Wacana Ringkas 144

4 0 0
                                    

Fahm As-Salaf Aṣ-Ṣōliḥ Li An-Nuṣūs Aš-Šar*iyyah Wa Ar-Rodd *Alā Aš-Šubuhāt Ḥawlah karya *Abdullah bin *Umar Ad-Dumayjiyy : Menjengah Semula Kepentingan Memahami Manhaj Salaf Yang Soleh

Fahm As-Salaf Aṣ-Ṣōliḥ Li An-Nuṣūs Aš-Šar*iyyah Wa Ar-Rodd *Alā Aš-Šubuhāt Ḥawlah karya *Abdullah bin *Umar Ad-Dumayjiyy : Menjengah Semula Kepentingan Memahami Manhaj Salaf Yang Soleh

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Adakalanya dalam polemik isu yang berkaitan dengan salafi, kita akan menemukan pertikaian dalam terminologi salaf dan penisbahan as-Salafiyy serta apa yang terkandung di dalamnya. Pertikaian tersebut tidak hanya berlegar pada stereotaip lensa zaman terkebelakangan, khususnya apabila disebutkan salafi atau khususnya bermula zaman Muḥammad bin *Abdul Wahhāb sehingga kini atau bermula yang lebih awal lagi, iaitu Ibn Taymiyyah. Akan tetapi, keabsahan istilah salaf yang tulen yang tanpa dicampuri oleh mana-mana naratif, perspektif dan campur tangan mana-mana aliran itu sendiri menjadi pergolakan dan perebutan.

Seakan-akan perkataan salaf ini dipercayai ada makna tulen, tetapi kabur hakikatnya atau ia adalah semata-mata eksploitasi dari pihak tertentu demi melariskan promosi pengaruhnya atau ia sekadar perkataan yang tidak memberi apa-apa impak signifikan lagi penting dalam manhaj beragama. Inilah dampak buruk yang berlaku jika perseteruan ini bukan atas pertalian ilmu dan objektif kepada kebenaran, tetapi kepada kepuakan atau taksub kepada tokoh tertentu atau sesuatu aliran.

Dalam meleraikan kemelut pergolakan pengamalan tradisi salaf di zaman kini dan mendamaikan krisis identiti bagi terma salaf itu sendiri, *Abdullah bin *Umar ad-Dumayjiyy telah mengekedepankan pembentangan secara ringkas, tetapi tuntas untuk perangkuman makna salaf itu sendiri melaluinya kitabnya Fahm as-Salaf aṣ-Ṣōliḥ Li an-Nuṣūs aš-Šar*iyyah Wa ar-Rodd *Alā aš-Šubuhāt Ḥawlah.

Dalam kitab ini, dia menyentuh dua tema yang besar dalam membahaskan tentang manhaj salaf. Yang pertama adalah dia memperkenalkan makna salaf, skop yang terkandung dalam pemaknaan salaf, mengapa penisbahan as-Salafiyy itu adalah valid lagi diterima, apa yang dimaksudkan dengan kefahaman salaf, keistimewaan bagi kefahaman salaf, perhatian ulama terhadap kefahaman salaf serta kedudukan kefahaman salaf dalam pemahaman teks dan hujah agama.

Yang kedua adalah penumpuan hujah balas terhadap syubhat yang ditimbulkan untuk membenamkan kepentingan melihat kefahaman salaf dalam teks suci agama. Walaupun kitab ini memfokuskan bantahan kepada syubhat dari modenis Muslim, tetapi syubhat yang ditimbulkan ini adakalanya dilontarkan oleh sebahagian orang yang bukan modenis, khususnya dalam menyerang salafi yang kadangkala ada nada dalam merendahkan seruan untuk mengimbau zaman dan kefahaman salaf serta berusaha untuk menghidupkan tradisi dan praktik mereka. 

Kitab ini amat bermakna bagi para pembaca yang benar-benar tulus ingin mencari kebenaran dan mengambil peduli mengapa menjengah semula ke jendela zaman salaf, praktik manhaj mereka dan kefahaman salaf dalam sesuatu penafsiran teks-teks agama atau pandangan mereka dalam sesuatu isu. 

Saya mencadangkan sesiapa sahaja dari mana-mana aliran untuk membaca kitab ini demi mendapat suatu paradigma tentang pandangan semesta tentang terminologi salaf. Pembentangannya adalah secara bersederhana, tidak terlalu rumit, tidak begitu menjela kupasannya dan dituntun dengan kemudahan penyampaian yang dapat dikatakan ia adalah mesra kepada para pembaca setiap lapisan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/664175929565773825/wacana-ringkas-144-fahm-as-salaf-a%E1%B9%A3-%E1%B9%A3%C5%8Dli%E1%B8%A5-li

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now