Wacana Ringkas 45 : Ketundukan Yang Total Adalah Ibadah

5 0 0
                                    

Firman Allah *Azza Wa Jalla :

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

"Mereka menjadikan paderi-paderi mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuan selain Allah. Sebegitu juga al-Masīḥ; anak Maryam. Mereka tidak disuruh melainkan untuk beribadah kepada tuhan yang satu. Tiada tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia daripada apa yang mereka mensyirikkan". [Surah at-Tawbah ayat 31].

حدثنا محمد بن بشار قال، حدثنا عبد الرحمن بن مهدي قال، حدثنا سفيان, عن حبيب بن أبي ثابت, عن أبي البختري, عن حذيفة: أنه سئل عن قوله: (اتخذوا أحبارهم ورهبانهم أربابًا من دون الله)، أكانوا يعبدونهم؟ قال: لا كانوا إذا أحلُّوا لهم شيئًا استحلوه, وإذا حرَّموا عليهم شيئًا حرَّموه.

Muḥammad bin Baššār telah merawi hadis kepada kami, dia berkata፥➤ *Abdul Roḥmān bin Mahdiyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata፥➤ Sufyān telah merawi hadis kepada kami➤ Daripada Ḥabīb bin Abū Ṭābit➤ Daripada Abū al-Buẖtarī➤ Daripada Ḥuḏayfah, bahawasanya dia ditanya tentang firman-Nya: {Mereka menjadikan paderi-paderi mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuan selain Allah}, "Apakah mereka menyembahnya?". Dia berkata: "Tidak. Dahulu mereka apabila menghalalkan sesuatu ntuk mereka, mereka menganggap ia adalah halal. Apabila mereka mengharamkan sesuatu ke atas mereka, mereka mengharamkannya". [Jāmi* al-Bayān Fī Ta^wīl al-Qur^ān, jilid 14, m/s 211, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut, tahqiq Aḥmad Muḥammad Šākir].

Daripada sini, ibadah yang dikira paling minimum adalah ketundukan yang total, ketaatan yang sehabisnya, pengagungan yang keterlaluan dan penerimaan secara total. Mereka mungkin tidak bersujud kepadanya atau melakukan ritual ibadah untuk menyanjungnya. Namun, cukup mereka ini diterima tanpa dipersoalkan disebabkan status keistimewaan mereka dan pemuliaan orang ramai kerana kedudukan mereka.

Tidak akan ada sesiapa yang mendakwa bahawa tokoh mereka adalah suci daripada kesalahan walaupun sebahagiannya terbongkar secara tidak langsung. Sebahagian mereka juga berkata bahawa syeikhnya adalah sama seperti manusia biasa yang lain. Namun, yang perlu diperhatikan adalah sikap mereka dan tanggapan yang mereka zahirkan pada sesuatu yang dianggap istimewa sama ada individu, hari atau tempat, bukan dakwaan atau kata-kata mereka semata-mata.

Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam «az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh» menyatakan bahawa wirid yang ada pada tarekat kesufian ini adalah bidaah.

Ini sememangnya tidak dihairankan dan ada kebenarannya. Ini kerana kebanyakan mereka apabila menerima wirid daripada syeikh ketika menyertai tarekat, mereka akan memandang besar terhadapnya dan memiliki keistimewaan apabila beramal dengannya jika dibandingkan dengan yang lain. Mereka menyimpan persangkaan bahawa wirid yang diterima itu akan menyampaikan hajat yang mereka cari.

Malah, mereka sanggup melaziminya dan tidak akan sesekali meninggalkannya apa yang dituntut untuk memenuhinya tanpa banyak mempersoalkan. Bahkan, ada sebahagian mereka sanggup mengqadha sebahagiannya atau keseluruhannya pada keesokan harinya apabila tertinggal pengamalannya pada hari semalam.

Padahal, zikir-zikir yang warid daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- tidaklah sampai ke tahap sebegini. Bahkan sebahagian mereka tidak merasa menyesal pun walaupun tidak mengamalkannya langsung dalam masa yang sehari, apatah lagi mengqadhanya. Mereka lebih sesali dan lebih merasa bersalah jika wirid yang diamanahkan syeikhnya untuk mengamalkannya tertinggal.

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now