Wacana Ringkas 103 : Jangan Berputus Asa Dalam Mendalami Ilmu

1 0 0
                                    

Kita cakna bahawa betapa sukarnya menjadi ahli ilmu untuk sampai kepada kemuncak yang tertinggi, kita akan melihat beberapa orang tidak mampu meneruskan legasinya ke arena itu. Sama ada dia dikalahkan atau dia mengisytiharkan kekalahan dirinya. Terlalu sengit pertempuran di sana yang sama sekali tidak pernah untuk memberi belas kasihan bagi mereka yang melangkah ke medan tersebut. 

Kalau mereka berjaya pun, itu pun cuma sudut pada pengumpulan memori atau ketajaman akalnya, tetapi jantungnya tidak bercahaya dengan nur Allah kerana bisikan syaitan tidak pernah mengenal mana-mana peringkat. Hakikatnya, mereka kecundang dan diperbonekakan sama ada mereka sedar ataupun tidak.

Menyedari akan bahaya-bahaya yang ada pada tanah yang ganas itu, sememangnya hanya memberikan gambaran pesimistik bagi cita-cita terhadapnya dan sedikit sekali optimistik terhadapnya. 

Namun begitu, janganlah dia berputus asa daripada rahmat Allah. Berputus asa bukan semestinya tidak melakukan lagi setelah melakukan sesuatu, tetapi sentiasa membuka jiwanya untuk mempercayai bahawa ada harapan di dalamnya dan tekad terhadapnya. 

Penuntut ilmu bukanlah orang yang bermanja di dalam haluannya kerana dia akan menempuhi sesuatu yang mencabar yang kadangkala dia tidak pernah sangka sehebat itu. Biarpun telah seberapa banyak kegagalan yang dia tempuhi, terima dan lalui, itu sesekali tidak melunturkan keluhuran entusiasnya kerana kegagalan itu adalah sebahagian daripada sukses, bukan kontradiksi daripadanya.

Jika ingin mahir memasak pun, kita akan menghadapi jari terpotong, masakan hangus, terlebih rasa, terkurang rasa, tersalah kaedah masakan dan lain-lain kegagalan yang mana semua ini bukanlah keterbalikan daripada sukses, tetapi sebenarnya bahagian daripada sukses itu sendiri. Semua yang berlaku itu adalah pelajaran bagi kita bagaimana sebenarnya rasa yang betul bagi makanan itu. 

Jikalau kita tidak tahu kegagalan itu, kita sendiri tidak dapat memahami erti sebenar hasil masakan kita. Setiap sesuatu ada pelajaran bagi kita yang mahukan kita melihat sesuatu perspektif dengan lebih luas dan berlainan agar metodologi kita dalam berinteraksi lebih matang dan efisyen.

Jangan berputus asa terhadap rahmat Allah kerana kita tidak tahu di mana keampunan yang akan Allah berikan kepada kita dan di mana tempat yang akan merealisasikan kejayaan untuk diri kita. Sentiasalah percaya bahawa Allah sesekali tidak akan membiarkan hamba-Nya yang tekad untuk redha-Nya dalam sengsara yang tidak membawa apa-apa makna dan erti. Saya tahu sebahagiannya penat dalam menempuh jalan ini, maka dengan itu belajarlah untuk berehat, bukan berhenti dari perjalanan itu. Mudah-mudahan akan hal itu, kalian boleh bangkit kembali dan menyerlah sekali lagi.

Saya berseloka :

إِذَا تَعَلَّمَ الصًّبِيُّ مَشْيًا فَوَقَعَ خَمْسِينَ مَرَّاتٍ # فَلَمْ يَقُلْ لَعَلَّهُ لَيْسَ لِي بِمَلَكٍ

فَإِنْ تَشْمُسْ عَلَى التَّثَقُّفِ فَلَا مُعَاوِنَ لَكَ # فَإِنْ تَتَطَلَّعْ إِلَيْهِ فَلَا مَانِعَ لَكَ

Apabila bayi belajar berjalan, lalu terjatuh sebanyak lima puluh kali # Tidak pernah dia berkata ini bukan yang dapat aku miliki

Maka, jika engkau enggan untuk menimba pengetahuan, maka tiada siapa dapat menolongmu # Jika engkau berkeinginan untuk belajar, maka tiada siapa dapat menghalangmu

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654024200281030656/wacana-ringkas-103-jangan-berputus-asa-dalam

com/post/654024200281030656/wacana-ringkas-103-jangan-berputus-asa-dalam

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now