Wacana Ringkas 98 : Betapa Indahnya Kebenaran

2 0 0
                                    

Sebagai penuntut ilmu, kita sangat berharap agar kita memahami sesuatu perkara secara komprehensif dan juga di atas landasan kebenaran yang hakiki. Tidaklah kita kerahkan segala usaha dan mengorbankan segala-galanya hanya semata-mata untuk perkara yang melalaikan dan sesuatu yang tidak memberikan apa-apa faedah. Entusiastik ini sentiasa mendorong kita untuk meningkatkan diri kita kepada yang lebih unggul agar mencapai kebaikan yang Allah Tabāroka Wa Ta*ālā ingin berikan kepada hamba-Nya, iaitu kefaqihan terhadap agama.

Malangnya, sebahagian orang begitu tidak suka dengan entusiastik kita dalam meneroka erti sesuatu hakikat yang sebenarnya. Tatkala kita cuba mencari jawapan yang selari dengan al-Qur^ān dan as-Sunnah serta membuat penganalisisan istidlal dan istinbat, kita akan dikecam dengan pelbagai ragam. 

Sebenarnya, ini sangat menghampakan dan meluluhkan jiwa kita ketamakan kita untuk kebenaran dan pengkritisan yang kemuncak dibalas dengan noda-noda yang langsung tidak memberikan apa-apa faedah untuk penuntut ilmu. Sedang orang lain sibuk meneroka ilmu, mereka pula hanya menzahirkan kebodohan dan ekspresikan kebodohan yang semua ini adalah penyakit di jalanan samudera ilmu. Tentu sahaja sesiapa pun akan hampa dengan sesuatu yang hanya memberikan harapan pesimistik dan putus asa.

Walaupun begitu, penuntut ilmu perlulah tabah dengan rintangan ini dan sesekali tidak memberikan jantung kepada tikaman-tikaman ini. Sesungguhnya mereka adalah orang yang rugi kerana apabila Allah menyuruh untuk berpesan-pesna terhadap kebenaran, tetapi dia pula menghalang orang lain untuk memperoleh kebenaran. Kalau mereka mendakwa mereka berpesan kepada kebenaran, sebenarnya itu adalah ejekan dan herdikan yang tersembunyi di atas nama dakwaan mereka. 

Jangan sesekali bergelumang dengan arus mereka kerana pelayaran menuntut ilmu sangatlah jauh dan luas, bukan sesempit minda mereka. Menyerahkan jantung hanya untuk dibolak balikkan oleh mereka adalah kehampaan, sedangkan pemilik kebenaran adalah lebih berhak untuk orang beriman bertawakkal sepenuh hati.

Namun, apabila seseorang memperoleh kebenaran, tentu sahaja hal itu memberikan sebuah makna yang terindah dalam kehidupan ini. Apabila kita menemuinya, kita tidak lagi peduli kebatilan-kebatilan yang sebelum ini pernah seksa diri kita. Sesungguhnya kebenaran inilah kebahagiaan mutlak bagi setiap insan yang sentiasa mengharapkan kebaikan untuk dirinya. Dia lebih rela untuk menjadi kalah asalkan kebenaran dan keadilan tertegak. Kebenaran memang pahit, tetapi kepedihan yang dirasai lebih bererti daripada kesengsaraan hdup di alam fantasi.

Bahkan, nikmat di dalamnya tidak tertanding dengan apa yang pernah disediakan dalam fantasi. Seteguk manisan sungguh memberikan kelazatan dan kekenyangan yang memberikan kepuasan yang melebiihi dari kemewahan berbanding dengan selautan air yang diteguk dalam dunia fantasi yang hakikatnya langsung tidak melegakan kehausan. Sebab itulah penuntut ilmu sanggup dikalahkan oleh kebenaran berbanding bertemasya di dalam kebatilan, apatah lagi menanggung penderitaan di dalamnya.

Berikanlah kebahagian kepada orang lain kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain. Pasti Allah tidak akan mengurangkan bahagian untuk dirinya apabila kita memberikan yang terbaik untuk seseorang yang lain. Penuntut ilmu sejati akan sentiasa istiqamah dengan jalan ini sekalipun cabaran yang ditempuhi bukan calang-calangnya. Betapa redha Allah dan memenuhi tuntutan-Nya lebih bermakna daripada kepuasan makhluk-Nya yang tidak memberikan apa-apa manfaat.

Saya berseloka : 

اقْهَرْنِي بِالْحَقِّ # لَا تُعَذِّبْنِي بِالْبَاطِلِ

فَإِنَّ الْحَقَّ سَعَادَةٌ # وَالْبَاطِلَ شَقِيُّ السَّبِيلِ

Kalahkan aku dengan kebenaran # Jangan seksa aku dengan kebatilan

Sesungguhnya kebenaran adalah kebahagiaan # Kebatilan pula adalah kesengsaraan jalan

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653937211378728960/wacana-ringkas-98-betapa-indahnya-kebenaran

com/post/653937211378728960/wacana-ringkas-98-betapa-indahnya-kebenaran

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now