Wacana Ringkas 32 : Kritis Dengan Bukan Muslim, Tetapi Mendungukan Yang Muslim

10 0 0
                                    

Antara yang menghairankan adalah seseorang sanggup berwacana kritis dengan yang bukan Muslim dalam memaparkan betapa hebatnya agama Islam ini dalam mendepani cabaran ilmiah dan tentangan pendapat yang mendatang kepadanya. Meskipun degilnya atau sombongnya atau kerasnya penentangan yang bukan Muslim terhadap Islam atau rendahnya kemampuan ilmunya, mereka sanggup bersabar melayani karenahnya dan kekalkan sifat ilmiah. Namun, apabila sesama Muslim ingin melakukan yang sama, maka bagi mereka, cukup orang ini menjadi keldai yang taat yang tanggung kitab ke sana ke mari. Mereka menganggap bahawa urusan ini hanya untuk mujtahid dan cukup mereka menjadi pendiam dan telan sahaja apa yang disuapkan. Walaupun ingin meminta kepastian untuk memahami dalil atau mahu berbincang dengna serius supaya dapat pemahaman yang tahqiq, tetap diherdik dan tidak dilayan mesra. Jauh berbeza layanannya.

Bukanlah bermaksud kita meredhai sang bodoh ingin berlagak pandai atau mahu merebut pingat juara pada bahagian yang bukan kemampuannya. Namun, kita berbicara tentang sikap. Mengapa ada dua cara pendekatan yang berlainan? Seolah-olah yang bukan Muslim mendapat akses yang luas kepada pengetahuan yang tuntas dan ruang diskusi yang banyak, tetapi yang Muslim langsung tidak dapat hak yang sama dengan mereka. Seolah-olah mengajak kepada pemantapan ilmu ini hanya untuk yang bukan Muslim, tetapi yang Muslim yang berkeinginan untuknya, seterusnya kepada pemantapan iman langsung diperkecilkan ruangnya.

Tidak ada pula herdikan "anda bukan mujtahid", "apakah anda ulama?", "ini urusan orang yang di tahap tinggi, bukan untuk tahap rendahan seperti anda" dan lain-lain terhadap yang bukan Muslim. Mereka dihadapi dengan tenang dan sabar, senyuman dan layanan mesra walau macam mana pun sikap mereka yang cukup menyampah dan membengangkan jiwa atau diketahui bahawa mereka tetap akan mengingkarinya walau dijelaskan. Meskipun, dipertikaikan dalil-dalilnya, mereka tetap menjelaskan bagaimana ahli ilmu memahaminya dan ia adalah benar walaupun mereka tahu itu bukan tahap mereka. Namun, dengan yang Muslim walaupun dengan santun dalam pertanyaan dan diskusi serta memiliki semangat untuk belajar, layanan bengis diberikan dan dicari pula alasan supaya aktiviti pembekuan akal ini dijustifikasi agar sang Muslim selesa menjadi bodoh dan perjalanan untuk sampai kepada tahqiq sangat perlahan.

Apakah dakwah kepada ilmu dan pemahaman yang jitu hanya untuk bukan Muslim, manakala untuk Muslim pula, cukup sekadar jadi keldai yang hanya banyak beramal, tetapi di fikirannya cukup benak dan bodoh terhadap pengetahuan serta tiada bekalan kefahaman untuk menghadapi isu-isu semasa? Sangat menyedihkan apabila sesama umat Islam hanya dilayan seperti pentaklid, tetapi dengan sesama bukan Muslim, boleh duduk semeja di tahap perbincangan yang lebih tinggi. Mentang-mentang mereka tahu bahawa apabila seseorang menjadi Muslim, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menentang dalam urusan Islam, maka orang durjana ini ambil kesempatan untuk mengukuhkan pembekuan fikir dan memantapkan kebodohan dalam kalangan mereka.

Umat Islam diherdik dan dicela habis-habisan apabila ingin mencapai pengetahuan yang tahqiq melalui perbincangan atau debat, tetapi dengan yang bukan Muslim, mereka sanggup bersabar dan tenang, jawab dengan ilmiah, kononnya tidak mahu orang bukan Muslim memberi tanggapan negatif terhadap agama Islam. Akhirnya, umat Islam tidak dapat merasai rahmat dalam mencicipi kelazatan ilmu dalam agama ini. Jurang ilmuan dan orang awam suka diperbesar-besarkan. Namun, dengan sesama bukan Muslim, mereka cuba mencari usaha untuk merapatkannya.

Sepatutnya dengan sesama Muslim, dilayan dengan penuh kasih sayang dan keterbukaan, manakala dengan sesama bukan Islam, perlu tegas. Akan tetapi, yang terjadi adalah sebaliknya. Mengapa mahu sangat menjaga perasaan orang yang jelas bukannya mahu untuk ilmu atau sememangnya akan keras kepala juga walau sudah dijelaskan? Mengapa pula perasaan sesama Muslim diabaikan, malah diperkecil dan dihina? Menjaga imej Islam bukan hanya pada di mata Muslim, tetapi di mata yang Muslim juga.

Mereka tidak suka ahli ilmu dipertikaikan kemampuannya, lalu mereka menjelaskannya kepada yang bukan Muslim supaya jelas pada mereka bagaimana keunggulannya. Yang bukan Muslim dilayan seperti warga demokrasi yang diberikan hak kebebasan bersuara yang luas walaupun ada di antaranya yang lidahnya penuh ungkapan jelek dan kebodohan. Mengapa tidak boleh melakukan yang sama kepada sesama Muslim? Mengapa yang dibuat adalah menjadi totalitarian atau diktator supaya para Muslim ini senyap dan tidak menggunakan fikiran atau tenaga untuk pengembaraan mencari pemantapan ilmu? Bersuara untuk meminta kefahaman pun, terus ditempelak. Yang menentang pula diberikan layanan mesra.

Layanan dua yang berlainan ini adalah kebejatan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Semoga Allah menghancurkan orang yang menutup dan menyempitkan jalan kepada Muslim untuk ilmu dan pemantapan kefahaman.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623984189609525248/wacana-ringkas-32-kritis-dengan-bukan-muslim

com/post/623984189609525248/wacana-ringkas-32-kritis-dengan-bukan-muslim

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now