Wacana Ringkas 114 : Pengajaran Daripada Kisah Robiah Ibrahim

5 0 0
                                    

Robiah Ibrahim membentangkan kajian tentang kilat di konferens teknikal antarabangsa di Kuala Lumpur yang berjudul "A method of identifying the lightning strike location on a structure". Kaedah Robiah atau dikenali sebagai Collection Surface Method (CSM), berdasarkan pemerhatian perosakan kilat terhadap bangunan, bukannya talian elektrik. CSM memudahkan jangkaan lokasi panahan kilat supaya pengalir kilat dapat diletakkan dengan kedudukan yang tepat. Ini merupakan teknik yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana saintis sebelum ini.

Namun, ahli akademik tempatan dalam bidang perlindungan kilat menolak dapatannya memandangkan dia tidak memiliki kelayakan lepasan ijazah dan tidak mempunyai pengalaman makmal. Namun, ahli akademik dan pakar kilat dari Australia yang menghadiri konferens itu memperakui hasil kerjanya sebagai kejayaan saintifik yang besar. Professor Mat Darveniza dari University of Queensland juga mencadangkan CSM menjadi asas bagi kaedah pelokasian perintang kilat yang baharu untuk bangunan tinggi kompleks yang moden.

Pada tahun 2003, cadangan Darveniza menjadi realiti apabila prinsip CSM dimasukkan dalam piawaian perlindungan kilat, AS1768. Ini menjadikan Robiah sebagai wanita pertama di dunia yang membangunkan kaedah perletakan perintang kilat setelah 200 tahun berlalu. Ini meletakkan dia setaraf dengan Lussac dan Maxwell yang kaedahnya menjadi piawaian dan digunakan pada hari ini pada bangunan rendah dan berbentuk ringkas. Pada tahun 2006, prinsip CSM dimasukkan dalam piawaian perlindungan kilat antarabangsa, IEC62305. Ini menjadikan kaedah Robiah dapat digunakan sebagai asas di seluruh dunia. Pada tahun berikutnya, CSM diterima di negara yang asalnya ketika Menteri Inovasi, Teknologi dan Perindustrian menerima piawaian antarabangsa sebagai piawaian perlindungan kilat Malaysia yang baharu, MS-IEC62305. [Rujuk : https://www.nst.com.my/opinion/letters/2018/03/346776/malaysian-solves-lightning-problem].

Melalui kisah ini, ada dua pengarajan yang boleh diambil daripada sini. Pertama, kadangkala hasil usaha kita tidak diterima pada tempat kita sendiri atau masyarakat kita sendiri atau zaman yang kita lalui, tetapi akhirnya akan diterima di tempat lain, zaman setelah kematian kita yang mungkin beratus-ratus tahun akan datang atau masyarakat lain. Bumi Allah ini sangatlah luas. Maka, percayalah bahawa rezeki Allah itu lebih luas daripada bumi dan kadangkala datang tanpa kita sangka.

Dakwah Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- sendiri tidak berkembang dengan pesat di tempatnya sendiri dan masyarakatnya sendiri, malah, ditentang pula dengan habis-habisan. Namun, disambut hebat dan mesra oleh penduduk Madīnah. Kemudian, setelah beberapa tahun yang selepasnya, barulah negarinya dan masyarakat di tempat itu menerima dakwah itu. Lalu, bertebaranlah dakwah baginda ke seluruh dunia. Al-Buẖōriyyjuga dahulu menjadi orang buangan pada zamannya dan beberapa negeri menyisihnya, tetapi pada zaman yang akan datang, orang ramai memberikan pengiktirafan yang besar terhadapnya dan menjulang tinggi kewibawaannya. Karyanya yang unggul iaitu al-Jāmi* al-Musnad aṣ-Ṣoḥīḥ al-Muẖtaṣor Min Umūr Rasūlillah -ṣollallahu *alayhi wasallam- Wa Sunanih Wa Ayyāmih sentiasa menjadi tumpuan seluruh kaum Muslimin dan mereka memperoleh manfaat yang besar daripadanya.

Dengan itu, jangan berhenti berjuang hanya kerana hasil yang kita mahukan tidak mendapat secara mudah dan cepat. Jika hasil itu tidak dinikmati di dunia, maka hasil itu akan dihargai pada hari akhirat. Setiap amal yang dilakukan pasti akan dihitung oleh Allah Tabāroka Wa Ta*ālā. Kalaulah hasil kita tidak dinikmati oleh orang lain, biarlah ia kekal abadi dalam Lauh Mahfuz. Allah itu merupakan satu-satunya yang kita dambakan dan permulaan serta pengakhiran segala hajat, maka cukuplah Dia sebagai satu-satunya teman yang setia, sahabat yang rapat dan pendamping sehingga kita tidak mencari-cari selain-Nya.

Usah mengira bahawa kegagalan itu adalah apabila tidak ada orang memberikan penghargaan atau memberi tumpuan terhadapnya. Penilaian Allah tidaklah seperti itu. Pahala diberikan atas kesungguhan dengan jiwa yang ikhlas, bukan berdasarkan perkiraan kuantiti manusia yang menyebut-nyebut tentang dirinya. Jadi, buatlah semuanya hanya untuk mengharapkan keredhaan-Nya. Tidak perlu risau pun apa yang manusia meresponsnya jika yakin apa yang dilakukan atas dasar kebenaran dan keikhlasan kerana bukanlah mereka yang menghisab diri kita dan menentukan kesudahan bagi kita.

Kedua, setiap orang mampu menyerlah yang kadangkala tanpa kita sangka dan jangka. Seseorang yang memperoleh kemewahan lebih daripada jalan kebiasaan tidaklah sewajarnya dicela hanya kerana dia tidak menempuhi sepertimana yang dia tempuhi dan lalui. Apabila kebenaran itu jelas, maka kebenaran adalah kebenaran walau daripada sesiapa pun. Akuilah kebenaran itu sekalipun berat di jiwa untuk menerima siapa yang mengungkapkannya. Kebenaran itu sememangnya pahit, tetapi adalah lebih pahit apabila seseorang berpaling daripada kebenaran yang tertegak ke atasnya.

Janganlah sengaja meragukan kebenaran atau buat-buat kebenaran itu tidak kukuh hanya kerana seseorang itu tidak mengikut piawaian yang kita mahu. Kebenaran itu adalah rezeki daripada Allah dan Dialah yang berkuasa mutlak mengagihkan rezeki itu kepada hamba-Nya. Semua yang berlaku di luar piawaian ini supaya kita beringat bahawa sistem alam ini tidaklah terbeku dengan apa yang kita susun dan apa yang kita khayalkan tentangnya. Alam akan bergerak dengan izin-Nya, manusia cumalah memahami apa yang diperlakukan alam, lalu memanfaatkannya berdasarkan kefungsiannya itu sendiri bukan mengubah dan menyusun atur kerja alam.

Sebab itulah alam boleh bertindak di luar daripada kebiasaan yang ia lakukan sama ada kadangkala atau jarang-jarang dengan izin-Nya supaya kita sedari bahawa bukan kita yang menggerakkan sistem dunia ini. Jika zahirnya kebenaran sekalipun daripada orang yang kita tidak senang dan benci, maka akuilah kebenaran itu. Bukannya menutup dan mengaburkan kebenaran itu dengan sesuatu yang lain yang tidak ada kaitan pun dengan eksistensi kebenaran itu sendiri hanya kerana rasa gering yang meradang di jiwa. Lapangkan jiwa kerana yang berhak untuk menang dan diterima adalah kebenaran, bukan sesiapa.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/655971713447870464/wacana-ringkas-114-pengajaran-daripada-kisah

com/post/655971713447870464/wacana-ringkas-114-pengajaran-daripada-kisah

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now