Wacana Ringkas 182 : Tuduhan Pemalsuan Kitab Dari Pihak Tertentu

8 0 0
                                    

Sebahagian orang sangat anti dengan kitab yang ditahqiq oleh mereka yang dituduh atau sememangnya wahabi kerana golongan ini telah melakukan pengubahan terhadap beberapa kalimah kitab atau menggugurkan beberapa perkataan di dalamnya walaupun pemukalan secara menyeluruh ini adalah keterlaluan dan menuduh setiap daripada mereka tidak ada amanah sekalipun terhadap karya seteru aliran mereka.

Namun, orang yang anti ini sebenarnya tidak sedar atau buat-buat lupa terhadap kepincangan yang ada pada mereka dalam pemeliharaan kitab dari pihak mereka sendiri. Catatan mengenai kitab mereka memiliki sisipan palsu daripada pihak yang tidak bertanggungjawab sememangnya terkenal dalam kalangan mereka. Akhirnya, beberapa daripadanya tidak dapat disahkan keaslian kandungannya meskipun judul tersebut adalah sahih pada penisbahan pemilikannya.

Mereka boleh menyalahkan pihak lain, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak menyedari atau buat-buat lupa bahawa mereka ini sangat alpa dan culas dalam usaha memelihara keaslian kitab sehingga sisipan ini mudah sahaja merosakkan keasliannya dari pelbagai sudut. Akhirnya, apabila dibentangkan kitab itu sebagai penghujahan terhadap mereka, mereka hanya mengatakan bahawa kandungan tersebut telah dipalsukan, lebih-lebih lagi kandungan itu menyalahi pegangan dan aliran mereka.

Kitab al-Ibānah karya Abū al-Ḥasan al-Aš*ariyy yang sampai pada kita pada hari ini sama sekali tidak ada nilai kepercayaan di sisi mereka. Bahkan, kitab Ibn *Arobiyy seperti al-Futūḥāt al-Makkiyyah dan Fuṣūṣ al-Ḥikam juga tidak terlepas dari tuduhan dan sangkaan berlakunya sisipan palsu. Kitab al-Ġunyah karya *Abdul Qōdir al-Jaylāniyy juga dituduh memiliki sisipan ini oleh Ibn Ḥajar al-Haytamiyy dalam al-Fatāwā al-Ḥadīṯiyyah.  

Kitab al-Fiqh al-Akbar yang dinisbahkan kepada Abū Ḥanīfah juga tidak terlepas daripada tuduhan ini. Begitu juga aš-Ša*rōniyy dalam Laṭō^if al-Minan Wa al-Aẖlāq mengutip daripada *Umar bin Muḥammad al-Išbīliyy al-Aš*ariyy dalam Laḥn al-*Awwām yang mengingatkan tentang kemungkinan berlakunya sisipan dalam kitab Iḥya^ *Ulūm ad-Dīn dan an-Nafẖ Wa at-Taswiyah yang kedua-duanya karya Abū Ḥāmid al-Ġozāliyy.

Pelbagai banyak lagi sama ada berupa petikan kata-kata atau kandungan di dalam suatu karya yang ditimbulkan isu ini. Buku Indahnya Tasawuf Dan Hidup Sufi karya Yusri Abdul Karim ada menyentuh hal ini seperti kepalsuan kata-kata Yazīd al-Busṭōmiyy, pengamalan pengaku pengikut tarekat aš-Šāḏiliyyah dalam zikir lafaz "Āh" dan karya Aḥmad at-Tijāniyy.

Sekarang, mereka mengatakan bahawa kitab yang ditahqiq oleh wahabi tidak boleh dipercayai. Maka, bagaimana pula dengan kitab yang ada di tangan mereka? Kalaulah kita sangat mudah untuk melemparkan keraguan secara sembarangan, maka tidak ada kitab yang boleh dipercayai langsung untuk zaman ini.

Adakalanya, tuduhan berlakunya sisipan palsu ini sebenarnya salah satu cara kotor untuk memaparkan bahawa tokoh mereka tidak ada kaitan dengan golongan selainnya yang mereka memusuhinya dan salah cara untuk menyelindungkan sikap penafian mereka untuk memperakui kesilapan yang ada pada tokohnya. 

Contohnya adalah tuduhan berlakunya sisipan palsu terhadap kitab al-Ġunyah karya *Abdul Qōdir al-Jaylāniyy. Ini kerana sebab utama tuduhan ini diutarakan adalah kerana kandungannya mengandungi pengungkapan yang menyalahi aliran al-Aš*ariyy. Kita dapati tidak ada mana-mana ahli fiqh bermazhab Ḥanbaliy sesudahnya yang banyak menukilkan kitab ini dalam karya fiqh mazhab mereka menimbulkan isu ini. Kalaulah ia adalah isu yang besar, apakah mungkin para fuqaha mazhab itu berdiam diri daripadanya?

Tuduhan sebegini sangatlah berat kerana ia adalah seruan untuk menjauhi kitab yang muktabar secara tidak langsung dan mengaburkan pendirian sebenar penulis kitab itu. Sesungguhnya tuduhan seperti ini, lebih-lebih lagi berasaskan rasa tidak puas hati terhadap kandungan yang menyalahi alirannya adalah jenayah kepada umat dan kejahatan yang parah kerosakannya.

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now