Wacana Ringkas 71

9 0 0
                                    

Taḥḏīr Al-H̱owwāṣ Min Akāḏīb Al-Quṣṣōṣ Karya Jalāluddīn As-Suyūṭiyy : Membentak Para Penglipur Lara Dalam Agama

Hari  ini yang penglipur lara diangkat dengan gelaran tokoh kenamaan agama  yang besar seperti tuan guru dan lain-lain

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Hari ini yang penglipur lara diangkat dengan gelaran tokoh kenamaan agama yang besar seperti tuan guru dan lain-lain. Padahal, penglipur lara ini adalah golongan yang paling keras ditentang oleh tokoh-tokoh hadis.

Rasanya memang patut umat Islam baca kitab Taḥḏīr al-H̱owwāṣ Min Akāḏīb al-Quṣṣōṣ karya Jalāluddīn as-Suyūṭiyy. Bagi saya, sememangnya patut didedahkan golongan penglipur lara yang membawakan hadis batil dan pendapat yang merepek dalam agama. Apabila karya ini diperkenalkan, diharapkan masyarakat lebih peka dan teliti untuk membezakan penglipur lara atau tokoh agama yang tulen. Malah, para penceramah juga elok menelaah karya ini supaya mereka menjadi orang yang berhemah ketika menyampaikan syarahan, pengajaran, kuliah dan ceramah kepada masyarakat.

As-Suyūṭiyy menjelaskan mengapa dia menulis karya ini. Diringkaskan cerita, dia pernah menegur seseorang menyampaikan hadis palsu di suatu majlis ilmunya. Dia menyatakan hadis itu batil dan tidak ada asal padanya. Dia juga menyuruh dia untuk memperbetulkan hadisnya melalui para syeikh hadis. Sudah tentu, penglipur lara itu bukan mahu menelan tegurannya. Malah, mengherdik dan membalasnya dengan nada yang sombong: "Orang seperti aku ingin membetulkan hadis melalui para syeikh hadis? Orang seperti aku dikatakan membawa hadis yang batil? Aku orang yang paling mengetahui dari kalangan penduduk bumi tentang hadis!". Penglipur lara ini terus memperdaya orang awam sehingga dia dicela, diugut bunuh dan rejam.

Melalui peristiwa tersebut, tidakkah serupa perangai bagaimana orang sekarang mempertahankan penglipur lara ini yang telah dibubuh dengan gelaran tokoh yang tertinggi? Apabila ditegur bahawa penglipur lara itu menyampaikan hadis yang salah dan palsu, pengikutnya membentak: "Apakah orang ini tidak tahu hadis? Apakah orang ini bodoh sangat sampai tidak boleh beza hadis sahih dan hadis palsu? Dia ini kan ulama besar di negari ini!".

Atas sebab inilah, dia menulis kitab ini bagi mengingatkan orang seperti ini dan mengingatkan orang ramai tentang bahaya para penglipur lara. Umat Islam akan bersyukur yang tokoh rujukan sufi ini juga tegas dalam periwayatan hadis dengan pembacaan karya ini. Selalunya para penglipur lara ini agak sukar menerima teguran tentang hadis yang batil daripada mereka yang berbeza aliran. Mengapa tidak melihat sendiri bagaimana pandangan tokoh daripada aliran sendiri?

Oleh sebab penglipur lara yang dibalut dengan aura ketokohan keagamaan yang disalut dengan gelaran ketinggian, orang ramai mudah terpedaya dan menempelak sesiapa sahaja yang menegurnya. Mereka sehinggakan tidak boleh celik untuk membezakan golongan yang terlalu sewenang-wenangnya menyampaikan hadis dan mereka yang sangat teliti dan menjaga kemurniaan hadis. Atas sebab itulah saya begitu menegaskan untuk pembacaan karya ini supaya mencambahkan cetusan pemikiran agar celik dalam membezakannya.

Kitab ini ada sepuluh fasal dan masing-masing memiliki mesej, peringatan dan penekanan yang bermanfaat yang ingin disampaikan. Fasal pertama, dia membawakan hadis-hadis yang mengancam orang yang berdusta terhadap Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Fasal kedua membicarakan tentang pengharaman meriwayatkan hadis-hadis dusta yang dinisbahkan kepada baginda. Mesej yang ingin disampaikan adalah penglipur lara ini adalah mereka yang tidak begitu teliti dan suka menyebarkan riwayat tanpa melakukan semakan semata-mata untuk merangsang dan mencandu orang ramai agar mendengar ceramahnya yang penuh mempesona dengan pelbagai cerita. Sikap seperti ini adalah kesalahan yang besar dalam agama.

Fasal ketiga membicarakan bagaimana para Sahabat -roḍiyallahu *anhum- dan tabiin begitu berhati-hati dalam memperbanyakkan periwayatan hadis kerana takut terlupa dan tergolongan dalam mereka yang diancam. Fasal ini mengingatkan penglipur lara yang seringkali banyak kalamnya dan panjang kalimahnya sehinga kerapkali terbabas menyampaikan yang tidak benar lagi batil kepada masyarakat semata-mata untuk menyedapkan halwa telinga melalui penceritaan dan kupasan yang lebih terperinci. Apa yang ingin ditekankan dalam fasal ini adalah supaya para penglipur lara terdidik untuk menahan lidah daripada suka bercakap.

Fasal keempat membicarakan keperluan untuk seseorang merujuk hadis kepada pakar hadis supaya dia tidak meriwayatkan hadis yang tidak ada asal baginya. Ini kerana penglipur lara biasanya adalah golongan yang tidak berkepakaran dalam bidang hadis. Meskipun dia menghafal pelbagai istilah dalam ilmu hadis dan tahu pendapat para ulama tentangnya, itu sama sekali tidak memberi bekas pada dirinya untuk menjadi lebih berhati-hati. Fasal ini mengingatkan para penglipur lara supaya sentiasa mendampingi dan merujuk pakarnya atau sumbernya demi sikap hemat dalam penyampaian hadis.

Fasal kelima membicarakan bahawa orang yang meriwayatkan hadis batil berhak dipukul dengan cemeti, diingatkan bahaya mereka, dihalang, diboikot, boleh diumpat kerana Allah dan membawakannya kepada pemerintah untuk dihukum. Dia juga membawakan pandangan ahli ilmu keharusan untuk dihukum bunuh terhadap mereka yang menyampaikan hadis palsu! Fasal ini mengingatkan supaya para penglipur lara berwaspada dalam menyampaikan hadis kerana betapa besarnya kedahsyatatan orang yang menyampaikan hadis-hadis palsu.

Fasal keenam ini mungkin agak unik. Ia tentang perkhabaran tentang tokoh ulama yang pernah bermimpi berjumpa Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang baginda mengingatkan orang yang meriwayatkan hadis yang batil. Dalam banyak cerita mimpi yang didakwa oleh penglipur lara, rasanya mimpi ini mungkin yang tidak diberi perhatian oleh mereka, bahkan mungkin yang ditakuti mereka.

Fasal ketujuh membicarakan tentang pengingkaran para ulama terhadap penglipur lara yang meriwayatkan hadis-hadis yang batil dan kebodohan orang awam yang mengikutinya. Fasal ini membawakan cerita-cerita tokoh hadis yang berdepan dengan penglipur lara dan orang ramai yang mengikutinya. Fasal ini bagus dibaca kerana kita boleh melihat bagaimana kepelbagaian perangai penglipur lara dan pengikutnya, kemudian buat refleksi pada zaman yang kita berada sekarang ini.

Fasal kelapan membicarakan tentang bagaimana ada orang jahat dalam kalangan umat Islam ini memalsukan hadis sampai mencecah berpuluh ribu hadis. Fasal ini cuba mendedahkan kepada para penglipur lara bahawa sememangnya wujud orang yang sengaja melakukan kebejatan dengan mereka pelbagai hadis palsu. Ia cuba memberi amaran kepada para penglipur lara agar tidak sama-sama menjadi orang yang serupa dengan keparat celaka seperti ini.

Fasal kesembilan dan kesepuluh adalah ringkasannya daripada kitab Zaynuddīn al-*Irōqiyy yang berjudul al-Bāʿiṯ *Alā al-H̱olāṣ Min Ḥawādiṯ al-Quṣṣōṣ serta beberapa penambahan untuk kitab tersebut. Bahagian ini khas mengumpulkan celaan terhadap para penglipur lara. Fasal ini cuba menerangkan kedudukan penglipur lara yang begitu hina dalam pandangan ahli hadis dan martabat mereka yang rendah dalam lapangan ilmiah.

Dengan ini, saya berharap semua penceramah seeloknya menelaah karya ini sebelum memulakan dakwah kepada orang ramai supaya mereka berhati-hati dalam penyampaian. Masyarakat juga perlu menelaah karya daripada tokoh yang menjadi rujukan semua supaya mereka mula mencelikkan diri untuk membezakan penglipur lara dan tokoh agama yang sejati.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/649060254192189441/wacana-ringkas-71-ta%E1%B8%A5%E1%B8%8F%C4%ABr-al-h-oww%C4%81%E1%B9%A3-min-ak%C4%81%E1%B8%8F%C4%ABb

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now