Wacana Ringkas 33 : Ahli Ilmu Diterima Pendapatnya Atas Dasar Apa?

3 0 0
                                    

Dalam menyatakan perbezaan pendapat terhadap seseorang atau membawakan hujah dalam diskusi, kadangkala kita akan bertembung dengan si bodoh yang suka mengalihkan topik yang tidak ada kena mengena dengan hujah supaya menampakkan bahawa hujah tersebut tiada nilai atau tidak patut diperdengarkan atau kebenarannya seolah-olah tidak cukup jelas. Antara salah satu caranya adalah membangkitkan isu-isu peribadi. Tidak kiralah sama ada dia menggunakan Ad-Hominem, kesan Kontras atau apa sahaja jenis falasi atau bias, yang penting tercapai objektifnya, iaitu menjadikan isu-isu peribadi yang dirasakan dia tidak menyukainya atau orang ramai membencinya semata-mata untuk menyahkreditkan hujah ilmiah orang lain.

Marilah kita melihat persoalan ini sebagai renungan semula bagi mengingatkan mereka yang terbabas atau meneguhkan jiwa supaya tidak tergelincir pada hari kemudian. Persoalan kita adalah "ahli ilmu diterima pendapatnya atas dasar apa?". Adakah sebab susuk tubuhnya sendiri atau namanya yang penuh penobatan bermacam-macam gelaran atau dia mempunyai penampilannya yang menampakkan tokoh agama atau selainnya atau kerana metodologi ilmunya yang benar? Sudah tentu pendapat dan hujah ilmiahnya diterima kerana telah terbukti kebenarannya melalui semakan metodologi ilmu. Bukan kerana yang lain. Mereka mungkin berkata bahawa banyak ahli ilmu yang lain yang memujinya dan mengiktiraf kemampuannya. Maka, kita katakan, atas dasar apa pujiannya dan pengiktirannya? Semestinya bukan dari cakap yang kosong.

Lantas, mengapa apabila ada orang mengutarakan sesuatu hujah yang memiliki dasar ilmu yang benar dan tidak dapat ditolak keampuhannya, mengapa tidak dapat diterima pula? Mengapa kad yang digunakan untuk mempertahankan diri atau menyerang orang lain dengan menggunakan pelbagai bias dan falasi serta bukan penghujahan ilmiah secara berdisiplin? Hanya kerana berbeza aliran atau gaya hidup, terus ditolak pendapatnya mentah-mentah dan enggan untuk mendengari penjelasannya.

Yang menghairankannya adalah mereka yang suka menggunakan isu-isu peribadi untuk memburukkan imej seseorang di tatapan orang lain supaya hujah yang diutarakan tidak ada nilai. Kalaulah mereka memenuhi apa yang dia mahu seperti menukar penampilannya, membanyakkan sanad pengajian dan lain-lain, tetapi pendirian dan hujah tidak berubah, adakah mereka mahu menerima? Bayangkan pula kalau ada orang yang mereka sayang atau tokoh yang lain yang menyebutkan sama sepertimana orang tersebut. Adakah mereka akan merespons dengan cara yang sama atau melakukan diskriminasi? Dengan kata lain, adakah jika mereka bersikap kasar dan berperangai bodoh dengan orang tersebut, kemudian tiba-tiba, dengan izin Allah, ada tokoh yang besar yang menyatakan yang sama, adakah mereka akan menzahirkan sikap yang sama?

Sebab itulah kita perlu bersikap objektif dalam pencarian kebenaran. Bukankah selalu disebutkan bahawa kenalilah kebenaran, maka kenallah ahlinya. Maka, bagaimana kebenaran boleh memperkenalkannya kepada ahlinya? Semestinya bukan pada susuk tubuh seseorang itu atau penampilannya atau namanya yang dijulang-julang. Pastinya pada manhaj ilmu yang dibawa.

Mungkin ada orang berkata bahawa ramai sahaja orang yang selalu bercakap benar dan mempunyai manhaj ilmu yang benar, tetapi memiliki watak fasik dan lain-lain. Saya katakan, kita perlu membezakan antara menerima pendapatnya dan meneladani perwatakannya. Seseorang boleh menerima nasihat daripada yang fasik, tetapi bukan bermakna kita perlu meneladani kefasikannya. Fahamkanlah! Sebab itulah ahli hadis tetap menerima riwayat daripada mereka daripada aliran yang bidaah seperti khawarij, syiah dan lain-lain. Ini kerana kalam mereka adalah benar. Namun, mereka tidak diambil sebagai contoh teladan kerana pegangannya menyalahi ahli sunnah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/624038244099801088/wacana-ringkas-33-ahli-ilmu-diterima-pendapatnya

com/post/624038244099801088/wacana-ringkas-33-ahli-ilmu-diterima-pendapatnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzOn viuen les histories. Descobreix ara