Wacana Ringkas 22

7 0 0
                                    

Islam Memberi Kebebasan Beragama Untuk Semua, Tetapi Islam Menegaskan Bahawa Agamanya Yang Paling Unggul Dan Tidak Berkompromi Dengan Kebatilan

Walaupun agama Islam memberikan hak kebebasan kepada manusia untuk memilih agamanya atau alirannya serta tidak dipaksa terhadapnya, namun bukan bermakna agama ini tidak tegas dalam pendiriannya bahawa agama inilah yang lebih zahir kebenarannya daripada yang lain dan diancam sesiapa sahaja yang sengaja memilih selain daripada hujah yang kukuh yang tertegak ke atasnya, malah menjadi penentang yang tegar terhadapnya. Firman Allah *Azza Wajalla :

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِن يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا

Katakanlah: "Kebenaran daripada tuhan kalian. Oleh itu, sesiapa yang mahu, berimanlah dan sesiapa yang mahu, maka ingkarlah". Sesungguhnya Kami menyediakan orang yang zalim neraka yang gelojaknya mengepung. Jika mereka meminta minuman, mereka disahut dengan air seperti besi mendidih yang melunturkan wajah. Seburuk-buruk minuman dan sejelek-jelek tempat berlibur". [Surah al-Kahfi ayat 29].

Walaupun Allah memberi kebebasan untuk memilih selain daripada seruan-Nya yang terbukti benar dan tiada pincang baginya, namun Allah tetap memberi ancaman kepada sesiapa yang berpaling daripadanya. Dalam memberikan ancaman, Allah menggunakan lafaz "orang yang zalim", bukan lafaz pengingkar walaupun kedua-duanya menatijahkan yang sama.

Sebab penggunaan lafaz tersebut adalah kerana orang itu sengaja berpaling daripada kebenaran yang tertegak ke atasnya dan dia tidak mampu menafikan keabsahannya walau sedaya upaya yang dia buat, namun sengaja memilih yang sebaliknya sama ada kerana mengikut hawa nafsunya atau selainnya. Malah, boleh jadi orang yang zalim adalah bukan sahaja jenis yang berkepala batu dan tidak mahu dengar kata, tetapi masih tetap tegar menentang walaupun dia tahu itu adalah kebenaran atau sengaja membantah terhadap sesuatu yang dia tidak tahu. Inilah sebabnya layak orang sebegini diancam sebegini kerana kesombongan dan keegoannya. Maka, yang mahu disampaikan oleh Allah adalah bahawa kebenaran telah sampai kepada kalian. Terpulang pada masing-masing mahu memlilih. Namun, orang yang zalim bersikap zalim dalam keputusan yang dia pilih, maka nantikanlah azabnya.

Dalam menyatakan bahawa Islam memberikan kebebasan beragama, ramai yang suka menyebutkan firman-Nya yang ini :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

"Tiada paksaan dalam agama". [Surah al-Baqaroh ayat 256].

Namun, mereka tidak menyebutkan ayat yang seterusnya, iaitu :

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗوَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Telah nyata petunjuk dan penyimpangan. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari aṭ-Ṭoġūt dan beriman kepada Allah, maka dia telah berpaut kepada tali yang kukuh yang tidak akan terputus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Walaupun Allah menyatakan bahawa tiada siapa boleh dipaksa untuk memeluk Islam, Allah tetap menyelitkan tentang bahawa kebenaran dan kebatilan telah jelas pemisahnya. Maksudnya, Allah ingin sampaikan bahawa tiada paksaan terhadap agama ini, namun hendaklah manusia perlu tahu bahawa kebenaran dan kebatilan telah nyata berbezanya. Telah ditegakkan bahawa Islam adalah agama petunjuk yang tidak mampu direfutasikan lagi sehingga teranglah bahawa selainnya adalah kesesatan. Dengan itu, sesiapa yang mengingkari kebatilan yang telah terbukti hujahnya dan beriman apa yang diturunkan Allah, maka dia telah berada dalam pautan yang kukuh.

Aṭ-Ṭoġūt menurut salah satu definisi yang dikemukakan oleh Ibn Manẓūr :

وَقَالَ الشَّعبيُّ وعطاءٌ ومجاهدٌ: الجِبْتُ السِّحرُ، والطاغوتُ: الشَّيْطَانُ: والكاهِنُ وكلُّ رأْسٍ فِي الضَّلال

Berkata aš-Ša*biyy, *Aṭō^ dan Mujāhid:"Al-Jibtu adalah sihir dan aṭ-Ṭoġūt adalah syaitan, tukang tilik dan setiap pemuka dalam kesesatan" [Lisān al-*Arob, jilid 15, m/s 9, keluaran Dār Ṣōdir].

Oleh itu, setelah berlalunya dialog dan debat antara dua pihak, telah nyata siapakah pembawa kebenaran dan siapakah yang memimpin kepada kebatilan. Maka, pilihlah jalan yang dimahukan. Namun, mereka yang memilih jalan kebenaran, pasti akan berada dalam naungan dan perlindungan daripada-Nya.

Demikian juga ayat ini tentang larangan memaksa orang ramai untuk menganut agama Islam :

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ ﴿

"Kalau tuhanmu mengkehendaki, pasti beriman seluruh yang ada di bumi. Adakah engkau mahu memaksa orang sehingga mereka menjadi beriman?" . [Surah Yūnus ayat 99-100].

Mereka juga tidak membaca ayat yang seterusnya :

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تُؤْمِنَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ﴿

"Tidaklah keimanan itu menjadi milik seseorang melainkan dengan izin Allah. Dan Allah menimpakan kenistaan ke atas orang yang tidak sentiasa berakal". [Surah Yūnus ayat 100].

Perkataan "Ya*qilūn" (يَعْقِلُونَ) selalunya digunakan dalam bentuk fi*l muḍōri* dalam al-Qur^ān yang boleh membawa maksud kesentiasaan atau keberterusanan. Maksudnya, walaupun tidak boleh memaksa orang ramai menganut agama Islam, tetapi Allah tetap menimpakan azab-Nya dan kehinaan kepada orang yang sengaja tidak menggunakan akalnya untuk berfikir dan sentiasa menggunakannya supaya meneliti kebenarannya. Di sini bukanlah menujukan semua orang yang tidak berfikir langsung setelah disampaikan hujah, maka termasuk dalam ancaman ini. Kadangkala orang tidak mahu memikirnya kerana ia bukan dalam minatnya dan prioritinya atau ada faktor lain yang tidak menggerakkan fikirannya atau mungkin fikirannya tidak sampai kepada hala tujunya disebabkan ada halangan seperti lemah cerapan akal, sedikit pengetahuan dan rujukan. kebingungan, berlaku kerumitan dalam mindanya dan lain-lain. Namun, ia tertuju kepada yang telah jitu kefahamannya terhadap kekukuhan hujah, namun sengaja menutup akalnya, matanya dan telinganya untuk menerima kebenaran.

Apapun, meskipun ada hak untuk bukan Islam untuk tidak dipaksa, namun mereka yang sengaja menutup fikirannya dan membutakan mata setelah kebenaran tertegak ke atasnya, apatah lagi jika berani menentangnya, maka ia telah menempah pancungan daripada Yang Maha Mengalahkan musuh-Nya,

Disebabkan itu, sekalipun kita memberi kebebasan kepada penganut agama, bukan bermakna kita tidak mempromosikan bahawa agama Allah adalah superior dan terunggul berbanding yang lain. Namun, promosi tersebut mestilah dengan ilmu dan hujah. Bagaimana mungkin kebenaran dan kebatilan akan jelas hala tujunya kepada mereka kalau sekadar omongan kosong, sentimen dan ikut-ikutan sahaja? Tidak tercapailah maksudnya dalam menonjolkan keluhuran agama Islam. Ia akan jelas apabila kita teraturkan penyampaian kita, bijaksana dalam pendekatan, perkukuhkan kefahaman kita dalam menghadapi segala isu yang mencabar dan membina komuniti yang kompetitif.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623097921319174144/wacana-ringkas-22-islam-memberi-kebebasan

com/post/623097921319174144/wacana-ringkas-22-islam-memberi-kebebasan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now