Wacana Ringkas 107 : Jangan Mempelekehkan Kemampuan Orang Awam

3 0 0
                                    

Kenapa perkataan "orang awam" selalu dikonotasikan sebagai orang yang dungu dan tidak ada kompeten langsung? Mereka mungkin tahap awam dalam ilmu agama, tetapi mereka ini sebahagiannya adalah golongan professional, berkemahiran dalam bidang mereka, pakar rujuk, pemegang PhD atau mereka yang berpengalaman lama dan luas dalam berfikir, menganalisis dan penglibatan dalam kajian. Jadi, orang awam bukanlah hanya pakcik makcik kampung terpencil yang berpencen daripada pekerjaan bertani yang buta huruf.

Jika golongan agamawan ini sedar hakikat ini, maka mereka tidak berhak sesuka hati meremehkan kemampuan orang awam dalam memahami dan menelusuri hal ehwal agama yang lebih mendalam. Hormatilah kadar intelektual mereka dan kemampuan mereka. Untuk apa tengking dan berang jika mereka bertanya tentang dalil dan berargumentasi dengan pendapat yang kita pegang? 

Peguam akan berfikir dengan cara peguam. Saintis akan berfikir dengan cara saintis. Detektif akan berfikir secara detektif. Masing-masing ada cara interaksi sendiri dalam garapan pengetahuan berdasarkan latar belakang pendidikan, kerjaya, karier dan pengalaman mereka. Itu memang tidak boleh dielakkan kerana ia telah pun bersebati lama dalam cara mereka menganlisis masalah. Apa yang agamawan perlu buat adalah rapatkan jurang dengan sesuaikan pendekatan, bukan mengkastakan mereka.

Jika agamawan masih menggunakan cara fikir atau interaksi yang tidak sesuai dengan zaman atau tempatnya, mengapa perlu hairan jika orang menjauhi agamawan sebagai tempat rujuk dalam sesuatu permasalahan apabila agamawannya hanya menampilkan kekolotan, kejumudan dan sikap tidak kompetitif? 

Contohnya bagi mereka yang menganggap bahawa ilmu sebenar hanya pada talaqqi sahaja, mengapa perlu mengamuk jika orang mengambil dan menelaah ilmu melalui internet, penulisan buku dan bahan elektronik seolah-olah itu adalah cara belajar sang heretik? Sedangkan kalau mereka datang menghadap bersemuka pun, mereka akan dengar penjelasan yang sama seperti apa yang ada dalam laman digital! Mereka memperbodohkan orang yang tidak mengambil ilmu dengan talaqqi dan langsung tidak menghargai usaha orang itu dan kualiti orang itu dalam dapatan mereka, kemudian mereka mahu orang tersebut memandang hormat kepada mereka?

Penulisan dan kuliah telah pun berlambak bertaburan di internet dan dalam bentuk digital. Sama ada bahan itu adalah yang berpemikiran sealiran dengan mereka ataupun tidak, ia sudah merata di pelbagai tempat. Agamawan perlu berusaha keras supaya mereka kekal relevan dan mampu berhadapan dengan apa jua cabaran semasa. Ini bukan lagi zaman orang mengembara antara benua dengan unta atau zaman berperang dengan tombak. 

Buka mata dan lihat zaman apa yang sedang mereka duduki! Sampai bila mahu terus ignoran keadaan semasa pada zaman dan tempat tersebut dan sampai bila mahu kekal menyalahkan perubahan tersebut? Agamawan perlu kreatif dan cekap, bukan sekadar mencengkam tradisi. Jika tidak mahu merenangi arus, maka mereka pasti hanyut dan didamparkan.

Di sini saya bukanlah untuk mengatakan bahawa biarkan sahaja tradisi pembelajaran talaqqi itu pupus atau biarkan sahaja orang mempersoalkan tentang agama sesuka hati. Saya cuma tegaskan bahawa apa yang agamawan boleh buat supaya mereka boleh menjadi relevan dalam pendirian isu tersebut? Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu. 

Agamawan mestilah bersikap kreatif dan jangan malas. Kalau sudah tahu ambil jalan ini, maka hadapilah risiko dan cabarannya. Janganlah sekadar sudah tamat pengajian, kemudian nantikan sahaja tuah datang bergolek atau kalau tidak ia datang seperti diharapkan, lontarkan kemarahan dan kekecewaan sahaja pada orang lain supaya tuah itu mendatang. Atau mengharapkan yang banyak dengan usaha yang sedikit.

Pun begitu, saya mengingatkan bahawa walaupun orang awam ini adalah pakar, berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang mereka, bukan bermakna mereka ada alasan untuk hentam keromo dalam pembelajaran ilmu agama. Sepertimana agamawan tidak berhak sesuka hati merendahkan orang awam, seperti itu juga orang awam yang berkemahiran tidak patut memandang remeh terhadap agamawan. 

Para agamawan juga sebahagiannya sudah lama mengerahkan usaha untuk belajar lebih mendalam dan bersusah payah menjadi pakar dalam bidang mereka ceburi. Masing-masing perlu saling hormati dengan bahagian yang mereka kompeten.

Raikanlah kekurangan agamawan jika ada dan toleranlah dengan kepelbagaian yang wujud. Mereka juga manusia seperti kita semua. Ada yang sangat tegas dan rigid, ada yang boleh bersikap fleksibel dan terbuka, ada yang berperwatakan kasar dan ada juga yang berperwatakan lemah-lembut. Sama seperti insan lain dalam bidang selain agama. Kalau kita boleh terima dan perakui pelbagai ragam manusia dalam bidang yang kita ceburi, kenapa kita perlu meletakkan keseragaman bahawa agamawan mesti ada cara tertentu sahaja?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654033114957479936/wacana-ringkas-107-jangan-mempelekehkan

com/post/654033114957479936/wacana-ringkas-107-jangan-mempelekehkan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now