Wacana Ringkas 79 : Helah Sufi Dalam Mempertahankan Ketaksuban Terhadap Tokohnya

3 0 0
                                    

Sejarah Muslim telah mencatatkan bahawa kita pernah menempuhi zaman ketaksuban mazhab yang setiap fuqaha daripadanya berusaha habis-habisan untuk merebut pengaruh mazhab dalam suatu tempat, mempertahankan kesemua pendapat dalam mazhab meskipun ia adalah salah dan berseteru dengan mazhab yang lain. Ini juga yang berlaku dalam aliran akidah.

Jika ada fuqaha dan tokoh akidah yang memiliki sikap ketaksuban mazhab atau terhadap imam ikutannya, sudah tentu lagi sufi juga memiliki ketaksuban dalam mempertahankan tokohnya, khususnya yang dianggap wali Allah. Malah, boleh dikatakan bahawa ketaksuban mereka lebih keras daripada ketaksuban fuqaha dan tokoh akidah, tetapi mungkin tersembunyi dan tidak mudah disedari sikap ketaksuban tersebut. Kita lihat sendiri bagaimana cara mereka membentangkan alasan ketika mempertahankan tokoh-tokoh sanjungan mereka daripada dikritik.

Menurut sufi, terdapat tiga cara untuk berinteraksi dengan teks atau kenyataan dari seseorang tokoh yang dianggap wali yang zahirnya jelas menunjukkan kepada kesalahan, penyimpangan, malah kekufuran jika cara takwil tidak mampu dilakukan. Yang pertama adalah menyangka baik bahawa penyebutannya ada istilah atau makna yang hanya ahlinya mengetahui hakikat sebenarnya. Yang kedua adalah bahawa yang mengungkapkannya berkeadaan mabuk kerohanian atau melatah atau keadaan diri yang di luar kawalannya. Yang ketiga adalah adalah jika kalam itu disampaikan melalui khabar, ia diandaikan sebagai dusta, rekaan atau sisipan palsu dari arah yang tidak diketahui. 

Untuk yang pertama, kita mesti cakna bahawa ada batasannya untuk bersangka baik. Kalau fuqaha dan tokoh akidah mengatakan kalam yang bertentangan dengan al-Qur^ān dan hadis, maka alasan sangka baik seperti tanggapan bahawa para imam memiliki dalil yang generasi sesudahnya tidak mengetahuinya atau sepertimana yang dilakukan sufi tidak boleh diambil kira, bahkan ditolak tanpa perlu ragu. Jika ia adalah kalam bidaah, maka jelas perlunya penyifatannya sebagai bidaah. Dan begitulah seterusnya.

Jika sufi beri alasan bahawa para wali Allah memperoleh suatu kefahaman yang diperoleh dari Yang Maha Penyingkap rahsia, saya katakan, barangsiapa yang menganggap lekeh kemampuan ilmu yang diperoleh tokoh akidah dan fuqaha secara usaha dan mengikut adat yang sistematik adalah lebih rendah kualitinya berbanding apa yang diperoleh daripada sufi yang kononnya diperoleh dengan cara mencarik adat, maka dia telah melakukan sejelek-jelek sangkaan. Demi Allah! Terdapat ramai lagi sarjana akidah dan fuqaha yang merangkul wali Allah dan darjat yang tinggi yang para sufi tidak akan sama sekali berani meninggikan tokoh sufi mereka melebihi mereka semua. Sebut sahaja al-Buẖōriyy, Muslim bin al-Ḥajjāj, Aḥmad bin Ḥanbal, aš-Šāfi*iyy, Mālik bin Anas, aṯ-Ṯawriyy dan lain-lain dari kalangan jaguhan salaf.

Kesemua tokoh ini memperoleh ilmu yang luas, kefahaman yang tajam, pemerhatian yang teliti dan pembukaan akal daripada Allah untuk membezakan riwayat yang sahih dengan batil dan pendapat yang diterima dengan yang ditolak. Inilah karamah yang Allah berikan kepada mereka sehingga mereka diunggulkan darjat mereka setelah mereka bersungguh-sungguh merantau mencari hadis, mempelajari ilmu secara sistematik dan berpanjangan dalam fikir. Sangat buruk bagi para sufi yang menyangka perolehan ini adalah perolehan rendahan jika dibandingkan apa yang diperoleh para sufi.

Limpah karamah yang Allah berikan kepada para sarjana akidah dan fuqaha ini akhirnya disemak, disaring, diuji, diperiksa dan diteliti supaya generasi sesudahnya menggali manfaat daripada mereka, melihat kedudukan sebenar bagi tokoh yang dikaji dan nyata keunggulan di mata mereka. Kitab Iḥyā^ *Ulūmiddīn karya al-Ġozāliyy sebagai contoh dikritik, tetapi para ulama sesudahnya memberikan khidmat menyaring, mentakhrij dan pembetulan, lalu dengan itu dia diangkat ke kedudukannya yang selayaknya dengannya. Maknanya, setiap karya para ulama yang mungkin sahaja peringkat perbahasan ilmunya jauh lebih tinggi daripada apa yang dicapai sufi mendapat tempat yang mulia setelah ahli ilmu sesudahnya menilai dan meneliti.

Tiba-tiba sang sufi ini memberi alasan bodoh seperti itu yang tokoh akidah dan fuqaha pun akan sedar bahawa itu adalah kalam orang yang taksub dan orang yang enggan mengakui kebenaran, realiti penyimpangan tokohnya dan sebagainya. Sekurang-kurangnya pihak kedua-dua ini ada garis panduan, kriteria, manhaj, metodologi dan usul untuk setiap orang yang memahaminya dalam menentukan salah dan benarnya. Di mana pula bahagian kesemua ini untuk sufi sehingga setiap orang dapat membezakan kebenaran dan kebatilan, seterusnya membezakan wali Allah dan wali syaitan sepertimana setiap orang dapat membezakan fuqaha yang berwibawa dan si dungu melalui metodologi yang digariskan?

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now