Wacana Ringkas 122 : Hanya Pengajian Bersanad Menjamin Kefahaman Lurus?

5 0 0
                                    

Sebahagian orang mendakwa bahawa hanya pengajian secara bersanad sahaja satu-satunya yang menjamin kefahaman yang lurus kepada seseorang dalam pemahaman ilmu agama. Saya tidak menafikan sebahagiannya sangat penting untuk memiliki pengajian yang kefahamannya perlu sama sepanjang zaman seperti itu ilmu qiraat dan tajwid.

Cuma, ada sebahagian aspek, tidak menatijahkan sedemikian. Ini kerana dalam perawi hadis sendiri pun ada yang beriktikad dengan akidah yang menyalahi ahli sunnah, tetapi dalam masa yang sama menjadi rujukan penting dalam sesuatu bidang. Contohnya adalah Qotādah bin Di*āmah, salah seorang tokoh tafsir dan perawi hadis yang berkredibiliti. Aḏ-Ḏahabiyy menyebutkan bahawa dia menganut fahaman Qodariyyah :

 وَكَانَ يَرَى القَدَرَ - نَسْأَلُ اللهَ العَفْوَ -

"Dia menganuti fahaman Qodariyyah. Kami memohon kemaafan kepada Allah". [Siyar A*lām an-Nubalā^, jilid 5, m/s 271, keluaran Mu^assasah ar-Risālah].

Pun begitu, ia tidak menghalang seseorang untuk mengambil periwayatan hadis daripadanya dan kefahamannya pada tafsir al-Qur^ān, di samping menyaring akidah yang menyeleweng yang tidak dianuti sedemikian oleh pendahulunya. Begitu juga dengan Abū Ḥanīfah. Dia adalah Jahmiyyah. Sa*īd bin Sābiq berkata :

كُنْت مَعَ أمير المؤمنين موسى بجرجان ومعنا أَبُو يُوسُف، فسألته عن أَبِي حنيفة، فَقَالَ: وما تصنع بِهِ وقد مات جهميا

Dahulu aku bersama Amirul Mukminin, iaitu Mūsā di Jurjan dan kami juga bersama Abū Yūsuf. Aku pun bertanya kepadanya tentang Abū Ḥanīfah. Dia berkata: "Untuk apa engkau bertanya hal itu, padahal dia mati dalam keadaan menganut Jahmiyyah?". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱otīb al-Baġdādiyy, jilid 15, m/s 514, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Baššār *Awwād Ma*rūf].

Malah, kesaksian ahli hadis bahawa dia seorang Murjiah telah dirakam dalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl. Muqbil bin Hādī al-Wādiʿiyy telah menghasilkan karya yang baik untuk mengumpulkan pendapat-pendapat ahli hadis tentangnya yang berjudul Našr aṣ-Ṣoḥīfah Fī Ḏikr aṣ-Ṣoḥīḥ Min Aqwāl A^immah al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl Fī Abī Ḥanīfah. 

Meskipun dicela ramai ahli hadis pada zamannya dan zaman sesudahnya yang berhampiran dengannya, itu tetap tidak dipedulikan oleh generasi sesudahnya yang mengambil legasi ilmu daripadanya secara turun temurun yang bersilsilah tanpa putus tanpa menganut fahamannya yang menyeleweng dari tokoh ikutannya.

Malah, saya melihat tuduhan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy dan Abū Bakr al-H̱ollāl sebagai mujassim pada hari ini sama sekali tidak wujud persaksian tersebut oleh mana-mana ulama pun meskipun daripada al-Aš*ariyy setelah seribu tahun kewafatannya. Sekarang ini, mereka yang mendakwa hanya pengajian bersanad sahaja yang menjamin kefahaman lurus seseorang, maka mana sanad mereka untuk melontarkan tuduhan terhadap pemuka salaf yang terbilang ini? Atau mereka sendiri yang menyimpang dari pengajian bersanad mereka?

Perlu kita ingat bahawa pengambilan ilmu tanpa bersanad sebenarnya tidak ada masalah selagimana berpaksikan kebenaran. Dalam praktik periwayatan hadis pun bukan semua pengambilan ilmu hanya melalui pendengaran, tetapi ada juga daripada mushaf yang mana periwayatan itu adalah benar, lantas kita beriman terhadap kebenaran itu. Abū Ḥātim ar-Rōziyy berkata :

جالس سليمان اليشكري جابرا، فسمع منه وكتب عنه صحيفة، وتوفي وبقيت الصحيفة عند امرأته. وروى أَبُو الزبير، وأَبُو سفيان والشعبي عَنْ جابر، وهم قد سمعوا من جابر، واكثره من الصحيفة. وكذلك قَتَادَة.

"Sulaymān al-Yaškuriyy berdampingan dengan Jābir, lalu mendengar daripadanya dan menulis sahifah daripadanya. Kemudian, dia wafat dan baki sahifah ada pada isterinya. Abū az-Zubayr, Abū Sufyān dan aš-Ša*biyy meriwayatkan daripada Jābir. Mereka pernah mendengar daripada Jābir dan kebanyakannya daripada sahifah. Demikian juga Qotādah". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 4, m/s 136].

Jelas sekali bahawa periwayatan secara mushaf tidaklah salah dan mengambil ilmu daripadanya bukanlah sesuatu yang tercela. Abū az-Zubayr, Abū Sufyān, aš-Ša*biy dan Qotādah meriwayatkan daripada Jābir bin *Abdullah yang kebanyakan hadisnya adalah daripada mushaf yang ditulis oleh Sulaymān al-Yaškuriyy yang merupakan perawi yang berkredibiliti dan bukan daripada Jābir melainkan sedikit. Begitu juga dengan sikap penerimaan al-Buẖōriyy dalam periwayatan al-Layṯ bin Sa*d daripada riwayat *Ubaydullah bin Abū Ja*far.

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي جَعْفَرٍ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، عَنْ عُرْوَةَ ، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " مَنْ أَعْمَرَ أَرْضًا لَيْسَتْ لِأَحَدٍ فَهُوَ أَحَقُّ " . قَالَ عُرْوَةُ : قَضَى بِهِ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فِي خِلَافَتِهِ .

Yaḥyā bin Bukayr telah merawi hadis kepada kami; Al-Layṯ telah merawi hadis kepada kami, daripada *Ubaydullah bin Abū Ja*far, daripada Muḥammad bin *Abdul Roḥmān, daripada *Urwah, daripada *Ā^išah -roḍiyallahu *anh-, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, baginda bersabda: "Sesiapa yang mengusahakan tanah yang tidak dimiliki seseorang, maka dia memilikinya". Berkata *Urwah: "*Umar -roḍiyallahu *anh- menetapkannya pada pemerintahannya". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, kitāb al-Muzāro*ah, no. 2177].

Padahal, al-Layṯ bukanlah mengambil hadis *Ubaydullah bin Abū Ja*far melalui pendengaran, tetapi daripada kitab yang ditulis untukknya sepertimana pengakuannya sendiri :

حدثنا أبي، حدثنا إبراهيم بن المنذر، حدثنا ابن وهب، قال: قال الليث بن سعيد: لم أسمع من عبيد الله بن أبي جعفر، إنما كان صحيفة كتب إلي ولم أعرضه عليه.

Ayahku telah merawi hadis kepada kami; Ibrōhīm bin al-Munḏir telah merawi hadis kepada kami; Ibn Wahb telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Al-Layṯ bin Sa*d berkata: "Aku tidak pernah mendengar daripada *Ubaidullah bin Abū Ja*far, tetapi ia daripada sahifah yang dia tuliskan untukku dan aku tidak membaca secara hafalan di hadapannya". [Al-Marōsīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, m/s 180, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut].

Namun, al-Buẖōriyy tidaklah mencelanya, bahkan dia menilai sahih periwayatan tersebut. Ini menunjukkan bahawa pengambilan ilmu daripada mushaf bukanlah kecelaan, apatah lagi sesuatu perbuatan yang dianggap pendustaan di dalam agama.

Maka, tidak berhak sama sekali seseorang mencela sesiapa yang mengambil ilmu tanpa kaedah talaqqi kecuali mereka yang sanggup. Jikalau hasil pembelajaran yang secara bukan talaqqi menghasilkan lebih efektif daripada pembelajaran secara talaqqi, bahkan lebih benar daripadanya, maka lebih wajar untuk kita mengambil yang lebih baik daripadanya. Memandangkan agama ini sentiasa menekankan untuk mengikuti yang terbaik dan menjauhi kesia-siaan.

Sebab itulah dalam memahami pembelajaran secara bersanad ini, saya selalu sahaja mengongsikan pendirian Aḥmad bin Ḥanbal seperti berikut :

أخبرنا الحسين بن الحسن بن المنذر القاضي والحسن بن أبي بكر البزاز، قالا: أخبرنا محمد بن عبد الله الشافعي، قال: سمعت إبراهيم بن إسحاق الحربي يقول: سمعت أحمد بن حنبل وسئل عن مالك، فقال: حديث صحيح ورأي ضعيف. وسئل عن الأوزاعي، فقال: حديث ضعيف ورأي ضعيف. وسئل أبي حنيفة، فقال: لا رأي ولا حديث. وسئل عن الشافعي، فقال: حديث صحيح ورأي صحيح.

Al-Ḥusayn bin al-Ḥasan bin al-Munḏir al-Qōḍī dan al-Ḥasan bin Abū Bakr al-Bazzāz telah merawi khabar kepada kami, mereka berdua berkata; Muḥammad bin *Abdullah aš-Šāfi*iyy telah merawi khabar kepada kmi, dia berkata; Aku mendengar Ibrōhīm bin Isḥāq al-Ḥarbiyy berkata; Aku mendengar Aḥmad bin Ḥanbal ketika ditanya tentang Mālik, dia pun berkata: "Hadisnya sahih, tetapi pendapatnya dhaif". Ditanya tentang al-Awzā*iyy, dia pun berkata: "Hadisnya dhaif dan pendapatnya dhaif". Ditanya tentang Abū Ḥanīfah, dia pun berkata: "Tidak pada pendapatnya dan tidak juga pada hadisnya". Ditanya tentang aš-Šāfi*iyy, dia pun berkata: "Hadis sahihnya dan pendapatnya sahih". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱oṭīb al-Baghdādiyy, jilid 15, m/s 573, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf].

أخبرنا عبد الله بن أحمد بن محمد بن حنبل، قال: قال أبي: ابن أبي ليلى كان سيء الحفظ مضطرب الحديث وكان في فقه ابن أبي ليلى أحب إلينا من حديثه، حديثه فيه اضطراب.

*Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Ayahku berkata: "Ibn Abū Laylā seorang yang buruk hafalannya lagi bergoncang hadisnya. Aku lebih sukai fiqh Ibn Abū Laylā berbanding hadisnya. Hadisnya mempunyai kegoncangan". [Al-Jarḥ wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 7, m/s 322, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Cuba fahami mengapa pendapat Mālik bin Anas tentang sesuatu hadis tidaklah begitu kuat meskipun periwayatannya secara bersanad adalah sahih dan pendapat Ibn Abū Laylā dalam fiqh ada nilainya, tetapi tidak diambil periwayatan hadisnya secara bersanad di sisinya. Ini kerana dalam kefahaman tentang sesuatu, khususnya yang melibatkan penafsiran, persepsi atau pengambilan faedah daripada teks-teks agama tidak semestinya memerlukan sanad dari pendahulu selagimana ia berasaskan metodologi yang mapan kerana setiap orang sama ada sezaman atau berbeza generasi memiliki perbezaan sudut pandang, tahap keilmuannya, ketajaman akalnya, kecelikan dalam memahami masalah dan pelbagai lagi yang lain.

Prinsip Aḥmad bin Ḥanbal ini menepati yang disabdakan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ ، فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ .

"Semoga Allah memperindahkan seseorang yang mendengar hadis daripada kami, lalu dia menghafalnya, kemudian ia menyampaikannya. Kadangkala seseorang menyampaikan fiqh kepada orang yang lebih faqih daripadanya dan kadangkala orang yang menyampaikan fiqh tidaklah faqih". [Sunan Abū Dāwud, kitāb al-*Ilm, no. 3177].

Lihatlah. Boleh jadi orang yang terkemudian lebih faham tentang sesuatu hadis daripada pendahulunya. Ini membuktikan bahawa sanad sebagai satu-satunya sumber bagi menggapai kefahaman yang lurus adalah tidak tepat sekali meskipun pembelajaran bersanad ada keistimewaannya tersendiri.

Kemudian, ada yang membangkitkan kata-kata: "Sesiapa yang tidak berguru, maka gurunya adalah syaitan". Saya katakan, kalau begitu, adakah dengan pembelajaran berguru ini, maka gurunya adalah malaikat?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/658482106930020352/wacana-ringkas-122-hanya-pengajian-bersanad

com/post/658482106930020352/wacana-ringkas-122-hanya-pengajian-bersanad

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now