Wacana Ringkas 81 : Maksud Sifat Allah Itu Tidak Berhajat Kepada Sesuatu

1 0 0
                                    

Dalam pewacanaan sifat Qiyāmuhu Binafsih bagi Allah dalam sifat salbiyyah, sebahagian orang tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh golongan al-Aš*ariyy secara khusus pada sifat Allah itu kaya daripada sekalian alam dan tidak berhajat kepada sesuatu yang lain. Hanya dengan bermodalkan "tidak berhajat kepada sesuatu", terus menjadi lesen yang halal untuk membenarkan iktikad tasybih kepada-Nya yang tidak layak kepada-Nya seperti mengatakan: "Allah itu menempel di atas Arasy, tetapi Dia tidak berhajat kepada Arasy".

Di sini saya ingin menjelaskan mengapa mustahil Allah itu berjisim dan mengisbatkan jisim bagi-Nya adalah kenyataan yang menunjukkan kecacatan bagi sifat berdiri dengan sendiri dan menunjukkan keberhajatan-Nya pada yang lain supaya kita faham apa yang dimaksudkan mustahil Dia itu berhajat pada yang lain.

Ini kerana pada kefahaman makna jisim itu sendiri. Tidak dinamakan sesuatu itu sebagai jisim jika tidak mengambil ruang dan bertempat. Maknanya untuk disebut sebagai jisim atau difahami sebagai jisim, maka ia berhajatkan pengambilan ruang. Maka, mustahil Yang Maha Suci itu berjisim kerana Dia tidak boleh disifatkan dengan jisim melainkan dengan adanya ruang dan berhajatkan kepada ruang. Ini sekaligus menafikan sifat Qiyāmuhu Binafsih. Tidak boleh sama sekali berkata Dia itu berjisim, tetapi tidak memerlukan ruang dan tempat kerana itu akan menafikan makna jisim itu sendiri, lalu ia menafikan kewujudan diri-Nya.

Kemudian, tidak boleh disifatkan dengan berpihak, iaitu boleh ditunjukkan dengan arah kerana penunjukkan arah tidak terjadi melainkan adanya ruang antara yang menunjukkan dan yang ditunjuk. Dan yang ditunjuk pula mesti bertempat dan mengambil ruang. Yang ditunjuk pula mestilah berjisim kerana jika tidak berjisim, maka ia tidak mengambil ruang dan tempat sehingga boleh ditunjuk. Maka, menafikan jisim bagi-Nya bermaksud menafikan bolehnya Dia ditunjuk. Kalaulah Dia sesuatu entiti yang harus ditunjuk pada kewujudan-Nya, bahkan sifat yang berdiri dengan zat yang Dia itu ditunjuk pastilah Dia berhajat pada ruang supaya Dia boleh ditunjuk.

Oleh itu, fahamlah kita bahawa maksud berhajat adalah jika tiadanya sesuatu yang lain, maka tiadalah ia dan sesuatu yang lain adalah menjadi sifat atau sesuatu yang wajib berdiri bagi zatnya. Maka, sama sekali tidak benar pendapat orang yang beriktikad bahawa Dia itu berada di atas Arasy secara pencampuran dan sentuhan, tetapi tidak berhajat pada Arasy. Hakikatnya, mereka menetapkan sesuatu yang lain, iaitu ruang, tempat dan jisim yang wajib berdiri bersama zat-Nya supaya cukup definisi pencampuran, sentuhan atau penempelan dan ini adalah sesuatu yang tertolak.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/652951287372103680/wacana-ringkas-81-maksud-sifat-allah-itu-tidak

com/post/652951287372103680/wacana-ringkas-81-maksud-sifat-allah-itu-tidak

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now