At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 20 : Cara Pertanyaan Dalil Yang Terbaik

4 0 0
                                    

Begini sepatutnya nasihat ahli ilmu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Begini sepatutnya nasihat ahli ilmu. Memberikan ruang harapan untuk menyemarakkan lagi suasana budaya ilmu sambil menasihati tentang pancaroba dan cabaran yang wujud padanya tanpa berdalih dan bersembunyi. Seimbang dalam memberi kelonggaran dan pengetatan dalam menjayakan serta mencapai matlamat yang dituntut. Dalam keadaan di tengah-tengah ketegangan, persengektaan dan kacau-bilau masih tetap cuba membuka ruang bersama nasihat yang wajar diberi perhatian. Itulah nilai yang ada pada agama. Sekalipun Allah menemplak orang yang berkata tentang sesuatu yang tidak diketahui, tetap Allah membuka ruang untuk diskusi dan wacana ilmu.

Walaupun saya sangat menuntut untuk seseorang bertanyakan dalil dan menemplak orang yang mencela penanya tentang dalil, namun saya juga menyetujuinya bahawa lebih manis dan berperisa dengan pengetahuan tentang usul fiqh. Sangat tidak padan untuk bertanyakan tentang *ilal al-Ḥadīṯ jika mentakhrij pun masih belum mampu. Biarlah jawapan yang ditanya itu sesuai dengan kadar yang dicapai oleh penanya. Sebab itu kadangkala soalan itu ditangguhkan daripada menjawabnya kerana kekangan yang wujud pada diri penanya itu.

Namun, bukan bermakna jika seseorang tidak capai sesuatu tahap, maka tinggalkan sahaja soalan itu. Kita boleh menyuruh seseorang itu belajar perjalanan ilmu itu melalui orang lain atau melalui rujukan lain terlebih dahulu, kemudian apabila dia telah mencapai tahap yang diperlukan, maka jawablah soalan itu untuknya. Atau kita berikan sedikit pendedahan supaya seseorang tahu pedoman yang menjadi suluhan ketika ingin menemukan jawapan di sebalik ketidaktahuannya suatu hari nanti. Sangatlah harmoni keadaan ini jika kita berjaya implementasikannya.

Malangnya, sebahagian agamawan memperlekehkan orang yang bertanya tentang dalil hanya kerana dia tidak seperti aš-Šāfi*iyy, Mālik bin Anas, Aḥmad bin Ḥanbal, aṯ-Tāwriyy dan Ibn al-Mubārok dan lain-lain, tetapi adakah mereka itu setaraf dengan mereka semua ini sehingga mereka sanggup dan mampu mengatakan orang lain tidak layak bertanya tentang dalil. Apakah kerana dia itu tidak pandai atau seseorang yang lain tidak pandai, maka orang lain pun tidak akan pandai?

Orang awam yang bertanya kadangkala mereka bukanlah awam dari segenap sudut. Sebahagian mereka juga pakar dan mahir dalam bidang lain yang mereka terbiasa dengan analisis maklumat, saring data dan mengeluarkan dapatan kajian yang komprehensif. Sewajarnya bagi agamawan ialah selaraskan pendekatan dengan kadar akal mereka, bukan sangka buruk berpanjangan bahawa mereka ini bodoh, ketinggalan dan lembab. Berilah ruang untuk orang memahami agama ini, bukan memomokkannya seolah-olah ilmu ini tidak mesra untuk setiap penuntut.

Usah sangka buruk mereka mahu berbiadap ataupun memandai-mandai selagimana belum zahir atau masih dalam persangkaan. Biarlah kita teruskan tanggungjawab kita untuk dakwah kepada ilmu, kecerdikan, intelektual dan kecerdasan tanpa perlu mencari-cari kesalahan. Agama ini bukan untuk mengajak umatnya menjadi bebal, dungu, tolol dan tidak progresif dalam pengetahuan dan kecendekiaan. Atas sebab itulah, bukalah ruang untuk orang menuntut ilmu demi manfaat bersama. Mempermudah jalan kebaikan adalah mempermudah jalan ke syurga. Janganlah sempitkan rahmat dengan kebengisan dan gering yang barah di jiwa kita.

Lagipun, apa masalahnya jika pengamalan agmaa ini bersikap telus atau transparensi? Kita pun tidak suka jika kerajaan menyembunyikan maklumat yang penting yang rakyat untuk mengetahuinya supaya tiada konspirasi, salah laku dan lain-lain kejahatan dalam politik. Mengapa kita tidak boleh terapkannya dalam pengamalan agama supaya agama ini dapat dipantau agar tiada seseorang pun menjustifikasikan sesuatu hanya dengan kata-kata kosong atau main sebut sahaja?

Ya. Bukan semua orang akan memahami perbahasan yang rumit dan mendalam, namun adakah ini penghalang untuk kita bersikap transparensi, lebih-lebih lagi apabila diminta? Adakah kita tidak boleh atau sekurang-kurangnya berusaha memudahkan penjelasan yang sesuai dengan kadar kemampuan audiens supaya mereka kenal bahawa apa yang dituturkan oleh agamawan bukan dari kata-kata kosong?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/624215629993492480/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-20-cara-pertanyaan-dalil

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now