Wacana Ringkas 136 : Mengapa Perlu Imbau Manhaj Salaf?

2 0 0
                                    

Kadangkala, apabila kita menyeru untuk kembali kepada manhaj salaf atau mengikut jejak langkah salaf dalam beragama, ada orang yang mungkin belum dikurniakan kefahaman melontarkan kemusykilan. Adakah dengan mengikuti salaf bermakna kita mengenepikan dan membelakangkan apa yang telah disumbangkan oleh khalaf? Apakah khalaf termasuk golongan yang salah atau penuh dengan kekusutan, lalu kerana itu kita membesar-besarkan manhaj salaf?

Sebenarnya, sebab utama kita perlu kembali kepada salaf adalah supaya kita tahu ke mana pendahulu kita telah tempuhi dan melangkah dalam meniti jalan yang lurus. Kita mengimbau sejarah yang lalu supaya kita pelajari dasar yang membina kefahaman mereka, sumber warisan asli agama dan hala tuju yang mereka pilih. Bukan untuk menyatakan apa yang dibawa khalaf itu adalah salah, lalu kita merendahkan apa yang telah mereka curahkan manfaatnya kepada umat.

Kehidupan kita pada hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai aliran yang adakalanya mengelirukan umat untuk memilih haluan dalam beragama. Sememangnya mudah untuk melaungkan agar umat Islam berpegang teguh dengan apa yang dibawa para ulama. Cuma, apa yang dimaksudkan ulama di sini? Kadangkala, pengitalakan ulama kepada individu atau sekelompok orang begitu kabur, subjektif, malah dieksploitasi untuk kepentingan tertentu atau masing-masing memiliki pandangan yang saling bercakaran tentangnya.

Bukanlah kita ingin meragukan kedudukan kesemua para ulama hari ini kerana ada sebahagian mereka sememangnya benar-benar iltizam dengan dasar yang dibawa oleh salaf. Akan tetapi, kelompok masing-masing atau setiap individu seringkali menamakan seseorang itu sebagai ulama dan mengenepikan seseorang yang lain daripada ulama sehinggakan para ulama itu hanya diiktiraf jika ia dari kelompok masing-masing. Manakala yang selebihnya mungkin akan ditendang keluar, diragukan atau sekadar menjadi mangsa eksploitasi demi kepentingan tertentu.

Sebab itulah *Aliyy bin Abū Ṭōlib -roḍiyallahu *anh- berkata :

اعْرِفْ الْحَقَّ تَعْرِفْ أََهْلَهُ

"Kenalilah kebenaran, nescaya engkau akan mengenali ahlinya". [At-Taḥbīr Šarḥ at-Taḥrīr Fī Uṣūl al-Fiqh, jilid 8, m/s 4112, keluaran Maktabah ar-Rušd, ar-Riyāḍ, tahqiq *Abdul Roḥmān al-Jibrīn, *Awḍ al-Qorniyy dan Aḥmad as-Sarrōḥ].

Kita tidak akan kenal seseorang itu sebagai ahli ilmu atau ahli kebenaran tanpa kita mengetahui terlebih dahulu tentang esensi kebenaran itu. Sebab itulah jangan terlalu terpedaya dengan nisbah ahli ilmu atau gelaran-gelaran yang disandangkan kepada seseorang sehingga kita mengambil bulat-bulat apa yang dia sampaikan dan apa yang dia bawa atau menjadikan seseorang itu satu-satunya piawaian dalam menentukan sesuatu kebenaran. Perhatikan terlebih dahulu manhaj dan pola pemikirannya, lalu kita susun di neraca untuk mengukur ketetapatannya dan keselariannya dengan kebenaran.

Lantas, bagaimana untuk kita tahu bahawa ilmuwan ikutan kita ini sebenarnya di manhaj yang lurus? Sebab itulah kita perlu imbau semula apa yang telah difahami dan ditempuhi para Sahabat -roḍiyallahu *anhum ajma*īn-. Kemudian, apa yang dibawa oleh tabiin -roḥimahullah ajma*īn-? Kemudian, apa pula yang ditempuhi oleh muridnya? Kemudian, apa pula yang diwarisi oleh mereka yang sesudahnya? Kemudian, apa yang menjadi teras pegangan bagi generasi seterusnya dalam bertaut di tali yang bersambung dengan generasi pendahulu mereka?

Sejarah akan memperkenalkan dan memberitahu keseluruhannya. Sebab itulah kita perlu menelaah karya-karya mereka atau menelaah cerita yang menjadi sumber kegemilangan lagi kebangaan buat umat Islam. Dari situ, kita tahu ke mana patut kita pergi dan sumber yang manakah sebenar-benarnya sejati dari pemahaman agama. Masing-masing dari kalangan mereka pasti ada perselisihan dan tidak sependapat dalam sesuatu isu atau beberapa daripada mereka ada kelainan yang tidak ada pada mana-mana yang lain sama ada pendahulu mereka atau sezaman dengan mereka. Akan tetapi, mereka tidak akan bercakaran dalam prinsip yang sama.

Kita tahu siapa yang menjadi pendamping untuk mereka jadikan ikutan dan teladan serta kita kenal siapa yang menjadi musuh mereka. Dengan berpegang dengan apa yang menjadi warisan mereka yang tulen, kita cakna jalan yang wajib kita ambil dan peka dengan seteru yang cuba merosakkan prinsip mendasar ahli sunnah, seterusnya agama Islam itu sendiri. Kita tidak akan tahu melainkan kita menggalinya dan mencari jalan kembali pada yang pangkalnya. Tiada siapa pun akan menafikan kepentingan untuk melihat semula apa yang pendahulu kita telah lalui untuk meraih manhaj yang jernih dalam hal ini.

Sebab itulah, jika kita berhadapan dengan kekeliruan dan kekusutan yang bertebaran di bumi umat Islam ini, maka jenguklah semula warisan asli para pendahulu kita. Sesiapa sahaja yang berpegang dengan apa yang dibawa mereka, akan terhindar daripada kecelaruan dan penyelewengan dengan izin Allah. Mengenal warisan yang asli akan melindungi kita daripada terheret dalam kacau-bilau penyimpangan dan kesesatan. Untuk kembali asli lagi gemilang, kembalilah ke tempat yang setiap orang akan mencarinya.

Bukannya seruan untuk kembali kepada salaf adalah hasrat untuk merendahkan karya-karya khalaf atau menutup ijtihad dariapda yang mendatang terkemudian, tetapi supaya kita  kenal di mana warisan asli kita di zaman ini yang mana masing-masing sedang berebut pengaruh untuk menjustifikasikan bahawa dialah yang paling benar dalam mengikuti Islam dan ahli sunnah secara khusus. Selagimana Allah pelihara karya-karya salaf daripada ditimbus zaman, maka manfaatkanlah dan lihatlah apa yang mereka tinggalkan untuk kita yang diwarisi daripada pendahulu.

Kemudian, perhatikan reaksi sebahagian orang. Apabila ada orang menzahirkan rasa tidak senang untuk seseorang menelaah karya-karya salaf atau berusaha untuk merobekkan kredibiliti beberapa karya tersebut sama ada secara terang-terangan atau halus atau bertindak untuk menegah seseorang daripada mendekatinya, maka kalian telah zahir musuh kalian. Kemudian, jika telah nyata pandangan generasi sesudahnya atau sezaman dengan kalian menyalahi apa yang telah kukuh daripada salaf, maka berpalinglah. 

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/661847503500640256/wacana-ringkas-136-mengapa-perlu-imbau-manhaj

com/post/661847503500640256/wacana-ringkas-136-mengapa-perlu-imbau-manhaj

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now