Wacana Ringkas 123 : Jasa Besar Dan Kebenaran

2 0 0
                                    

Al-Qōḍī Abū al-Ḥasan *Abdul Jabbār bin Aḥmad al-Mu*taziliyy berkata dalam menceritakan tentang Abū al-H̱uḏayl al-*Allāf, salah seorang pemuka Muktazilah :

ومناظراته مع المجوس والثنوية وغيرهم طويلة ممدودة، وكان يقطع الخصم بأقل كلام. يقال أنه أسلم على يده زيادة على ثلاثة آلاف رجل.

"Perdebatannya bersama Majusi, dualis dan selain mereka adalah panjang berlarutan. Dia mencantas perseteruan dengan kalam yang paling sedikit. Dikatakan bahawanya lebih daripada tiga ribu orang Islam di tangannya". [Al-Munyah Wa al-Amal, m/s 44, keluaran Dār al-Maṭbū*āt al-Jāmi*iyyah, Alexandria, tahqiq Sāmī an-Naššār dan *Iṣōmuddīn Muḥammad].

Daripada kenyataan ini, ada dua pengajaran yang besar yang boleh kita ambil. Pertama, Islam sama sekali tidak mengabaikan, memperlekehkan, tidak menghargai atau memandang kecil mana-mana sumbangan untuk kekuatan, kejayaan, kebajikan dan maruah Islam walaupun daripada mereka yang berbeza aliran. Ini bertepatan dengan apa yang Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ " .

"Sesungguhnya Allah benar-benar menguatkan agama ini dengan lelaki yang cendala ini". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, kitāb al-Jihād wa as-Siyar, no. 2850].

Konteks bicara baginda adalah apabila pasukan peperangan baginda dibantu oleh lelaki yang baginda menjamin bahawa dia akan ke neraka. Dengan itu, jika agama boleh dikuatkan dengan bantuan oleh mereka yang dijamin tempat akhirnya, maka mengapa pula kita tidak boleh mengiktiraf dan menghargai sumbangan daripada orang yang kita tidak ketahui kesudahannya?

Sumbangan di sini juga boleh pada bahagian ilmiah. Kadangkala teorinya, pandangannya, penghujahannya, analisisnya, pembentangannya dan kupasannya boleh diambil kira jika ia memiliki merit yang saksama melalui pengamatan neraca ilmiah yang tulen. Kita perlu akui bahawa manusia bukanlah putih pada keseluruhannya atau hitam secara keseluruhannya, tetapi mereka ada kekelabuan. Hanya sahaja yang tinggal adalah kita mengamati tahap kepekatan warnanya cenderung pada yang mana.

Sebab itulah umat Islam tidaklah rigid untuk menerima falsafah, idea atau kajian saintifik daripada umat lain, khususnya yang mampu mengukuhkan kedudukan agama ini di mata dunia. Kita perlu akui bahawa cedukan, import dan pengambilan dari tamadun lain telah membantu sedikit sebanyak terhadap pembangunan tamadun Muslim atau merancakkan lagi kegiatan ilmiah dalam umat Islam. Dengan penyaringan, kita mengambil yang baik daripadanya untuk mencipta, mengembangkan, membina dan mengukuhkan apa yang telah ditinggalkan oleh tamadun lain demi kebaikan umat Islam.

Kedua, sebesar mana pun jasa seseorang untuk khidmat agama dan masyarakat Muslim serta tamadunnya, itu sama sekali tidak menafikan kesalahan yang ada pada seseorang itu dan tidak memberikan toleransi, apatah lagi pengiktirafan terhadap anutannya atau manhajnya atau pengamalannya yang silap dan menyimpang dari agama.

Jasa usaha pengislaman orang ramai sehingga tiga ribu orang bukanlah jumlah yang sedikit dan bukan mudah untuk seseorang mencapainya walau seorang pun. Kita sama sekali tidak memperleceh apa yang telah dia berikan bakti kepada agama ini. Namun, tokoh ilmuwan Muslim tetap sepakat untuk tidak menerima Muktazilah sebagai salah satu ajaran yang diterima dalam Islam meski banyak atau besarnya jasa kepada dunia Islam.

Kadangkala, kita melihat seseorang mengusulkan falasi Argumentum Ad Passiones atau penyandaran kepada emosi dengan menaburkan cerita-cerita hebat seseorang figura dalam berbakti kepada masyarakat, jihad untuk agama, membina imej yang baik kepada agama dan menceritakan detik derita, sengsara dan kesukaran yang dia hadapi seperti dipenjara, dipulau, disisih, dicela, dipertikai dan disakiti semata-mata agar orang ramai berkompromi ajaran yang dia bawa dan sebarkan atau berkemahuan lebih daripada itu lagi, iaitu penerimaan terhadapnya.

Padahal, kebenaran itu berasaskan hujah ilmiah, bukti dan kelurusan metodologi ilmu yang mapan dan sejati. Bayangkanlah sistem kehakiman kalau penerimaan kebenaran dakwaan hanya berdasarkan cerita emosional semata-mata, bukan pada pembuktian atau penghujahan. Bayangkanlah apa akan jadi pada institusi ilmu jika perlantikan ilmuwan hanya pada kisah hidupnya yang tragik, bukan pada tesis, jurnal atau penulisan ilmiah yang berdasarkan manhaj yang lurus.

Semuanya boleh musnah kalau kita hanya meletakkan pengiktirafan kebenaran hanya kerana dipaparkan kisah sedih, memilukan, tragedi yang menimpanya dan pelbagai lagi yang tragik tentangnya. Sebab itulah kita tidak perlu terkesan untuk menjadikan pengalaman hidup seseorang yang memeritkan atau jasa besar yang tidak ada kaitan sebagai merit dalam penerimaan kebenaran atau kemuktabaran pandangannya. Itu bukan kayu ukur atau neraca yang sah untuk arena ini.

Kita tidak perlu merasa fakir yang mana dengan menyingkirkan seseorang tokoh daripada umat Islam, seakan-akan kita tidak ada lagi apa-apa yang dapat dibanggakan untuk diwakilkan untuk umat Islam atau tamadun Muslim ke persada dunia. Ingatlah bahawa Allah jualah yang pelihara agama ini dan kemuliaan agama ini tidak berhajat dengan manusia, lebih-lebih lagi mereka yang menjadi penyimpang kepada ajaran agama yang tulen. Allah pasti akan melahirkan wali-Nya yang mampu menjadi kebanggaan umat Islam dalam mengharumkan nama agama ini di glob dunia ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/658785282714370048/wacana-ringkas-123-jasa-besar-dan-kebenaran

com/post/658785282714370048/wacana-ringkas-123-jasa-besar-dan-kebenaran

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now