Wacana Ringkas 62 : Di Mana Kepentingan Bahasa Arab Bagi Seorang Faqih?

26 0 0
                                    

Muḥammad Muṣṭofā al-Marōġiyy berkata setelah membawakan syarat-syarat mujtahid :

ومعظم هذه الشروط يشتمل عليه ثلاثة فنون: الحديث ، واللغة ، وأصول الفقه. وولقد جمع العلماء آيات الأحكام في غير ما كتاب ،

Bahagian gadang pada syarat-syarat ini merangkumi tiga kemahiran; hadis, bahasa dan uṣūl fiqh. [Al-Ijtihād Fī al-Islām, m/s 17, keluaran al-Maktab al-Faniyy Li an-Našr].

Nasaie Hanaffie menyebutkan bahawa langkah permulaan yang mengeluarkan seseorang daripada status orang awam adalah bahasa Arab. [Rujuk : https://www.facebook.com/nasaie.hanaffie/posts/10211834948006632].

Mungkin ada yang tidak nampak gambaran di mana kepentingan bahasa Arab bagi seseorang yang ingin menjadi faqih. Di sini, saya akan kongsikan secara ringkas.

Jika sesiapa yang menelaah karya uṣūl fiqh, pasti akan menemui perbahasan tentang al-Amr, iaitu perintah dan an-Nahy, iaitu larangan. Salah satu topik yang dikupas adalah bentuk-bentuk perkataan yang membawa makna bagi al-Amr atau an-Nahy. Untuk memahami hal ini, mahu atau tidak mahu, kemahiran bahasa Arab sangat diperlukan supaya seseorang dapat mengambil faedah daripada kupasan ini. Tanpanya, ia seperti seseorang yang hanya membaca sahaja, tetapi tidak dapat memahaminya. Sekalipun sudah ada terjemahan untuk karya ilmu ini, untuk memahami kandungan dalam kupasan al-Amr dan an-Nahy, ia memerlukan bahasa Arab.

Dalam usul fiqh juga ada membahaskan praktik kemahiran bahasa Arab seperti lafaz al-*Ām dan al-H̱ōṣ. Ini boleh dikatakan merangkumi seperempat dalam tema pembelajaran ilmu ini. Itu belum lagi jika kita menelaah dunia kajian ilmu ini yang membahaskan secara terperinci, mendalam, tuntas dan khusus yang berbentuk tesis, jurnal atau karya analisis. Sesiapa yang biasa dengan ini, pasti akan melihat bahawa betapa pentingnya penguasaan bahasa Arab untuk menelusuri selok belok perbahasan.

Apabila seseorang tidak menguasai ilmu uṣūl fiqh, dia tidak terbekal dengan ilmu alat yang penting dalam penafsiran teks-teks agama dan metodologi sistematik dalam pemikiran fiqh. Sesiapa sahaja yang menguasainya, maka dia boleh mendaftarkan diri untuk menjadi mujtahid! Sesiapa yang tidak menguasai ilmu ini, maka pemisah antara orang awam dan faqih sangat jelas.

Cukuplah dengan menjengah perbahasan al-Amr dan an-Nahy. Bagi yang tidak memahami bahasa Arab, jika dibentangkan ayat-ayat al-Quran, kemudian ditanya yang mana satu daripadanya lafaz perintah, pasti jelas antara dua darjat.

Sekarang, untuk yang bergelar ustaz, tetapi tidak ada kemahiran bahasa Arab. Bagaimana agaknya jika mereka semua ini sedar hakikat bahawa mereka sama-sama seperti sang awam yang apabila dibentangkan ayat al-Quran, masing-masing tidak mampu mengambil istifādah daripada bahasa Arab tersebut? 

Bukanlah saya ingin kata bahawa tahap pendakwah kita sama dengan orang yang tidak pernah belajar langsung. Mereka mungkin masih di tahap awam, tetapi mereka berada di tahap awam yang tinggi. Jika yang menguasai bahasa Arab pun ada beza darjat antara sang mujtahid dan yang bukan mujtahid, sudah tentu lagi orang awam juga ada tahap yang berbeza.

Apapun, sekarang ini, kemahiran ilmu alat penting ini tidak ada disebabkan kejahilan bahasa Arab. Lihat apa yang disebutkan Taqiyuddīn as-Subkiyy  :

فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون

"Sesungguhnya ahli uṣūl meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". [Al-Ibhāj Fī Šarḥ al-Minhāj, jilid 1, m/s 7, keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Sekarang, apabila uṣūl fiqh sangat mementingkan bahasa Arab, maka pelajarilah bahasa Arab terlebih dahulu jika benar ingin menjadi faqih. Ingat! Ilmu uṣūl fiqh adalah ilmu yang paling krusial dan vital untuk seseorang menjadi faqih, malah untuk menjadi mujtahid.

Untuk memahami lebih lanjut kepentingan bahasa Arab dan perkaitannya dengan kemahiran ilmu uṣūl fiqh, dipersilakan membaca buku *Alāqoh *Uṣūl al-Fiqh Bi *Ulūm al-Luġoh al-*Arobiyyah karya Jamīl bin *Abdul Muḥsin bin Ḥamd al-H̱olf.

Kadangkala, sangat menghairankan ada orang mahu mendalami kitab yang kalau kita dengar judulnya dan nama penulisnya, cukup membuatkan seluruh kulit kita menggeletar dan mulut kita terngaga dan terkelu lidah.

Namun, apabila ditanya tentang bahasa Arab, mesti kita jumpa jawapan yang berbentuk dalih atau nampak seperti tidak ada minat yang kuat atau meletakkannya sebagai keutamaan. "Bahasa Arab susah! Serabut kepala aku dengan pelbagai perkara!".

Apa pun alasan untuk tidak mahu mempelajari bahasa Arab sebagai keutamaan yang tertinggi, cubalah jamin kepada semua orang bahawa dia boleh memahami perbahasan an-Nahy, al-Amr, al-Ām dan al-H̱ōṣ tanpa memahami bahasa Arab dan jamin bahawa kamu boleh aplikasikan kefahaman itu tanpa bekalan bahasa Arab apabila membaca teks-teks agama, iaitu al-Quran dan hadis.

Percayalah bahawa tanpa bahasa Arab, banyak tempat akan menemukan kesulitan apabila mereka tidak mahu mempelajari bahasa Arab. Selagimana enggan untuk mendalami bahasa Arab, ikut tertib walau bagaimana sekalipun dalam pengajian, ia tidak akan mendapat nilai faedah yang sama sepertimana orang yang terisi dadanya dengan bahasa Arab.

Berakut-rakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Biar kepala kita pecah kerana mempelajari bahasa Arab. Mereka yang mahu langkau bahasa Arab, pasti akan disadai kebingungan yang lebih teruk apabila melangkah ilmu yang berhajatkan penguasaan bahasa Arab.

Apabila belajar bahasa Arab, baru ilmu yang baru akan ditarik dan digapai dengan pantas. Mudah-mudahan sedemikian.

Bagi mereka yang masih belum ada kemahiran bahasa Arab, saya mendoakan agar tercapai hajat untuk menggapai kefaqihan yang dijanjikan kebaikan dari Allah. Bagi yang telah menguasai bahasa Arab, mudah-mudahan kita berada di atas jalan kebenaran, istiqamah di dalamnya dan sentiasa dibimbing serta dirahmati di dunia dan di akhirat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/639295521480196096/wacana-ringkas-62-di-mana-kepentingan-bahasa

com/post/639295521480196096/wacana-ringkas-62-di-mana-kepentingan-bahasa

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now