Wacana Ringkas 75 : Karya-Karya Sufi Untuk Mereformasikan Manhaj Sufi

12 0 0
                                    

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengongsikan beberapa karya daripada tokoh-tokoh sufi yang dengan izin Allah, ia mampu memberikan cetusan untuk menyemarakkan daya pemikiran yang kritis dan memandu para pembaca untuk mencerap dari sudut yang lebih halus dan pemerhatian yang lebih tajam. Pada hemat saya, seseorang itu sudah cukup untuk merujuk karya-karya yang saya akan sebutkan ini untuk membawa kepada reformasi kesufian dan merintis usaha tradisi kritis dalam penyaringan dan pewacanaan ilmiah untuk praktik kesufian.

Sebab utama saya mengetengahkan karya sufi ini adalah kerana kita dapati bahawa sebahagian sufi ini tidak enggan untuk mendengar kritikan terhadap mereka. Salah satu cara mereka untuk menutup segala perbincangan dan menebalkan lagi kedegilan adalah dengan menuduh pengkritiknya sebagai wahabi atau label yang menunjukkan musuh aliran tersebut. Perkara ini dibangkitkan oleh figura sufi pada masa kini, Hamzah Yusuf yang mendedahkan sikap bobrok mereka ini.

Jika mereka tidak ingin mendengarkan kritikan daripada pihak yang lain atau enggan untuk mulakan usaha pembaharuan dan penyaringan kerana ia bersumberkan daripada aliran seteru, mengapa tidak membaca daripada karya aliran mereka sendiri? Adalah lebih baik mereka menelaah sendiri kalam yang dibentangkan oleh tokoh rujukan mereka sendiri yang mudah-mudahan dapat merapatkan jurang antara perselisihan yang berlaku antara mereka dengan pendapat yang lain yang menjadi kritikan mereka.

Tokoh yang saya perkenalkan adalah daripada Jalāluddīn as-Suyūṭiyy. Kita tidak perlu ragui lagi bahawa yang sememangnya ini merupakan tokoh yang diangkat golongan sufi sebagai sumber wacana ilmiah yang merangka dasar-dasar kesufian mereka. Akan tetapi, beberapa karyanya menegur dan mengambil haluan yang berbeza daripada kalangan arus perdana sufi. Malah, mungkin karya ini tidak begitu diambil perhatian, bahkan ditakuti mereka kerana ia sememangnya mampu meruntuhkan asas-asas kesufian yang selama ini mereka berpegang teguh padanya.

Antara kitab yang saya cadangkan pembacaan adalah Taḥdīr al-H̱owwāṣ Min Akāḏib al-Quṣṣōṣ. Asal penulisan karya ini adalah kerana as-Suyūṭiyy pernah menegur penglipur lara yang menyampaikan hadis palsu. Namun, tegurannya tidak diterima. Malah, dia diugut bunuh dan direjam. Ini mendorongnya menulis karya ini demi memperingatkan orang ramai agar menjauhi para penglipur lara yang ditentang oleh ahli hadis dan juga teguran kepada para penglipur lara secara khusus yang menyalahi manhaj ahli hadis. Kitab ini sememangnya wajar dibaca oleh para penceramah dan bakal para penceramah sebelum menjejakkan kaki ke usaha dakwah.

Antara kitab yang saya cadangkan adalah al-Amr Bi al-Ittibā* Wa an-Nahy *An al-Ibtidā*. Karya ini menumpukan penentangan kepada bidaah. Dia menyebutkan beberapa bidaah yang diamalkan oleh sebahagian orang dan membantahnya. Saya mencadangkan para sufi untuk membaca karya ini supaya para sufi cakna untuk mengawasi pengamalan agama daripada bidaah dan mengambil berat serta bersikap sensitif terhadap bidaah. Jika as-Suyūṭiyy tegas dalam mencantas bidaah, maka sufi pun seharusnya sedemikian.

Antara kitab yang saya cadangkan adalah ar-Rodd *Alā Man Aẖlada Fī al-Arḍ Wa Jahila Anna al-Ijtihād Fī Kull *Aṣr Wa Farḍ. Kitab ini ada empat fasal. Yang pertama adalah membetulkan salah faham orang yang beranggapan bahawa mujtahid pada zaman ini tidak wujud dan hal tersebut mustahil. Yang kedua adalah menegaskan bahawa menjadi mujtahid adalah fardu kifayah yang umat Islam di persekitaran tersebut wajib melahirkan seorang. Yang ketiga adalah gesaan kepada ijtihad dan celaan kepada taklid. Yang keempat adalah beberapa perkara penting yang berkaitan dengan ijtihad.

Kitab ini mengandungi berpuluh-puluh nukilan daripada ulama. Oleh itu, sememangnya puas seseorang membaca kitab ini kerana kita boleh melihat jalan yang para ulama fahami, ambil dan menuju padanya. Sebab utama saya mencadangkan pembacaan karya ini adalah supaya sufi menjauhi taklid yang tercela dan ketaksuban serta menggalakkan kepada usaha untuk berijtihad agar sentiasa berpaksi kepada al-Qur^ān, as-Sunnah dan metodologi ilmu yang lurus, mapan dan teruji. Ijtihad ini tidak hanya pada fiqh semata-mata, tetapi juga membawa reformasi kepada kesufian yang sekurang-kurangnya bermanfaat untuk diri sendiri.

Kemudian, tokoh lain yang saya perkenalkan adalah daripada keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- melalui jalur al-Ġumāriyy, *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adiknya, Muḥammad az-Zamzamiyy. Keluarga al-Ġumāriyy ini adalah ahli hadis yang sufi lagi mujtahid. Mereka juga dijulang dalam kalangan sufi kerana mereka ini menentang wahabi dan menyanggah al-Albāniyy. Hakikat yang mungkin tidak disedari ramai daripada mereka adalah bahawa keluarga ini menentang ketaksuban mazhab, taklid yang tercela dan tidak begitu apologetik dengan praktis kesufian, bahkan bersikap kritis terhadapnya. Prinsip sebegini sememangnya menyalahi prinsip arus perdana kesufian.

Antara karya Muḥammad az-Zamzamiyy yang saya cadangkan pembacaan adalah az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh. Kitab ini memiliki sama orientasinya dengan al-Amr Bi al-Ittibā* karya as-Suyūṭiyy, iaitu membanteras bidaah yang ada pada sufi. Dia memfokuskan kritikan terhadap para sufi yang jahil lagi menyimpang yang merata pada zamannya. Tema besarnya adalah menentang sifat ketaksuban para sufi terhadap gurunya yang terang-terang menyalahi syariat.

Dalam karya ini, dia sendiri menyinggung ayahnya dan abangnya, Aḥmad al-Ġumāriyy. Dari karya ini, saya ingin sufi sedar bahawa mereka yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- juga terbuka untuk kritikan. Jangan bermain falasi Argumentum Ad Verecundiam dengan menggunakan alasan fulan adalah zuriat baginda semata-mata untuk menyahkreditkan hujah pihak lawan dan kekal berdegil, malah mengkultuskan dan mengkuduskan semua yang datang daripada zuriat baginda. Hakikatnya, mereka sama sekali tidak mewarisi kemaksuman daripada datuknya yang mulia. Semua keturunan baginda wajib memenuhi hak-hak ilmu sepertimana kaum Muslim yang lain.

Antara karyanya yang saya cadangkan adalah I*lām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn. Kitab ini memfokuskan kritikan terhadap tarekat at-Tijāniyy. Pun begitu, kita boleh ambil faedah-faedah pembentangan kaedah dan penghujahannya dalam membantah dakwaan yang ada pada aliran ini. Lihat bagaimana kritikannya dan kaedah apa yang dia gunakan dalam menyatakan kesalahan yang ada dalam tarekat tersebut. Dengan pembacaan karya ini, saya berharap agar sufi menjadi kritis dalam menapis tarekat yang ada di persekitaran mereka sehinggalah tarekat yang mereka sendiri sertai.

Kemudian, antara karya *Abdullah al-Ġumāriyy yang saya cadangkan pembacaan adalah Awliyā^ Wa Karōmāt. Dalam muqaddimah karya ini, dia menyatakan bahawa dia pernah dituduh cenderung kepada wahabi jika kitab ini diketahui oleh sebahagian orang. Ini kerana dia bersikap kritis dalam menapis cerita-cerita karamah wali Allah yang didakwa. Dia menolak beberapa cerita karamah yang mengarut, khurafat dan dusta dengan menyertakan hujah ilmiah. Namun, dia juga tidak menolak kesemua cerita karamah yang telah sabit dan diterima. Dengan pembacaan karya ini diharapkan dapat memberikan sentuhan akal supaya menjadi waspada dan berhemat dalam menerima cerita-cerita karamah.

Antara karyanya yang saya cadangkan adalah Bida* at-Tafāsīr. Kitab ini mengumpulkan penafsiran al-Qur^ān yang janggal dan aneh yang menyalahi kaedah ilmu sehingga masuk kepada penafsiran yang batil lag bidaah dari pelbagai aliran; Muktazilah yang paling banyak, syiah, sufi dan beberapa daripada ahli sunnah sendiri. Kemudian, dia membantah beberapa daripadanya dengan hujah ilmiah. Karya ini amat bermanfaat kepada sufi supaya mereka menjadi peka, lalu tidak terjebak dengan penafsiran yang berunsurkan Bāṭiniyyah dan penggalian kefahaman yang menyalahi metodologi ilmu.

Saya perlu tegaskan bahawa pembacaan karya ini bukan bermaksud kita perlu menyetujui kesemua kandungannya. Tidak ada masalah untuk berbeza pandangan dengan mereka. Cuma, hendaklah ia di atas semangat kecintaan kepada ilmu, usaha kepada kebenaran dan bebas daripada ketaksuban. Apa yang penting adalah karya ini diharapkan dapat menjadi cetusan dan inspirasi untuk menggerakkan usaha kritis dalam berpijak di jalan kesufian. Inilah matlamat yang utama.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/650820042771005440/wacana-ringkas-75-karya-karya-sufi-untuk

com/post/650820042771005440/wacana-ringkas-75-karya-karya-sufi-untuk

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now