Wacana Ringkas 126 : Keabsahan Dalam Penisbahan Kepada Sesuatu Kelompok

13 0 0
                                    

Sa*īd *Abdul Laṭīf Fawdah berkata :

إِِذَا صَحَّ اسْتِدْلَالُكَ فَقَدْ صَحَّ انْتِسَابُكَ وَإِنْ لَمْ تَنْتَسِبْ

"Apabila benarnya istidlalmu, maka benarlah penisbahanmu meskipun engkau tidak menisbahkannya". [Rujuk : https://www.facebook.com/photo?fbid=357825922373315&set=a.253635626125679].

Adakalanya, penisbahan diri atau seseorang lain kepada sesuatu kelompok atau aliran atau manhaj atau mazhab atau pemikiran atau agama atau apa sahaja, adakalanya kita tidak boleh bergantung kepada penisbahan yang dilakukan daripada orang lain atau dakwaan dari pendakwa itu sendiri semata-mata. Bahkan, keseirasan dalam beberapa aspek sahaja tidak cukup kerana kaedah menyebutkan :

لَازِمُ المَذْهََبِ لَيْسَ بمَذْهَبٍ

"Kebiasaan bagi mazhab bukan semestinya mazhab".

Sebelum menisbahkan diri sendiri atau seseorang pada sesuatu, kita perlu tahu terlebih dahulu takrif sesuatu itu yang dinisbahkan itu. Jika tidak dapat kerana pelbagai pendefinisian yang diutarakan sama ada dari pelopornya, pembelanya, pejuangnya, pengikutnya atau dari musuhnya, maka kita memateri ciri-ciri yang signifikan yang dapat memasukkan seseorang dalam penisbahan tersebut.

Kita ambil contoh nisbah al-Wahhābiyy. Dalam penggunaan istilah ahli tahqiq yang berseteru dengan aliran ini, saya dapati bahawa mereka tidak hanya mentakrifkan ia semata-mata kepada pengikut Muḥammad bin *Abdul Wahhāb, tetapi ia berevolusi kepada makna yang berbeza. Saya melihat penisbahan ini adalah tertuju kepada mereka yang membawa fikrah perjuangan salaf, tetapi ekstrim dalam penentangan terhadap syirik dan keras dalam membanteras bidaah serta bersikap ultra-fundamentalis dalam ikutan kepada sunnah yang hidup setelah zaman Muḥammad bin *Abdul Wahhāb.

Daripada pentakrifan ini, kita ada beberapa kriteria dalam memasukkan seseorang dalam kelompok al-Wahhābiyy. Yang pertama adalah orang yang dinisbahkan kepada kelompok tersebut bukan dari kalangan al-Aš*ariyy atau sufi. Belum pernah ada mana-mana yang dinisbahkan wahabi secara hakiki dari kalangan al-Aš*ariyy atau sufi meskipun mereka bersikap ekstrim kerana disebabkan beberapa ciri lain yang kita ambil kira. Tidak hanya sekadar melihat ekstrim atau ultra-fundamentalis mereka.

Jika ada pun, maka kita beranjak kepada yang kedua, iaitu dia lebih selesa dengan kelompok salafi berbanding al-Aš*ariyy atau sufi. Untuk mengetahui hal ini, kita lihat siapa yang selalu dia tujukan kritikan. Jika fokus kritikannya lebih besar kepada para salafi berbanding sufi, maka dia tidak melepasi kriteria ini. Kemudian, boleh juga dilihat kepada pihak yang jika dikritik, dia mudah merasa berang. Jika dia mudah rasa tercubit apabila apa yang ada di pihak sufi dikritik berbanding salafi, maka dia juga tidak melepasi kriteria ini.

Yang ketiga adalah dia selalu sahaja berbicara, mencanangkan dan menzahirkan rasa senang dalam topik salaf walaupun dia tidak pernah membaca karya primer daripada tokoh salaf sendiri. Dengan kata lain, dia adalah evangelis atau pendukung kuat atau promoter yang giat terhadap apa yang dikatakan manhaj salaf. Yang keempat adalah keekstrimannya dalam menentang syirik sehingga mudah mengkafirkan sesiapa sahaja dan sikap melampau dalam penentangan bidaah sehingga gampang dalam melabel orang lain sebagai pelaku bidaah.

Yang kelima adalah dia bukan liberal kerana ini tidak termasuk ultra-fundamentalis. Sesiapa sahaja yang menzahirkan kefanatikan terhadap salaf, tetapi menjadi liberal atau lebih cenderung kepadanya, maka dia terkeluar daripada penisbahan ini. Barangkali dia hanya mengambil isu salaf dalam sebahagian aspek sahaja, tetapi tidak sepenuhnya atau barangkali sememangnya wujud salah faham terhadap manhaj salaf.

Yang keenam adalah sikap ultra-fundamentalis tersebut yang terlalu rigid dalam ikutan sunnah dan mudah memusuhi mereka yang kononnya menyelisihi sunnah serta tidak mengiktiraf sistem mazhab dalam fiqh atau tidak mudah meraikan perbezaan pandangan yang muktabar. Selalunya, keekstriman dan kemelampauan mereka ini adalah dari kalangan mereka yang simplistik, tidak bersikap kritis, selalu sahaja mengabaikan aspek pengamatan uṣūl fiqh dan yang bercabang dengannya kerana terlalu rigid dengan literalis.

Yang ketujuh adalah muncul selepas zaman Muḥammad bin *Abdul Wahhāb. Mereka yang sebelumnya yang memiliki enam ciri di atas tadi tidak dikira sama sekali. Yang kelapan adalah tidak semestinya orang itu pengagung Muḥammad bin *Abdul Wahhāb atau peminat Ibn Taymiyyah atau penyanjung Ibn Qoyyim al-Jawziyyah. Mana-mana yang menepati tujuh ciri yang disebutkan sudah memadai.

Oleh itu, apabila disebutkan si fulan adalah al-Wahhābiyy, ia merujuk kepada golongan yang memenuhi ciri ini. Walaupun kadangkala al-Wahhābiyy mengutip dari pandangan ahli ilmu dalam mempertahankan pandangannya, mereka sama sekali tidak menuduh ahli ilmu tersebut sebagai al-Wahhābiyy. Akan tetapi, pembawaan individu tersebut secara keseluruhan yang memenuhi kriteria tersebut itulah yang dinisbahkan kepada al-Wahhābiyy.

Seperti yang telah disebutkan tadi bahawa kebiasaan bagi mazhab, bukan semestinya mazhab. Bukan bermakna golongan al-Wahhābiyy yang mengambil pandangan daripada seseorang ahli ilmu, maka ahli ilmu tersebut termasuk golongan tersebut.

Namun, selalu sahaja pelabelan ini mudah dilontarkan kepada sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya. Misalnya, *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh hadis berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- pernah menyatakan dalam muqaddimah Awliyā^ Wa Karomāt bahawa kebanyakan orang apabila mendengarkan kitab tersebut, pasti dia akan dituduh cenderung kepada wahabi. Ini kerana dia bersikap kritis dalam

Lihatlah! Sekalipun dia aktif dalam menentang wahabi dan al-Albāniyy secara khusus serta diangkat tinggi dalam kelompok mereka yang berakronim ASWAJA, tetapi dia tetap dituduh sedemikian hanya kerana dia bersikap kritis dalam menapis cerita karamah wali yang dusta yang diada-adakan oleh pelampau sufi.

Malah, abangnya, Aḥmad adalah seorang yang sangat keras penentangannya terhadap aliran al-Aš*ariy. Ini telah diabadikan dalam karya Ḏamm al-Ašā*iroh Wa al-Mutakallimīn Wa al-Falāsifah yang dikumpulkan Ṣōdiq bin Salīm bin Ṣōdiq. Namun, tiada siapa yang menisbahkan dirinya kepada al-Wahhābiyy kerana telah diketahui bahawa dia seorang yang sangat pekat kesufiannya kecuali sedikit kerana melihat persamaannya sahaja, bukan fikrah secara keseluruhan.

Bahkan, adiknya, Muḥammad az-Zamzamiyy juga pasti akan dituduh sebagai wahabi melalui karyanya az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh kerana memuatkan kritikan pedas terhadap para sufi, khususnya yang jahil kerana berleluasanya bidaah dan perbuatan mungkar dalam praktik kesufian.

Sebab itulah penting untuk diingatkan bahawa janganlah pemikiran kita terlalu dangkal dan hanya melihat kepada binari aliran sahaja. Bukan semua orang berwarna hitam secara keseluruhan atau putih secara sepenuhnya. Amati penghujahannya dan utamakan pembentangan ilmiah berbanding penisbahan itu sendiri atau pergaduhan yang berasaskan aliran. Kita mungkin akan menemukan kebenaran dari pihak yang lain dan kesalahan yang ada pada kelompok yang kita bersama.

Lihat apa yang dilakukan oleh keluarga al-Ġumāriyy sudah memadai. Meskipun mereka ini sufi, tetapi mereka bukanlah apologetik terhadap praktik kesufian. Mereka juga ada manhaj yang memisahkan diri mereka dengan sufi arus perdana, khususnya dalam merancakkan pembudayaan wacana kritis, penentangan kepada ketaksuban mazhab dan mencela taklid yang keji. Sebab itulah mereka juga mengkritik beberapa kefahaman dan praktik kesufian yang dilihat menyanggahi sunnah sehingga dilabel wahabi.

Pastinya prinsip ini bukan daripada wahabi. Ia adalah prinsip yang patut kita junjung dan bawa sepanjang hayat kita sebagai Muslim. Janganlah hanya melihat orang yang membawa gagasan seperti ini kepada aliran wahabi hanya kerana sempitnya minda dalam menjengah tradisi ilmu yang sejati dan terpuruk dalam ketaksuban aliran.

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now