Wacana Ringkas 180 : Kita Tidak Memerlukan Istilah Tasawwuf Dan Sufi?

3 0 0
                                    

Sebahagian orang tertanya-tanya atau mungkin mempertikaikannya mengapa perlunya istilah tasawwuf dan sufi, sedangkan cukup untuk kita cabang ilmu yang dinamakan Tazkiyah an-Nafs, iaitu penyucian jiwa dan golongan yang mengamalkan ilmu ini dipanggil sebagai orang yang soleh atau seumpamanya tanpa perlu dipanggil sufi.

Ini sememangnya mengingatkan saya kepada cerapan Musā*id bin Sulaymān aṭ-Ṭoyyār dalam Fuṣūl Fī Uṣūl at-Tafsīr tentang kemusykilan tentang skop yang ada pada ilmu uṣūl at-Tafsīr yang seakan-akan ia adalah sinonim dengan ilmu *ulūm al-Qur^ān kerana seakan-akan perbahasan antara kedua-dua ilmu ini saling tidak tumpah berbeza atau jika ada perbezaan pun, ia sekadar cabang kepada *ulūm al-Qur^ān, bukan ilmu yang berdiri sendiri seperti ilmu balaghah dalam ilmu bahasa. 

Sedemikian yang berlaku istilah ilmu tasawwuf dan isitlah suf ini. Sememangnya penyucian jiwa itu adalah aspek yang utama dalam ilmu tasawwuf dan pengamalan yang ada pada sufi. Namun, ia bukan itu segala-galanya. Kita tidak memanggil tasawwuf sebagai ganti kepada penyucian jiwa atau memanggil orang yang soleh hanya kerana suka-suka sahaja. Ini kerana ilmu ini ada lapangan dan metodologi ilmu yang tersusun yang membezakan sekadar penyucian jiwa semata-mata sehingga ia menggambarkan kekhasan istilah ilmu ini dan pengamalnya.

Contoh yang paling popular adalah dengan merujuk al-Ḥikam milik Ibn *Aṭō^illah as-Sakandariyy. Bagi sesiapa yang menelaah kehalusan ungkapannya, kedalaman maknanya dan skop bicaranya yang unik, ia lebih kepada sekadar pendidikan bagi penyucian jiwa. Karya al-Ḥikam ini walaupun tidaklah dikatakan sebagai karya tasawwuf tahap tinggi, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi gambaran sekurang-kurangnya asas dalam memahamkan mengapa ia dipanggil tasawwuf dan sufi.

Antara tema utama yang dibahaskan dalam al-Ḥikam adalah membina perhubungan hamba dengan tuhannya dengan Waḥdah aš-Šuhūd, iaitu kesatuan penyaksian. Ia berbeza dengan ilmu tauhid yang memfokuskan kefahaman dengan hujah akal dalam menetapkan sifat-sifat Allah dan menafikan yang tidak layak bagi-Nya bagi membina keyakinan kepada fikiran bahawa Dia itu adalah esa dan terbatallah yang lain yang dianggap tuhan. 

Namun, tasawwuf pula memfokuskan pendidikan kerohanian dalam memahamkan tuhan yang satu dengan aspek perhubungan seorang hamba-Nya dengan Allah dari segi keadaan kerohanian dan cara interaksi sehingga yakin dalam jiwanya bahawa Dialah tempat tumpuan utama setiap hamba, entiti yang tidak ada tara dan bandingannya serta membebaskan diri daripada penduaan atau lebih yang tidak selayaknya dalam penghambaan diri kepada-Nya. 

Tauhid bagi seorang ahli kalam semestinya ada perbezaan halus pada tauhid ahli sufi, tetapi ia saling beriringan dan tidak terpisah. Keesaan di sisi ahli kalam adalah wujudnya satu entiti yang tidak ada perkongsian kesempurnaan zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya berasaskan hujah ilmiah dan fikiran yang lurus. Manakala, keesaan di sisi ahli tasawwuf adalah Dialah entiti yang satu-satunya wajib bagi hamba-Nya memberikan tumpuan dan penyaksian sehingga tidak ada perkongsian pada tumpuan hidupnya kepada entiti yang lain berasaskan pembinaan kesedaran yang murni dalam jiwa.

Tasawwuf tidak hanya menerangkan sifat-sifat buruk bagi jiwa yang wajib dijauhi dan sifat-sifat baik yang wajib diterapkan. Namun, ia juga menyingkap keadaan-keadaan bagi jiwa seorang hamba ketika beramal sama ada amalan batin seperti berfikir, persangkaan dan keyakinan atau amalan zahir seperti zikir dan pencarian rezeki serta mencucuh cetusan dalam membina perhubungan seorang hamba kepada tuhan dengan menjengah pada kupasan dan bahagian yang lebih halus.

Bahkan, falsafah-falsafah yang berkaitan dengan kerohanian yang bermanfaat dan tidak menyalahi syariat juga akan dimasukkan dan dijadikan pendidikan bagi memahamkan aspek ketuhanan dari sudut spiritual, aspek hamba dari sudut serta rahsia-rahsia yang ada pada pensyariatan dan yang terkandung dalam lafaz-lafaz al-Qur^ān dan hadis sehingga kefahaman menjadi padu, keyakinan bertambah mantap dan pengamalan semakin menyeronokkan.

Ini kerana dalam pembinaan jiwa yang murni dan pembersihan sifat kotor dalam diri manusia, tasawwuf sangat mementingkan ketelitian. Dalam memeriksa, mengenal pasti dan merawat penyakit pun, kita tidak boleh hanya sekadar mengimbas pada dataran selapis sahaja. Boleh jadi penyakit itu adalah halus dan memerlukan pembedahan yang lebih kompleks. Kemudian, dalam penghasilan ubat pun, kita memerlukan sesuatu yang mampu mencantas akarnya dan mampu membina imunisasi kepada jiwa agar dapat berhadapan dengan pelbagai penyakit dan cabaran kerohanian dari semasa ke semasa.

Kitab al-Ḥikam ini memberikan gambaran yang asas dan umum bagi ketelitian dan aspek yang lebih halus dalam ilmu tasawwuf dan sufi walaupun matlamat akhirnya adalah penyucian jiwa dan menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Kita bukan memanggilnya kerana sekadar ia sedap diungkapkan dan enak didengari. Namun, ia memiliki asas yang valid untuk mewujudkan satu cabang ilmu yang tersendiri yang tidak hanya dalam skop yang disebut sebagai tazkiyah an-Nafs.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/682071097516163072/wacana-ringkas-180-kita-tidak-memerlukan-istilah

com/post/682071097516163072/wacana-ringkas-180-kita-tidak-memerlukan-istilah

Oops! Ang larawang ito ay hindi sumusunod sa aming mga alituntunin sa nilalaman. Upang magpatuloy sa pag-publish, subukan itong alisin o mag-upload ng bago.
Al-H̱iṭōb al-WajīzTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon