahu diintrospeksi hanya akan membangkitkan pendapat dan respons yang tolol lagi dungu dari semasa ke semasa.

Saya sememangnya berdoa kepada Allah agar mereka akan menyaksikan sendiri kecacatan mereka dan kebodohan sendiri serta mereka akan merasa meluat terhadap apa yang mereka tanggung selama ini dan tanggung bersama teman-teman mereka. Saya berharap pada masa itu, mereka akan membawa pembaharuan dalam diri mereka dan kepada teman sekeliling mereka.

Bagi kita yang tidak terkait dengan golongan ini, saya berharap ia menjadi pengajaran kepada kita tentang bagaimana kepincangan dalam manhaj yang bercelaru. Semoga kita semua dihindari daripada kebodohan dan kedunguan seperti ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/688510482004557824/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-182-hipokrit-aswajaean

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now