Wacana Ringkas 109 : Bertegas Dalam Memilih Guru

3 0 0
                                    

Bersikap tegaslah dalam memilih guru kerana dialah yang mengisi engkau dengan ilmu dan akan menjadi penyampai kepada kefahamanmu dan Kerana dialah nanti akan jadi sumber inspirasimu, doktrin pemikiranmu dan teladan kamu. 

Paling kritikal sekali adalah dia boleh sahaja menjadi punca untuk engkau membuat keputusan sama ada engkau mahu pilih kepada kebenaran atau menolaknya apabila hujah tersebut datang daripada orang selain guru kamu. Dialah menjadi punca untuk engkau memilih syurga atau neraka. Jikalau membeli kereta pun kita akan memilih yang terbaik, mengapa memilih insan yang akan menjadi pelengkap hidup dan pembimbing kita ke akhirat boleh main ambil sambil lewa sahaja?

Biarlah bilangan gurumu itu sebanyak yang boleh dibilang dengan jari, asalkan mereka itu menjamin keselamatan agama kamu, kefahaman kamu dan amalan hidup kamu. Ada orang menyuruh untuk pelbagaikan guru supaya seseorang itu tidak taksub dan jumud pemikiran. Ya, ia benar, tetapi masalahnya adalah siapa yang akan menjadi guru kepadamu?

Walau apapun syarat dan kriteria yang engkau letakkan untuk seseorang itu layak menjadi gurumu, tetapi ingatlah bahawa gurumu itu seorang manusia. Pada mereka ada kelebihan, ada kekurangan dan ada kelemahan. 

Apapun, guru yang berkualiti adalah guru yang tidak mandul. Maksudnya adalah ia akan melahirkan murid yang berkualiti dalam pemikiran, progresif, daya saing dan pengamalan yang benar. Sepertimana doktor yang berjaya adalah doktor yang mampu menyembuhkan pesakit dan melahirkan doktor yang hebat, maka seperti itulah guru yang cemerlang sepatutnya mereka serlahkan.

Tidak ada guna menjadi guru yang sekadar mewariskan kata-kata yang dihafal, lalu murid hanya menanggung ke sana ke sini untuk diserahkan kepada generasi seterusnya tanpa ada apa-apa penghayatan ilmu secara kritis dan intelektual. Ia seperti mewariskan tanah yang tidak mampu diusahakan. Seberapa banyak generasi yang diwariskan tanah itu, ia tetap tidak berguna apa-apa untuk dimajukan dan dimanfaatkan. Begitulah perumpamaan bagi guru yang mandul.

Apabila sang murid menemukan guru yang menepati kriterianya, bersyukurlah kepada Allah dan janganlah kufuri nikmat itu. Cubalah penuhi impian mereka dalam melahirkan pelajar yang mewarisi keunggulannya yang sesuai dengan dirimu untukmu menyerlah. Berilah khidmat yang terbaik untuknya jika engkau ingin mengaut berkat dan pahala melalui amalan tersebut.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654035007559565312/wacana-ringkas-109-bertegas-dalam-memilih-guru

com/post/654035007559565312/wacana-ringkas-109-bertegas-dalam-memilih-guru

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now