At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^ 37 : Rugi Bagi Orang Yang Lambat Beramal?

3 0 0
                                    

Saya katakan, apa masalahnya kalau seseorang mengambil masa lima tahun untuk fahami dalil-dalil sunnahnya bersolat witir sebelum dia dapat mengamalkannya? Tidak ada masalah pun jika dia sememangnya berusaha sedaya yang mungkin untuk menganalisis d...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Saya katakan, apa masalahnya kalau seseorang mengambil masa lima tahun untuk fahami dalil-dalil sunnahnya bersolat witir sebelum dia dapat mengamalkannya? Tidak ada masalah pun jika dia sememangnya berusaha sedaya yang mungkin untuk menganalisis dan memahaminya tanpa sengaja bertangguh-tangguh dan penyebab lamanya adalah kerana dia ingin mendalami ilmu alat yang diperlukan sebelum masuk ke perbahasan dalil.

Adakah kerana ketamakan untuk beramal secara banyak dan pukal sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan menyeleneh seperti ini? Samakah orang yang beramal dalam keadaan dia tidak mengetahui apa-apa dengan orang yang beramal dengan sebab teguhnya kefahaman dalam jiwanya? Apakah amalan yang terbaik adalah amalan yang terbanyak, tetapi jahil? Salahkah apabila seseorang dinyatakan amalan zikir tersebut didakwa ada dalam Sunan Ibn Mājah, tetapi dia bertawaqquf dan memerlukan ruang masa untuk memeriksa dahulu? Kemudian, patutkah dikatakan kepadanya: "Mengapa perlu susahkan diri dan sibukkan diri memeriksa terlebih dahulu? Amal dahulu. Rugi jika menjadi orang yang terlambat beramal. Jika mahu pastikan kesabitan hadisnya, itu cerita kemudian dan selepas engkau beramal"? Patutkah?

Fahaman "amal dahulu, faham kemudian" tidak ubah seperti seseorang berdakwah kepada bukan Muslim "percaya atau anut dahulu agama Islam, faham kemudian". Beginikah Islam yang mahu diserukan? Sudah tentu kewajipan pendakwah adalah menjelaskan mengapa agama ini adalah agama yang berhak dianuti dan paling unggul berbanding yang lain. Sudah tentu kita akan berdepan dengan pelbagai dialog, diskusi, wacana dan debat dalam proses pertukaran kefahaman antara satu sama lain. Mereka yang bukan Muslim akan mengambil masa yang lama untuk berfikir dan menggali lebih dalam maklumat supaya menemukan apa yang dia mahu, seterusnya mengambil msa yang lama untuk memeluk Islam.

Mereka yang lambat ini, adakah mereka termasuk orang yang rugi kerana tidak menganut awal? Semestinya tidak. Pemelukan Islam atas dasar kefahaman yang utuh, keyakinan yang teguh dan ilmu yang mantap pasti akan melahirkan lebih mendalam kesedaran dan kelainan daripada mereka yang hanya memeluk agama ini atas sekadar ikut-ikutan atau selama ini beramal dalam agama ini, tetapi langsung tidak tahu apa-apa di mana pesisir untuk dia menghayati kesyahduan melodi ombak di pantai. Lebih baik lambat, tetapi masuknya ke dalam pintu tersebut adalah dari suatu perasaan dan penghayatan yang segar dan kuat. Tidak ada guna memeluk Islam dengan tergesa-gesa tanpa ada kefahaman yang diperlukan.

Saya pernah menjelaskan mengapa rasa keseronokan dalam kefahaman ini penting. Di sini, saya ulangi penjelasannya. Yakinkah Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy itu adalah kitab yang paling sahih dan mempunyai nilai yang besar? Sudah tentu mereka yang bermanhaj ahli sunnah akan meyakininya. Namun, atas dasar apa keyakinan itu? Atas dasar Argumentum Ad Verecundiam atau penyandaran kepada pihak berpengaruh, iaitu dengan hanya mengutip kata-kata ahli ilmu tentangnya, lalu sekadar menumpang rasa kagum? Ataukah sebenar-benar meneliti karya tersebut dengan menguji, membandingkan dan menganalisis, lalu ternyata kebenarannya terhadap keagungannya sehingga dia kagum hasil penelitiannya? Yang mana satu lebih memberikan kesan kepada keyakinan? Sudah tentu yang kedua.

Mengapa rasa keterujaan ini penting? Sebab itulah yang mengukuhkan rasa keyakinan. Sebab dia telah menemukan butir-butir yang menyerlahkan sinaran indahnya dan dia telah menempuh pelbagai onak duri yang berbentuk syubhat dan sanggahan, lalu dia berjaya menepisnya dan menumpaskannya. Dengan itu, dia telah merasai betapa manisnya kejayaan setelah jauh perjalanan yang diharungi. Mereka sedar bahawa inilah jalan kebenaran yang menyampaikan kepada segala hajat yang agung. Rasa kelazatan inilah akan mengikat mereka daripada mencari yang lain.

Mereka yang sekadar menumpang rasa cumalah hanya mampu menggunakan memorinya, bukan intelektualnya. Maksudnya, mereka sekadar memetik nama-nama ahli ilmu, tetapi mereka tidak mampu membatalkan keraguan yang menerpa-nerpa dalam jiwanya. Mereka kekal berdegil hanya sekadar memenuhi bias keinginan sosial atau ikutan orang yang dia mahu duduk bersama. Dengan kata lain, mereka tidak mahu berganjak kerana tidak mahu kehilangan teman yang dia duduk bersama atau kepercayaan yang ingin dia percaya. Lihatlah perbezaannya!

Setiap orang ada waktu yang berbeza untuk mendapatkan kefahaman yang tahqiq dan komprehensif sebelum beramal. Berikanlah ruang masa sesuai dengan keadaan diri setiap orang kerana waktu yang Allah ingin berikan hidayah kepada hamba-Nya juga pun berbeza-beza. Kalaulah seseorang itu peroleh dalam masa yang ringkas, maka itu adalah anugerah daripada Allah Tabāroka Wa Ta*ālā. Jika tidak, maka janganlah dicela dan sentiasa merasakan adanya harapan. Sedangkan agama ini pun mengambil masa lebih daripada dua puluh tahun untuk disempurnakan supaya pengamalan itu lengkap dan menyeluruh. Apatah lagi jika kita menghadapi pelbagai masalah pada hari ini dalam memeriksa perawi, sanad hadis dan memahami istidlalnya yang pelbagai, sudah tentu ini tidaklah sesingkat masa pendapatannya.

Mengapa tiba-tiba paksa setiap orang mesti hanya fasa tertentu sahaja? Apakah kerana ketamakan untuk beramal sehingga menjadi gopoh untuk teliti dan tekun dalam ilmu yang akan dia bawa dan ikuti? Jika merasakan orang lain lambat untuk memahami, maka bantulah dia percepatkan perjalanannya. Jika dia perlukan banyak lagi kajian, maka bantulah dia untuk menelusuri jalan itu kerana itu pun akan memberi manfaat kepada kita juga. Jangan samakan tahap ketekunan, ketelitian dan kebolehpercayaan sesuatu perkara pada kita itu dengan orang lain. Kalau kita rasa cukup sekadar apa yang diberitahu, maka janganlah menganggap orang lain pun perlu dibebani seperti itu. Sentiasalah bersikap toleransi dan terbuka dengan pelbagai ragam manusia kerana kita semua menempuh jalan yang berbeza-beza.

Ini bukan soal percaya atau tidak, tetapi soal untuk bersikap kritis dalam sesuatu perkara. Supaya apa yang kita ikuti itu adalah sesuatu yang kukuh untuk berpaut padanya dan supaya penolakan sesuatu perkara itu bukanlah kerugian untuk kita. Hormatilah kadar akal setiap orang. Mereka mungkin jahil atau di tahap orang awam dalam ilmu agama, tetapi mereka mungkin pakar dan berkemahiran di bidang mereka masing-masing yang mereka mempunyai pengalaman dalam analisis dan menyaring data. Tugas kita sebagai orang yang memikul dakwah kepada agama adalah jangan perlekehkan keberadaan diri mereka dengan sangkaan buruk bahawa mereka itu bodoh dan dungu untuk memahami permasalahan agama. Sesuaikan bakat yang mereka ada dan kembangkannya agar mereka boleh memahami agama ini dengan landasan yang benar.

Biarlah hasil itu diperoleh lama dan susah payah, tetapi bermutu dan tahqiq. Berbanding yang sekejap dan mudah tetapi akhirnya ternganga melopong dengan haluan yang dia ikuti dan memperdaya diri mereka bahawa apa yang mereka ikuti itu adalah yang sebenarnya hanya dengan bersandarkan tangkal yang ditaruh kesaktiannya, lalu mengharapkan emas akan turun dari langit dengannya. Sekurang-kurangnya usaha untuk meruntun jalan ilmu ini mudah-mudahan akan disenangkan jalannya ke syurga. Tidaklah sama orang yang ingin mengerahkan akalnya untuk mendapatkan yang terbaik berbanding orang yang ingin kekal dengan kebekuan. Soal utamanya adalah bukan pada lama atau sekejapnya masa supaya seseorang itu beramal, ia tentang kemahuan seseorang untuk tahqiqnya pengetahuan yang akan dia tujukan padanya supaya amalnya adalah benar-benar di atas kebenaran yang kukuh dan sejati ataupun tidak.

Mereka sedar bahawa tidak patut seseorang berdakwah kepada orang bukan Islam dengan berkata "percaya dahulu, berfikir kemudian". Kalaulah ini merupakan kebodohan dalam dakwah kepada bukan Islam, mengapa pula ini tidak dianggap bodoh dengan sesama Muslim? Kalau kita tidak berbangga penganut agama ini ramai tetapi masih tidak tahu sebab agama ini wajar diimani dan masih terpinga-pinga tentang jawapan sebenar serta memperdaya diri sendiri dengan sangkaan, mengapa pula kita suka dengan penganutnya merasa puas dengna apa yang diberitahu sahaja tanpa mendorong kepada kecendekiaan dan progresif? Agama ini sangat mengangungkan sikap kritis dan cerdas dalam intelektual. Agama ini juga mengeluarkan penganutnya daripada kegelapan kepada cahaya serta membawa kepada pembangunan dan pemodenan pemikiran. Mengapa terbalikkan hala tuju agama ini ke belakang?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/624600055189585920/at-tal%C4%ABq-al%C4%81-al-%C4%81r%C5%8D-37-rugi-bagi-orang-yang

At-Ta*līq *Alā Al-Ārō^Where stories live. Discover now