Wacana Ringkas 67

3 0 0
                                    

Kebahagiaan Adalah Makna Di Sebalik Peristiwa Yang Kita Hadapi

Saya pernah diadu tentang orang yang ingin keluar daripada Islam kerana dia merasakan dia dikongkong pada banyak perkara sehingga dia tidak merasai kebebasan untuk berbuat apa yang dia mahu dan suka. 

Saya tidak mahu membahaskan tentang kongkongan itu disebabkan salah faham dalam ajaran agama atau ada penganut agama itu sendiri yang salah faham sehingga menyebabkan beban kepada orang lain. Saya di sini ingin mengajak kepada melihat perspektif tentang makna kebahagiaan dalam hidup yang mudah-mudahan membawa kita kembali berfikir untuk hidup menjadi orang yang bangga sebagai orang yang beriman.

Bukan semua kenikmatan yang ada di dunia ini perlu dirasai dan dinikmati. Ada masanya kita perlu, bahkan sememangnya berkeras untuk menolaknya sama ada kerana ia memudaratkan kita atau kerana prinsip perjuangan kita demi kemanusiaan sekeliling.  Malah, di sebalik tanggungan keperitan, rasa kesempitan dan penat lelah perjuangan kita adalah kebahagiaan yang akan bersemadi dalam jiwa kita. Kebahagiaan bukan semestinya kenikmatan tanpa rasa sakit, tetapi ia juga pada makna di sebalik rasa sakit itu.

Mengapa kita tidak mengambil dadah yang menjanjikan kelazatan bagi penggunanya? Ini kerana kita maklum bahawa dampak parah dalam pengambilan dadah yang memusnahkan kesihatan diri, kerjaya, kekeluargaan dan sosial. Sebab itu walaupun diberikan dos yang percuma setiap hari pun, kita tidak akan menjamahnya, bahkan kita menentang aktiviti jualan dan pengagihan dadah. Penentangan kita terhadap dadah adalah kebahagiaan untuk diri kita dan masyarakat sekeliling kita meskipun kita berhadapan dengan pelbagai karenah manusia yang cuba menjatuhkan kita kerana ketegasan kita.

Mengapa ada orang sanggup memilih hidupnya merana, dipenjara dan ditindas disebabkan menentang kerajaan yang zalim, berbanding mendiamkan diri dan berpura-pura tidak tahu sambil meneruskan aktiviti harian seperti normal atau menjadi pembodek kepada kerajaan yang menyajikan kesenangan dalam hidup? Ini kerana bagi mereka tidak bersekongkol dan tidak berpihak serta tidak terbabit dengan urusan kerajaan, lebih-lebih yang melibatkan penindasan adalah kebahagiaan bagi dirinya dan kemanusiaan. Walaupun mereka ada peluang untuk merebut pelaburan yang memewahkan hidup mereka apabila berkhidmat untuk kerajaan, tetapi memakan menu-menu yang ada di dalamnya perosak yang membawa korup.

Orang kadangkala hairan mengapa orang ini sanggup mengikat perut, menanggung haus berpanjangan dan memikul kepayahan yang dia boleh mengelakkan diri daripadanya atau berlepas daripadanya. Namun, prinsip inilah yang wajib dipegang dan diperjuangkan bagi mereka mendambakan kebahagiaan dan kemakmuran bagi serta kemerdekaan dari belenggu. Jika tidak, tamadun akan hancur dan menelan kepahitan yang generasi sesudahnya akan mati tercekik akibat tangan-tangan jahat orang yang tidak bertanggungjawab. Sebab itulah mereka sanggup mati memperjuangkan hak-hak kelestarian negara berbanding mati kerana menjadi sang tunggul atau menjadi anjing kepada pemimpin hina dina.

Lihatlah bahawa kebahagiaan bukan semestinya merangkul kesenangan yang ada di mata, tetapi bagaimana kita mendalami dan mengamati makna-makna yang kita alami dalam hidup ini. Adakalanya, prinsip yang kita pertahankan lebih dimuliakan berbanding orang yang mudah tenggelam dalam kesenangan yang menghanyutnya. Adakalanya, kita lebih dikenang sebagai wira walaupun kita mati disembelih dalam memperjuangkan kebenaran berbanding menjadi orang yang hidup panjang umurnya menjadi tali-barut kepada penyumbang kerosakan. Adakalanya, kita kepayahan yang kita hadapi membuahkan hasil kemakmuran yang kita kecapi. Tanpa kesungguhan dalam perjuangan kemerdekaan, pastinya kita atau generasi sesudahnya tidak dapat menghirup kebahagiaan menjadi sang burung yang bebas berterbangan berkicau di udara yang segar dan saujana luasnya.

Sekarang, apabila kita yakin bahawa Islam adalah kebenaran yang tertegak dengan kepaduan hujah dan kemapanan ilmu serta terbilang dalam menawarkan solusi-solusi yang umat manusia begitu berhajat dengan ubatnya, maka kita tetap akan setia meskipun badai cuba melepaskan ikatan kita dari berpaut dengan agama yang benar ini.  Apabila seseorang menghayati kebenaran agama Islam dan mengerti nilai-nilai yang jitu dalam agama ini, maka Islam adalah agama contoh bagi ikutan hidupnya dan petunjuk untuk kebahagiaan yang hakiki. Tidak akan ada tawaran yang akan mampu menggodanya atau memalingkannya daripada menjauhkan diri dari agama ini.

Setiap yang kongkongan yang kita rasai -jika ia adalah berasaskan kebenaran- atau kesusahan yang kita hadapi, pasti ada hikmah. Kita mungkin tidak tahu pada hari ini, bahkan sampai mati pun kita tidak tahu mengapa kita diuji sebegitu. Akan tetapi, apabila kita memahami jalan keberagamaan dalam hidup seseorang, maka kita yakin bahawa kebahagiaan telah tercatat di sebalik peristiwa tersebut kendatipun kita tidak menyedarinya.

Benar bahawa iman seseorang itu naik dan turun. Kadangkala ia seperti Bipolar Disorder yang tidak menentu pasang surutnya. Akan tetapi, ada hikmah di sebalik ombak yang membawa kita terjungkang-jungkit sepertimana kita diuji yang kita ini melakukan kesilapan dan dosa dalam hidup selagimana kita bersungguh-sungguh untuk bertaubat. 

Jangan kerana kekurangan, aib dan kesempitan hidup yang kita berdepan dengannya menjadikan kita berputus asa dengan rahmat Allah. Apa yang penting adalah sentiasa merenungkan diri sebab kita memilih Islam sebagai agama kita dan sentiasa memohon kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk menghadapi pancaroba hidup serta menjadikan setiap detik nafas adalah kebahagiaan bagi jiwa.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/644532924804464640/wacana-ringkas-67-kebahagiaan-adalah-makna-di

com/post/644532924804464640/wacana-ringkas-67-kebahagiaan-adalah-makna-di

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now