Wacana Ringkas 176 : Liberal Dan Sumber Rujukan Agama Mereka

3 0 0
                                    

Sungguh melucukan apabila ada liberal berhaluan kiri sangat menekankan untuk pembacaan Das Kapital karya Karl Max bagi sesiapa yang mengambil haluan kiri atau menjadi sosialis. Bahkan, dalam pembacaan karya-karya falsafah pun, dia sangat menekankan untuk membaca karya pemukanya dan tokohnya.

Namun, dalam masa yang sama, ketika memberi pandangan tentang Islam, dia sama sekali tidak pernah membaca karya-karya ahli ilmu dari kalangan Muslim, khususnya dari aliran ahli sunnah. Adakalanya, kita menantikan bila lagi dia akan menukilkan pandangan daripada para sahabat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, para tabiin dan para ulama sesudahnya yang teguh di atas jalannya. Akan tetapi, yang ada hanyalah pandangan mereka sendiri yang melalut, berterabur dalam pengaplikasian kaedah, tidak dapat membezakan majaz dan hakikat serta pelbagai lagi kerancuan yang lain.

Setidak-tidaknya sufi dari kalangan Bāṭiniyyah pun tahu rujukan utama dan pemahaman yang ortodoks dalam golongan zahir. Mereka tahu bahawa untuk memahami aliran al-Aš*ariyy, sepatutnya dibaca karya al-Juwayniyy, Abū Ḥāmid al-Ġozāliyy, Faẖruddīn ar-Rōziyy, Ibn Fūrok, al-Bāqilāniyy, as-Sanūsiyy dan lain-lain. Mereka tahu bahawa untuk memahami mazhab fiqh aš-Šāfi*iyy sebagai contoh, sepatutnya didahulukan pandangan an-Nawawiyy atau ar-Rōfo*iyy. Sebegitulah seterusnya dalam mengambil dan memberikan pandangan tentang sesuatu aliran atau Islam secara umum walaupun anutan mereka dalam Bāṭiniyyah tidak dapat dipertahankan dengan baik.

Yang menghairankan adalah liberal ini dalam berbicara tentang hadis, mereka lebih suka mengambil pandangan orientalis Barat atau dari orang yang tidak mengerti bahasa Arab, bahkan mereka mengambil dari tokoh yang meragui keabsahan al-Qur^ān itu sendiri, kemudian cuba bersuara bagi mewakili agama ini. Dari sini, sudah cukup untuk mengumbar hipokrit mereka sendiri. Bagaimana mereka sanggup mengambil pandangan dari orang yang tidak ada kepedulian terhadap Islam, bahkan menyimpan rasa kebencian dan meluat yang mendalam terhadap agama ini menjadi suara formal dalam pandangan agama, kemudian berbangga bahawa inilah pandangan yang benar untuk agama yang mulia ini?

Kenapa dalam isu falsafah, politik dan ekonomi ditekankan secara bersungguh-sungguh untuk mengamati karya dari pemukanya, tetapi dalam hal ehwal Islam, diambil apa sahaja yang secocok dengan keinginannya dan lensa pemikirannya? Mereka berang jika para agamawan yang memburukkan komunisme tidak pernah membaca karya Karl Marx atau tokohnya. Namun, apa yang mereka buat dalam memberi pandangan tentang Islam? 

Yang melucukan jawapan daripada mereka adalah kerana umat Islam terpecah kepada pelbagai aliran seperti sunni, syiah, wahabi, qadiani dan lain-lain. Kalau begitu, apakah sosialisme, konservatif dan lain-lain hanya satu pemikiran sahaja? Apakah para tokoh dalam ideologi masing-masing tidak ada perbezaan antara satu sama lain sama ada pada terasnya atau cabangnya?

Agama mereka adalah sekadar untuk melawan arus perdana dan sekadar untuk menyelisihi yang menjadi pegangan ortodoks, bukan kerana berasaskan hujah dan kebenaran. Mereka memilih jalan itu hanya kerana untuk menghamburkan rasa tidak puas hati terhadap pandangan agama arus perdana yang banyak mengokong dan menyulitkan mereka atau memberontak terhadap sebagai agamawan yang dianggap membebankan hidupnya lagi dibenci untuk diikuti atau menjustifikasikan apa sahaja yang mereka mahu. Ini adalah agama budak-budak yang rebel kerana tidak dapat permainan yang dimahukan, bukan matang dan rasional. 

Ibn Taymiyyah sekalipun menghasilkan karya untuk membantah ijmak yang didakwa Ibn Ḥazm al-Andalusiyy melalui Marōtib al-Ijmā* Fī al-*Ibādāt Wa al-Mu*āmalāt Wa al-I*tiqōdāt, tetapi cara penghujahannya adalah bersesuaian dengan cara yang dipanggil sebagai fundamentalis, konservatif, ortodoks dan tradisionalis. Tetap juga ada penghujahan dari al-Qur^ān, as-Sunnah dan menukilkan pandangan ulama. Bukan hanya merengek.

Sebegitu juga *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam menyelisihi sekalian ulama dalam isu penaskhan pembacaan untuk sebahagian ayat al-Qur^ān melalui kitabnya Ḏawq al-Ḥalāwah Bi Imtinā* Nasẖ at-Tilāwah. Sekurang-kurangnya dia tidak bercakap kosong, berhujah sepertimana cara tradisionalis, fundamentalis, konservatif dan ortodoks berhujah dan tidak hanya bersikap memberontak seperti budak liberal. 

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now