Wacana Ringkas 58

4 0 0
                                    

Argumentum Ad Verecundiam : Antara Yang Benar Dan Yang Tercela

Dalam banyak penulisan saya, saya sering mengingatkan celaan terhadap falasi Argumentum Ad Verecundiam. Ia telah mencambahkan ketaksuban, lalu menjadi pengingkaran terhadap hujah dari pihak yang lain dan menguatkan falasi ini dengan falasi yang lain seperti Ad-Hominem dan kesan Kontras agar dapat membungkam pihak yang lain dari terus mengutarakan hujah. Jika kita amati, kebanyakan jadong adalah mereka yang suka bermain kad Argumentum Ad Verecundiam.

Cuma, ada yang saya salah faham terhadap kenyataan saya sehingga menyatakan bahawa seolah-olah saya membakulsampahkan mana-mana pandangan ahli ilmu yang menyalahi pandangan saya. Padahal, saya dan mereka yang lain apabila ingin berselisih pandangan dengan ahli ilmu yang lain, kami membentangkan hujah kami, bukannya atas dasar sentimen semata-mata sepertimana yang menuduh kami sekarang ini melakukannya dalam berpaut dengan pandangan yang mereka ikuti. Kami mengkritik dengan cara yang baik dan kami hormati kesarjanaan ahli ilmu tersebut, tetapi kebenaran lebih kami cintai dan kami menentang ketaksuban. Tidak ada masalah mereka yang tidak tahu pembentangan ilmiah untuk mengikut pandangan kami yang sebaliknya, tetapi jika ia mencemuh kami dengan bermain kad Argumentum Ad Verecundiam, maka inilah yang kami tentang.

Pertama sekali, kita perlu membezakan antara penerimaan khabar dan penerimaan pendapat. Bezanya seumpama menyampaikan berita dan mengulas berita. Pendasaran ini diambil daripada kaedah Aḥmad bin Ḥanbal seperti berikut :

أخبرنا الحسين بن الحسن بن المنذر القاضي والحسن بن أبي بكر البزاز، قالا: أخبرنا محمد بن عبد الله الشافعي، قال: سمعت إبراهيم بن إسحاق الحربي يقول: سمعت أحمد بن حنبل وسئل عن مالك، فقال: حديث صحيح ورأي ضعيف. وسئل عن الأوزاعي، فقال: حديث ضعيف ورأي ضعيف. وسئل أبي حنيفة، فقال: لا رأي ولا حديث. وسئل عن الشافعي، فقال: حديث صحيح ورأي صحيح.

Al-Ḥusayn bin al-Ḥasan bin al-Munḏir al-Qōḍī dan al-Ḥasan bin Abū Bakr al-Bazzāz telah merawi khabar kepada kami, mereka berdua berkata; Muḥammad bin *Abdullah aš-Šāfi*iyy telah merawi khabar kepada kmi, dia berkata; Aku mendengar Ibrōhīm bin Isḥāq al-Ḥarbiyy berkata; Aku mendengar Aḥmad bin Ḥanbal ketika ditanya tentang Mālik, dia pun berkata: "Hadisnya sahih, tetapi pendapatnya dhaif". Ditanya tentang al-Awzā*iyy, dia pun berkata: "Hadisnya dhaif dan pendapatnya dhaif". Ditanya tentang Abū Ḥanīfah, dia pun berkata: "Tidak pada pendapatnya dan tidak juga pada hadisnya". Ditanya tentang aš-Šāfi*iyy, dia pun berkata: "Hadis sahihnya dan pendapatnya sahih". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱oṭīb al-Baghdādiyy, jilid 15, m/s 573, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf].

أخبرنا عبد الله بن أحمد بن محمد بن حنبل، قال: قال أبي: ابن أبي ليلى كان سيء الحفظ مضطرب الحديث وكان في فقه ابن أبي ليلى أحب إلينا من حديثه، حديثه فيه اضطراب.

*Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Ayahku berkata: "Ibn Abū Laylā seorang yang buruk hafalannya lagi bergoncang hadisnya. Aku lebih sukai fiqh Ibn Abū Laylā berbanding hadisnya. Hadisnya mempunyai kegoncangan". [Al-Jarḥ wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 7, m/s 322, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Melalui ini, fahamlah bahawa orang berkredibiliti dalam periwayatan, bukan bermakna reliabilitinya dalam rangka fikirnya berasas. Orang yang tiada kredibiliti dalam periwayatan, kadangkala terbaik dalam reliabilitinya dalam rangka fikirnya. Yang memiliki kedua-duanya semestinya orang yang terbilang. Hakikat ini tidak dapat dinafikan lagi dari kaca mata ahli hadis.

Sebab itu periwayatan dari murjiah, khawarij, syiah, Qodoriyyah dan lain-lain masih diterima kerana para ahli hadis mengerti dua jenis ini. Aliran menyimpang ini berkredibiliti dalam riwayatnya, tetapi pendapat mereka tidak diambil kira. Kita boleh percaya beritanya, tetapi ulasannya belum tentu ia diterima. Jika sukar untuk memahami hakikat perbezaan ini, maka dia akan berdepan dengan kesukaran untuk memahami kalam Aḥmad bin Ḥanbal ini.

Penerimaan khabar jika ia datang daripada mereka yang berkredibiliti lagi berkejituan, kita boleh bersandar pada persaksian dan testimoni mereka dalam sesuatu berita. Inilah Argumentum Ad Verecundiam yang benar. Tidak salah jika kita berpegang dengan kesaksian dan penceritaannya. Selagimana tidak ada khabar yang lain yang bertentangan dengannya, maka tidak ada masalah jika kita bersandar padanya sebagai penolakan orang yang mengingkarinya. Jika ada pertentangan, maka kita memerlukan penilaian untuk menentukan yang mana di antaranya lebih tepat.

Jika ia berkaitan dengan pendapat, maka tidak semestinya mereka yang berkredibiliti lagi berkejituan adalah benar apabila mengutarakan pendapat. Penyaksiannya kepada isi berita itu boleh dipegang, tetapi bukan bermakna tafsiran atau penilaian daripada apa yang dilihat itu benar. Sekali lagi, menyampaikan berita adalah berbeza daripada mengulas berita. Kadangkala apa yang dia sampaikan itu adalah benar, tetapi ulasannya belum tentu benar. Apabila kita tegakkan hujah kebenaran, tetapi masih berdegil dengan ulasan yang salah, maka inilah Argumentum Ad Verecundiam yang tercela dan inilah yang menjadi sasaran saya. 

Begitu juga apabila adanya pertentangan persaksian, lalu terdapat bukti yang lain yang menyokong salah satu pihak, maka bersandar kepada pihak yang lain yang terbukti salah ini juga yang tercela. Berpihak kepada kesalahan yang telah nyata, maka inilah ketaksuban yang ditentang.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634928414237802496/wacana-ringkas-58-argumentum-ad-verecundiam

com/post/634928414237802496/wacana-ringkas-58-argumentum-ad-verecundiam

Hoppsan! Denna bild följer inte våra riktliner för innehåll. Försök att ta bort den eller ladda upp en annan bild för att fortsätta.
Al-H̱iṭōb al-WajīzDär berättelser lever. Upptäck nu