Wacana Ringkas 137 : Tipu Daya Kemahsyuran

1 0 0
                                    

Apabila seseorang sudah masyhur dan menjadi figura penting yang menjadi kunci utama dalam pembinaan naratif, ia mampu menjadikan seseorang mengabaikan kapasiti dan kemampuan diri semata-mata untuk kekalkan sokongan orang ramai yang berpihak kepadanya.

Apabila seseorang itu masyhur, seseorang itu akan menjadi ikon rujukan dan paksi kepada arus aliran semasa. Disebabkan seseorang itu popular, dia akan diminta fatwa daripadanya, ditanyakan pendapatnya dan diambil kalamnya sebagai pemberat.

Oleh sebab orang ramai berpusu-pusu mencarinya kerana dia diangkat dan dijulang, ia benar-benar akan mengujinya sejauh mana dia berwaspada dengan kemampuan yang dia dapat pikul.

Bayangkan jika seseorang ada capaian pengaruh kepada sepuluh ribu orang. Boleh jadi tujuh ribu daripadanya akan berpihak padanya dan dua ribu daripada mereka akan jadi penjilat tegar yang fanatik kepadanya sehinggakan yang jelas silap pun masih ingin duduk bernaung di bawah ketiaknya. Dengan dua ribu orang ini sahaja sudah memadai untuk dia gerakkan dan manipulasi dengan dakyahnya.

Siapa sahaja yang tidak takjub dengan perolehan ini? Dari sinilah dia akan diuji.

Apabila ada pengaruh, dia membina kekukuhan keegoan dan serta mempersiap hulubalangnya untuk menyergah mana-mana lawan yang mendepaninya. Apabila ramai yang memberikan nobat adiwangsa, dia merasakan bahawa dia layak memimpin, mengetahui, mengepelai dan mengemudi gerakan yang dia bawa dan perjuang.

Terbinalah satu falasi daripada sini. Iaitu, Argumentum Ad Populum, penyandaran kepada yang popular atau seangkatan dengannya. Oleh sebab banyak pengaruh dan ramai kawan, maka orang itu dianggap sebagai pihak benar. Dengan ramai hulubalang yang bersamanya membantai seterunya, maka yang dihinjak dan yang dinista itu adalah di pihak yang salah. Cukup hanya memainkan sentimen mereka di sekelilingnya, dua ribu daripada mereka akan menjadi pembela dan penggiat kepada gagasan dan rintisannya.

Oleh sebab ramai yang menyokongnya, maka dia dianggap memiliki upaya yang besar untuk merangkul apa yang dia mahu di hadapan matanya. Oleh sebab ramai yang mejadi teman seperjuangannya, maka dia merasakan bahawa dia memiliki kedudukan untuk gah setara. Hakikatnya, dia tidak lebih daripada sang Apache yang rapuh yang ingin merempuh kubu musuh hanya kerana bergantung kepada jumlah ramai di belakang bersamanya.

Perlu diwaspadai bahawa bukan semua yang rapat dan bersama kita semuanya tulus. Sebahagiannya penunggang, sebahagiannya tidak lebih daripada simp kerana terpesona dengan rupawan yang menggoda, sebahagiannya opportunis yang ambil kesempatan dan sebahagiannya hanya menumpang kemahsyuran sahaja. Malah, lebih teruk, sebahagiannya sekadar bermuka-muka sahaja.

Sampai masa, akui kekurangan diri dan sentiasa cakna dengan had kemampuan kita. Jangan kerana majoriti menyukainya, seseorang itu membebankan diri daripada apa yang tidak sepatutnya. Misalnya, jika orang ramai ingin mengangkatnya dalam jawatan tertinggi, tetapi dia menyedari dia tidak ada keupayaan itu, maka janganlah dia menggalasnya. Ingatlah betap besar tanggungan amanah dan dosanya apabila gagal merencanakannya dengan saksama.

Kemudian, bina jaringan dengan bijak pandai, cendekiawan dan mereka yang berkeahlian dalam bidang tersebut. Di samping ia menampung kekurangan kita, ia menjadi faktor pembantu untuk kita memperbaiki diri dan mengawasi kapasiti kita.  Jika kita ingin berjuang secara berkelompok, maka binalah kelompok yang berkualiti. Barisan perjuangan kita akan mudah tumbang jika kita dikelilingi dengan orang yang tidak kompeten dan sang bodoh.

Ramai pengikut bukan semestinya kita ini benar, apatah lagi apabila kelompok seseorang mendiamkan diri daripada berkomentar sesuatu yang sepatutnya mereka menyuarakannya atau kelompok kita bukan dari kalangan mereka yang berkeahlian dalam sesuatu bidang. Ada sebahagiannya tidak menyuarakannya kerana ingin menjaga air muka masing-masing atau tujuan tersendiri ketika bergabung dan berjuang bersama dengannya. 

Adakalanya, lebih baik mendengar kritikan atau pandangan yang berbeza. Boleh jadi kritikan lebih bermakna berbanding nasihat daripada teman. Jangan sama sekali mengabaikan kritikan sekalipun keras kerana jika kita terlalu bergantung kepada diri atau kelompok kita sahaja, kemampuan diri kita sendiri terhad dan kelompok kita hanya berfikir apa yang masing-masing berkongsi bersama. Terbuka dengan pandangan yang lebih luas sekurang-kurangnya boleh menjadi pengisian berguna ketika melakukan pertimbangan dan perancangan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/661934505373925376/wacana-ringkas-137-tipu-daya-kemahsyuran

com/post/661934505373925376/wacana-ringkas-137-tipu-daya-kemahsyuran

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now