Wacana Ringkas 87 : Sesukar Mana Ilmu Agama?

8 0 0
                                    

Sebahagian orang memberikan imej bahawa ilmu agama ini penuh dengan kerumitan dan kepayahan sehingga ia tidak boleh dipelajari oleh sembarangan orang dan hanya mampu dikendalikan oleh golongan tertentu sahaja. Sebahagian orang juga memandang ringan terhadap pemahaman agama sehingga bagi mereka boleh untuk sesiapa sahaja mempelajari apa sahaja dengan cara yang dia mahu seolah-olah mempelajari ilmu agama seperti mengutip daun yang berguguran di jalanan. Yang sewajarnya adalah kita perlu bersikap pertengahan dan akui bahawa adanya persepsi yang subjektif pada hal ini.

Kefahaman agama ada yang sememangnya mudah untuk sesiapa pun yang berakal sehingga kadangkala tidak perlu dihurai lagi kerana pemahaman itu boleh muncul secara automatik tanpa perlu usaha banyak. Namun, di sana ada juga yang sukar, terutamanya jika masuk kepada perbahasan dan penganlisisan dalil yang memerlukan beberapa ilmu alat dan kaedah yang perlu difahami dahulu secara teratur, barulah seseorang itu boleh menggapai hasil yang dikehendaki. Dua hakikat ini tidak dapat dinafikan walau mana-mana bidang pun. Sebab itulah ada pembahagian pemula, pertengahan dan professional atau apa sahaja yang secocok dengannya. Ini menunjukkan bahawa ilmu itu ada tahapnya dan setiap orang perlu perhatikan tahap kemampuannya.

Akan tetapi, kita tidak boleh nafikan adanya persepsi yang subjektif padanya. Iaitu penerimaan sama ada susah atau senangnya bagi sesuatu bab itu. Kadangkala, bagi sebahagian orang, pada sesuatu topik itu ia adalah mudah untuk dikuasai dan dimahirkan. Sebahagian orang pada satu topik yang sama ia agak mencabar dan memerlukan usaha yang keras padanya. 

Ini banyak contoh daripada para sarjana ilmu kita yang menyerlah dalam sesuatu bidang ilmu, tetapi lemah atau tidak berkeahlian dari sudut ilmu yang lain. Tidak semua fuqaha yang menguasai ilmu hadis sehingga tersisipnya hadis-hadis yang tidak sahih dalam kitab fiqh mereka. Seperti inilah yang disebutkan *Abdul al-Fattāḥ Abū Ġuddah dalam al-Ajwibah al-Fāḍilah Li al-As^ilah al-*Ašaroh Li al-Imām Abī al-Ḥasanāt al-Laknawiyy. 

Antara contoh yang terkenal adalah Abū Ḥāmid al-Ġozāliyy dan ar-Rōfi*iyy. Meskipun kedua-duanya tangkas dalam ilmu fiqh, tetapi mereka berdua bukan berkeahlian dalam ilmu hadis. Malah, aš-Šāṭibiyy dalam al-Muwāfaqōt Fī Uṣūl al-Aḥkām menyatakan aš-Šāfi*iyy bertaklid dalam ilmu hadis.

Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, salah seorang ahli hadis keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang sufi pernah juga mengkritik kelemahan ilmu hadis pada ulama al-Azhar semasa zamannya. Katanya :

كان أستاذنا بخيت رحمه الله مع تضلعه في العلوم مزجى البضاعة في الحديث كسائر علماء الأزهر المتأخرون

"Dahulu ustaz kami, Baẖīt -semoga Allah merahmatinya- walaupun cekap dalam pelbagai ilmu, tetapi sedikit bekalannya dalam bidang hadis sepertimana sekalian ulama al-Azhar yang terkebelakangan". [Ju^nah al-*Aṭṭōr Fī Ṭurf al-Fawā*id Wa Nawādir al-Aẖbār, m/s 73].

Ini semua bergantung pada individu. Janganlah sebab kita merasa susah untuk menguasai topik itu, maka kita anggap orang lain juga sedemikian. Janganlah sebab tokoh kehormat kita tidak menguasai bahagian itu, bermakna ia tidak layak dipelajari oleh sesiapapun kecuali orang yang eksklusif sahaja. Itupun dipilih-pilih siapa yang dikatakan layak.

Apapun, berdoalah agar mana-mana tahap yang kita capai adalah supaya kita semua diberkati oleh Allah Ta*ālā atas usaha kita untuk mencari kebenaran dan redha-Nya. Hanya ilmu yang bermanfaat akan menyelamatkan kita dan membahagian kita di dunia dan di akhirat. Apapun, bidang pengkhususan kita, pastikan kita benar-benar menghidupkan manfaat untuk diri kita dan kepada orang lain juga. Semoga kebaikan di dalamnya akan terus melimpah dan berkekalan hingga kiamat.

Saya berseloka :

الْخُطْوَةُ الَّتِي تَسْلُكُهَا # لَا حَاجَةَ لَكَ فِي خُطْوَةٍ عَظِيمَةٍ

هِيَ تَحْتَاجُ إَلى سَدِيدِهَا # يَقُودُكَ إِلَى سَبِيلٍ رَشِيدَةٍ

Langkah yang engkau ambil padanya # Tidaklah engkau memerlukan langkah yang besar

Namun, ia memerlukan ketepatannya # Yang mengemudimu ke jalan yang bersasar

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653433294265958400/wacana-ringkas-87-sesukar-mana-ilmu-agama

com/post/653433294265958400/wacana-ringkas-87-sesukar-mana-ilmu-agama

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now