Wacana Ringkas 173 : Lumrah Silih Ganti Kebenaran Dan Kebatilan

2 0 0
                                    

Ada masanya, kebatilan akan menyerlah dan mengukuh kerana Allah ingin menguji kita semua sama ada dari sudut kefahaman atau keimanan kita. Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

"Adakah manusia mengira bahawa mereka ditinggalkan untuk mereka berkata: #Kami beriman#, padahal mereka tidak diuji?". [Surah al-An*akabūt ayat 2].

Tidaklah kehidupan dunia ini melainkan ujian. Dari ujian, diketahuilah siapa sebenarnya yang konsisten di atas manhajnya, siapa yang mudah berbolak-balik, apa wajah sebenar seseorang, apa sebenarnya kecenderungan seseorang dan lain-lain. Kadangkala, sebahagian orang bermuka-muka atau berselindung pendirian sebenar mereka. Maka, dengan ujian, tersingkaplah apa yang terpendam dari mata orang ramai.

Semakin ramai pengikut kebatilan dan semakin mengukuh pengaruh mereka hanyalah istidraj untuk mereka, tipu daya Allah yang terlaksana untuk Dia membalas mereka kelak dan kesenangan sementara mereka. Suatu hari nanti, Dia jualah yang akan memenangkan hamba-Nya yang Dia cintai, orang berilmu yang teguh dengan ketetapannya dan sang ikhlas yang istiqamah dengan kebaikan. Firman Allah *Azza Wa Jalla :

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Katakanlah: "Telah datang kebenaran dan telah sirna kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sememangnya sirna". [Surah al-Isrō^ ayat 81].

Ada masanya, Allah memberikan kemenangan bagi pihak lawan untuk menguji kesabaran kita dan kecekalan kita dalam menghadapi cabaran hidup. Kita pula yang mendapat giliran untuk digelakkan, bahkan ditindas dan disingkirkan jika selama ini kita berjaya mencantas dan memangkas lawan.

Boleh jadi kemenangan kita yang berterusan membawa kita kepada sikap rangah dan membawa kita kepada sikap kezaliman terhadap diri sendiri atau terhadap orang lain, khususnya terhadap lawan.

Dengan ujian, kita mungkin akan terduduk sebentar untuk muhasabah terhadap sikap berlebihan kita, perancangan yang tidak rapi, lari daripada objektif yang dituntut dan ketempangan yang kita tidak ambil perhatian selama ini. Dari situ, kita mula memperbaiki diri kita sendiri, kembali ke pangkal jalan yang sejati dan mula berpijak di atas bumi realiti.

Atas sebab itulah, apabila dibukakan kemenangan, maka kita sewajarnya bertasbih dengan memuji-Nya dan memohon keampunan kepada-Nya. Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā :

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ﴿٣   

"Apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan serta engkau melihat orang ramai memasuki dalam agama Allah secara berkerumunan, maka bertasbihlah dengan memuji tuhanmu dan pohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia sememangnya Maha Menerima Taubat". [Surah an-Naṣr ayat 1-3].

Kesyukuran adalah sebagai pengenangan dan penyebutan bagi nikmat yang dibukakan kepada kita, manakala permohonan keampunan adalah kerana boleh jadi sepanjang perjuangan kita ada sikap yang tidak sepatutnya kita telah lakukan dalam mencapai matlamat yang didambakan sama ada kita menyedarinya atau tidak menyedarinya.

Pergantian antara kebenaran dan kebatilan ini adalah lumrah kehidupan dan perjuangan. Ini kerana dunia adalah tempat ujian bagi setiap manusia. Kalaulah kebenaran itu sentiasa sahaja menang, maka tidak ada erti lagi bagi sebuah perjuangan. Kalaulah kebatilan itu sentiasa sahaja mengungguli, maka sia-sialah seseorang itu mendedikasikan perjuangan. 

Pasang surut bagi kedua-duanya adalah keseimbangan dan makna yang bererti dalam coretan perjuangan. Dengan silih ganti kedua-duanya, barulah warna-warni cerita kehidupan menjadi lebih indah serta bersesuaianlah dengan apa yang dikatakan sebagai ujian dan pengujian.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/679473072142794752/wacana-ringkas-173-lumrah-silih-ganti-kebenaran

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now