Wacana Ringkas 130

5 0 0
                                    

Isu Keimanan Susulan Tidak Dapat Diterima Jika Isu Kepercayaan Pada Yang Teras Tidak Wujud

Adakalanya, kita akan menemukan orang yang meminta justifikasi rasional dan fakta, khususnya secara saintifik tentang hal pensyariatan yang bersifat ta*abbudiyy seperti mengapa seseorang Muslim wajib melaksanakan solat lima waktu atau hal yang berkaitan perkhabaran ghaib seperti peristiwa Israk dan Mikraj.

Saya katakan, semua perkara ini sememangnya tidak dapat dibuktikan secara rasional atau memaparkan taburan data secara fakta. Umat Islam mempercayainya dan melaksanakannya atas dasar kepercayaan yang utuh kepada Allah yang bersifat Maha Benar dan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang membawa perutusan yang benar. 

Kalau semua dapat dibuktikan secara rasional atau secara dapatan pancaindera atau melalui kertas kajian, tidak ada guna lagi ia dipanggil kepercayaan. Jika kita melihat alam ini melalui deria penglihatan kita, maka apa yang kita lihat lagi secara nyata bukanlah sebagai kepercayaan, tetapi kenyataan dari pancaindera.

Dalam kehidupan seharian pun, kita bukan tahu hakikat semua perkara yang berupa perkhabaran daripada seseorang atau sumber. Cukup dengan hanya beberapa perkara sahaja yang menepati ketepatan faktanya sudah memadai untuk kita meletakkan kepercayaan kepada laporan, berita dan perkongsian riwayat pada seseorang itu atau sumber. Hakikat kebenaran tersebut sama ada memang tidak akan diketahui selama-lamanya atau kita perlu menunggu masanya untuk melihat. Mengapa dalam isu yang melibatkan kepercayaan dalam agama mahu digeladah kesemuanya sehingga tampak di hadapan mata barulah ingin disebutkan bahawa sumber agama itu berkredibiliti?

Jika kita sebagai tentera bawahan pun, kita pun mempercayai keputusan dalam kordinasi operasi adalah dari kebijaksanaan pihak atasan sehingga kita akan menuruti sepertimana yang diperintahkan. Tentu lagi kita tidak mempersoalkannya. Namun, kita tidak akan melaksanakan kordinasi tersebut jika dari awal lagi kita tidak mempercayai pihak atasan itu sendiri. Maka, sebegitulah dalam isu perkhabaran ghaib dan pensyariatan yang bersifat susulan. Ia tidak akan dipercayai dan dilaksanakan jika isu yang utama tidak mendapat kepercayaan terhadapnya.

Sebab itulah umat Islam, khususnya para pendakwah tidak perlu membebankan diri dalam melayani persoalan yang melibatkan kepercayaan dalam isu susulan seperti yang disebutkan tadi. Contohnya adalah kata-kata seseorang: "Saya tidak akan menerima Islam sebagai agama saya selagimana saya tidak tahu rasional daripada perlaksanaan solat lima waktu!". Begitu juga dengan orang yang mengingkari beberapa bahagian tentang zat dan sifat Allah: "Saya tidak beriman dengan Allah jika tuhan yang dimaksudkan bukan itu dan ini".

Ia memang tidak akan dihadam jika adanya pertikaian pada isu yang teras. Mereka tidak akan dapat menerima isu-isu kepercayaan yang lain jika hakikat pada isu yang akar tidak jelas pada mereka. 

Cukuplah untuk membuktikan beberapa kebenaran daripada Allah, kebenaran daripada rasul-Nya dan isi atau intipati yang ada dalam agama ini. Setelah nyata hal ini padanya, maka isu keimanan susulan seperti perlaksanaan solat, isu keimanan kepada malaikat dan lain-lain lagi yang berupa perkhabaran dan pensyariatan mudah untuk diterima dan disebatikan kepercayaannya.

Samalah seperti kes seseorang mempertikaikan kerja yang berat, lebih masa dan pelbagai tugas. Kita sepatutnya menjelaskan bahawa ia berbaloi dengan gaji yang dibayar, komisyen yang diperoleh, elaun yang ditawarkan serta beberapa kelebihan dan faedah yang lain. Pada masa itu, barulah pertikaian itu kalau tidak terpadam, sekurang-kurangnya dilegakan dan diredakan. Seperti itu jugalah dalam kes keimanan ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/659893818883244032/wacana-ringkas-130-isu-keimanan-susulan-tidak

com/post/659893818883244032/wacana-ringkas-130-isu-keimanan-susulan-tidak

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now