Wacana Ringkas 51 : Pangkasan Pemusnah Terhadap Penganut Batiniah

18 0 0
                                    

Saya tidak tahu apa motif sebahagian penganut batiniah membawa dalil adanya karamah, kasyaf wali dan menceritakan kisah al-H̱oḍir dengan Mūsā -*alayhimā as-Salām- melainkan semata-mata untuk menisbahkan gurunya atau sesuatu tokoh itu adalah wali yang disakralkan dan adanya aura yang membuatkan pengikutnya tunduk takzim serta perlu berinteraksi dengannya seakan-akan seperti al-H̱oḍir -*alayhissalām- yang sedang menguji kesabaran kita dan mengajarkan kita ilmu yang langsung daripada Allah. Sesiapa yang menyalahinya, dikhuatiri atau sememangnya akan dianggap menentang wali Allah yang sama seperti menentang-Nya serta terpisah jauh daripada rahsia-rahsia dari Allah yang merupakan anugerah paling hebat daripada yang lain.

Kalaulah perbuatan ini sah, sudah tentu saya akan lakukan yang sama kepada Abū *Abdullah Muḥammad bin Ismā*īl al-Buẖōriyy -semoga Allah merahmatinya-. Demi rembulan yang menerangi malam hari! Sesungguhnya dia lebih berhak untuk diangkat darjah kewaliannya berbanding pembawa ajaran batiniah dan yang selalu sahaja alpa dalam periwayatan hadis.

Kalaulah perbuatan ini sah, saya katakan sesungguhnya kitab-kitabnya adalah karamah daripada Allah. Ia dimanfaatkan dan diperakui keagungannya yang tiada tolok bandingan. Kedudukannya yang tinggi tidak mampu direbut dan disaingi.

Kitabnya «al-Jāmi* al-Musnad aṣ-Ṣoḥīḥ al-Muẖtaṣor Min Umūr Rasūlillah -ṣollallahu *alayhi wasallam- Wa Sunanih Wa Ayyāmih» adalah hasil pertemuannya dengan penghulunya yang agung; Muḥammad -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang terpilih dalam mimpinya yang memaksudkan bahawa dia akan menepis riwayat-riwayat yang tidak sabit daripada baginda. Namun, pernahkah kitab ini dikritik? Ia dikritik dengan manhaj ilmu yang tulen, saksama dan berwibawa! Tidak ada yang maksum dan sempurna melainkan baginda.

Demikian juga seperti Mālik bin Anas -semoga Allah merahmatinya-. Keagungan «Muwaṭṭo^» miliknya mendapat kedudukan yang tertinggi. Kemahirannya dalam ilmu hadis dikagumi generasi semasanya dan generasi setelahnya. Faqihnya kefahamannya dalam fiqh adalah anugerah karamah daripada Yang Maha Pengasih.

Sesungguhnya, jika selayaknya untuk berbuat sedemikian, sudah tentu dia layak untuk menepati takhta kewalian di darjat yang tertinggi. Dia lebih mulia daripada golongan batiniah yang sentiasa mengungkapkan kalimat mistik, spiritual dan falsafah yang penuh dengan kejijikan. Itu pun, dia tetap dikritik dan diselisihi.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh kebesaran yang lain dari ilmuwan bahasa, hadis dan uṣūl fiqh. Mereka ini mudah-mudahan adalah wali Allah kerana karamah mereka melalui sumbangan keilmuan yang tidak terbilang banyaknya dan tidak pernah berkurangan keagungannya. Teladannya juga menjadi ikutan dan dambaan bagi orang yang ingin menjejaki jalan-jalan kemuliaan dan selamat. Namun, mereka juga dikritik dan tidak bebas daripada penyelisihan. Pun begitu, mereka jauh lebih unggul daripada perosak-perosak batiniah yang berjubahkan tokoh spiritual.

Si celaka penganut batiniah menggunakan kisah al-H̱oḍir dengan Mūsā -*alayhimā as-Salām- semata-mata untuk menjadikan murid seperti mayat yang menantikan tok syeikhnya memandikan jenazahnya! Si celaka ini juga menjustifikasikan dalil-dalil karamah dan kasyaf semata-mata untuk menisbahkan kemuliaan tok syeikhnya yang kononnya dikhabarkan adanya karamah yang berupa perisitwa mencarik adat dan memiliki kasyaf serta memiliki pembukaan-pembukaan yang langsung dari tangan Allah.

Demi pohon yang berakar tegap! Untuk menjadi kekasih-Nya, semestinya perlu pemenuhan kritera yang melayakkan untuk menjadi kekasih-Nya. Iaitulah akidah yang benar, manhaj ilmu yang lurus dan setia dengan kebenaran dan kebaikan. Bagaimana mungkin seseorang mampu menjadi kekasih-Nya apabila seseorang sewenang-wenangnya meriwayatkan hadis yang tidak sabit, malah sentiasa sahaja kedengaran hadis palsu dari lidahnya, sedangkan itu adalah perbuatan yang dimurkai Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-; pemimpin segala pemimpin wali Allah? Bagaimana mungkin seseorang mampu menjadi kekasih-Nya jika berpegang pada kefahaman ilmu yang bercelaru dan rancu sehingga menjerumus kepada bidaah?

Demi suluhan matahari yang terang! Orang sebegini tidak selayaknya dianggap wali selama-lamanya. Jika seseorang tidak dipanggil ahli hadis kerana tiada penguasaan yang mapan dalam ilmu hadis, jika seseorang tidak digelar sebagai ahli ilmu kerana menyalahi banyak kaedah-kaedah ilmu yang penting, bagaimana mungkin wali boleh diterima dengan sikap yang memandang ringan terhadap hadis dan sentiasa sahaja membawa kerancuan akal dalam prinsip dan pengajaran?

Al-H̱iṭōb al-WajīzDove le storie prendono vita. Scoprilo ora